Wednesday, 11 January 2017

NASIHAT TMJ UNTUK "TAN SRI"

TAN SRI, DARIPADA INGIN MENGAMBIL KESEMPATAN DENGAN KEJAYAAN FAIZ SUBRI LEBIH BAIK LUANGKAN MASA UNTUK JELASKAN MENGENAI TAJAAN PELABURAN MARA DAN UNIKL IAITU DUIT RAKYAT

Saya telah menjangka lebih awal lagi tentang kemenangan Faiz Subri pasti akan mendapat perhatian individu-individu, terutama sekali ahli-ahli politik yang ingin melonjakkan kembali reputasi mereka yang sedang merudum. Pertama, kepada Tan Sri yang sentiasa tidak berpuashati kepada saya dan seorang menteri yang kononnya turut ingin menumpang populariti dengan kejayaan Faiz Subri mengatakan saya angkuh dan sebagainya. Biar saya selesaikan mengenai Tan Sri terlebih dahulu. Ingat, jangan dikejutkan harimau yang sedang tidur. Saya tidak kacau orang, jadi jangan mengganggu saya.

Baiklah, untuk Tan Sri terlebih dahulu. Sebelum menggunakan kejayaan Faiz Subri untuk populariti anda dengan mengatakan saya angkuh kenapa tidak Tan Sri juga tampil memberi keterangan mengenai duit tajaan daripada Pelaburan Mara dan UniKL yang dipaksa untuk menaja pasukan The Red Warriors.

Sewaktu ekonomi negara tidak begitu baik dan banyak pemotongan di sana sini, masih tergamak Tan Sri menggunakan duit rakyat untuk pasukan The Red Warriors yang mana Tan Sri sendiri merupakan Pengerusi Mara. Tidak cukup dengan Pelaburan Mara yang Tan Sri paksa, UniKL juga turut menjadi mangsa. UniKL terpaksa mengurangkan biasiswa pelajar-pelajar Malaysia dari RM2 billion kepada RM1.3 billion bagi tahun 2016 tetapi Tan Sri telah menggunakan kuasa untuk memaksa mereka menaja pasukan TRW pada tahun itu. Mohon Tan Sri jelaskan ke mana hala tuju pelaburan Mara dan UniKL tersebut yang merupakan wang rakyat.

Akhir sekali, pesanan saya kepada Tan Sri dan menteri berkenaan, jangan lupa beli jersi baru JDT 2017 yang akan dilancarkan pada malam ini.

DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Tuesday, 10 January 2017

JANGAN IRI HATI DENGAN JOHOR

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin hari ini mengingatkan pihak yang tidak senang melihat pembangunan dan pertumbuhan di negeri itu agar tidak iri hati dan mempolitikkannya.
Tegas beliau, kemajuan dan pertumbuhan pesat di negeri Johor hanya akan membawa limpahan dan manfaat kebaikan untuk rakyat dan Malaysia keseluruhannya.
“Jayanya Johor maka jayanya negara kita Malaysia. Sekurang-kurangnya, pertama, kita ada rancangan bagaimana kita nak buang imej yang selama ini orang kata Johor ini adalah halaman belakang Singapura.
“Kedua kita nak tentukan kedudukan kita dengan membawa pertumbuhan dan pembangunan itu, sekurang-kurangnya kita sebagai dua negara yang berbeza, kita boleh selari setanding dan saling melengkapi. Bukan satu lebih tinggi daripada yang lain, supaya kita dihormati, ada martabat dan ada kedudukan.
“Apabila kita membangun, kita tidak kata ia hanya untuk orang Johor kerana walaupun kita menyebut tentang Bangsa Johor, kita terima semua orang luar, datanglah dan sama-sama kongsi kemakmuran Johor.”
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai lawatan kerja sehari ke parlimen Kulai hari ini.
Yang turut hadir Pegawai Daerah Kulai, Za’anal Misran; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Ali Mazat Salleh dan Setiausaha Kerajaan Johor, Azmi Rohani.
Tambah Mohamed Khaled, rakyat perlu memahami bahawa pembangunan dan pertumbuhan di Johor akan terus berlaku dan tidak dapat ditolak, lebih-lebih lagi apabila kemahuan dan keperluan rakyat semakin meningkat dan pelbagai.
“Rakyat semakin ramai, mutu hidup semakin meningkat, keperluan mereka pelbagai, berbeza daripada dulu.
“Rakyat yang sentiasa meminta supaya kerajaan menyelesaikan itu dan ini, dia mesti tahu tanpanya pembangunan dan pertumbuhan, bagaimanakah masalah mereka akan diselesaikan?
“Untuk memenuhi segala keperluan mereka itu, kita perlu melakukan pertumbuhan dan kemajuan ekonomi kerana kalau tanpa itu, kita tidak akan dapat memenuhi hasrat rakyat,” kata beliau.

LEBIH RM100 JUTA UNTUK KULAI

Lawatan kerja sehari Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin ke Parlimen Kulai hari ini memberi rahmat kepada penduduk apabila pelbagai peruntukan pembangunan lebih RM100 juta disalurkan ke kawasan berkenaan.
Ia meliputi pembinaan Pusat Pentadbiran baharu Daerah Kulai dengan kos RM60.3 juta.
Pusat itu akan dibina di kawasan seluas 12.3 ekar di Indahpura.
Kerajaan Negeri juga akan membina enam buah sekolah agama baharu dengan kos RM40 juta melalui projek pembinaan sekolah agama Johor fasa 5.
Ia tidak termasuk sebuah sekolah yang sedang dibina di Bandar Putra melalui projek fasa 4 dengan kos RM8 juta.
Melalui peruntukan bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, sebuah masjid baharu akan dibina di Jalan Cengal Bandar Putra dengan kos RM4 juta.
Projek yang akan dilaksanakan oleh Johor Corporation (JCorp) itu akan mula dilaksanakan tahun ini.
Mohamed Khaled juga mengumumkan peruntukan RM54 juta untuk membina sebuah sekolah menengah baharu di Bandar Putra.
Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan kerja-kerja meluruskan ‘Selekoh S’ Batu 21, jalan Johor Bahru-Air Hitam dengan kos RM8 juta yang akan dilaksanakan tahun ini.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM1.5 juta untuk membina jalan asas perumahan generasi kedua Kampung Melayu Ulu Choh serta RM300,000 bagi membina jalan asas penempatan penduduk Kampung Sri Maju, Senai.
Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sejumlah RM600,000 untuk menaik taraf dewan raya, naik taraf jalan raya dan pembinaan jalan baru di Kampung Murni Jaya.
Untuk masyarakat di Felda Taib Andak, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM500,000 untuk menaik taraf kemudahan dan jalan asas ke projek perumahan generasi kedua felda itu.
Turut diumumkan ialah peruntukan RM300,000 untuk menaik taraf dewan dan balai raya di felda berkenaan.
Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan sejumlah RM500,000 untuk membina kompleks Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Felda Bukit Batu.
Bagi permasalahan tapak perkuburan Islam Batu 23 yang hampir penuh, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM600,000 bagi penyediaan tapak perkuburan baharu di Bandar Putra.
Kerajaan Negeri juga akan menaik taraf kemudahan eko-pelancongan Hutan Rekreasi Gunung Pulai dengan peruntukan sejumlah RM500,000.
Kerajaan Negeri juga akan menperuntukkan sejumlah RM150,000 bagi membina dewan serbaguna Kampung Air Manis.
Tidak ketinggalan, RM100,000 untuk menaik taraf masjid Ulu Choh dan RM100,000 untuk membina pejabat JKKK Kampung Sri Muar.
Bagi tapak pengurusan mayat masyarakat India, Kerajaan Persekutuan sudah memperuntukkan sejumlah RM1.2 juta untuk tujuan itu.
Bagaimanapun, pembinaannya akan dilaksanakan selepas perbincangan antara pelbagai pihak termasuk pejabat daerah dan pemimpin masyarakat setempat untuk mengenal pasti kawasan yang sesuai bagi tujuan itu.

Sunday, 8 January 2017

HOSPITAL TENTERA TAMAT PERKHIDMATAN

Operasi Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditempatkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebagai Dewan Bedah Resusitatif khusus untuk menjalankan pembedahan kecemasan trauma telah tamat semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, pada awalnya hospital medan itu ditempatkan di HSA untuk tempoh dua minggu namun dilanjutkan operasinya kepada dua bulan.
Menurutnya, selama dua bulan beroperasi susulan kebakaran kejadian kebakaran di bangunan induk HSA pada 25 Oktober tahun lalu, ia  telah merawat seramai 266 pesakit dengan jumlah 278 kes.
“Saya mewakili Kerajaan Johor mengucapkan setinggi tinggi terima kasih kepada Menteri Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Hussien ) Angkatan Tentera Malaysia dan Pasukan Perubatan Tentera Ken Mahkota Kluang atas kegigihan menawarkan hospital ini bagi kes kecemasan di HSA.
“Saya turut merakamkan terima kasih kepada ATM kerana pada awalnya hanya dua minggu sahaja tempoh penggunaan Hospital Medan ini tetapi telah dilanjutkan sehingga hari ini (semalam),” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, bas bergerak perubatan tentera yang telah digunakan itu dijadikan sebagai dewan bedah bagi kes kecemasan trauma yang tidak melebihi tempoh pembedahan selama sejam.
Seterusnya pesakit yang telah stabil akan dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan hospital berdekatan untuk rawatan lanjut berikutan berlakunya kebakaran di HSA JB.
Ayub berkata, hospital itu beroperasi selama 24 jam sehari dan akan dikendalikan petugas perubatan termasuk doktor serta pakar bedah dari HSA dan renters yang bertugas secara bergilir.
ATM menempatkan lima unit Modul Hospital Hadapan ATM yang dibentuk menjadi dewan bedah berukuran 244 meter persegi yang dijangka mampu memberi perkhidmatan kepada kira-kira 60 hingga 70 pesakit sehari.
“Kira-kira 30 anggotanya turut membantu pasukan perubatan HSA mengendalikan kemudahan hospital itu.
“Hospital Medan ATM akan bergerak ke Pantai Timur bagi misi bencana banjir di sana,”katanya.
Berikutan itu, HSA JB telah menyediakan dua bilik di Bangunan Induk untuk dijadikan Unit Kecemasan.  Doktor dan pasukan perubatan hospital itu akan ditugaskan secara bergilir bagi menerima kes kes kecemasan. – Sinar Harian

FELDA BAKAL MENGALAMI ROMBAKAN BESAR

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bakal menyaksikan rombakan pengurusan dalam usaha agensi itu mengembalikan kedudukannya untuk meningkatkan kesejahteraan dan menyelesaikan permasalahan warganya masa kini.
Pengerusi yang baru dilantik, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata langkah itu termasuk meneliti semula barisan anggota lembaga pengarah untuk memberi nafas baharu dan nilai tambah kepada proses rombakan itu sendiri.
Beliau berkata, selain itu, model perniagaan FELDA ketika ini juga perlu diteliti semula secara keseluruhan.
Bagaimanapun, katanya, rombakan tersebut perlu munasabah dan sesuai dengan matlamat yang mahu dicapai, terutama dalam mengembalikan kesejahteraan hidup warga FELDA supaya lebih terjamin pada masa hadapan.
“Anggota lembaga (pengarah) FELDA mesti kuat, dan mesti memahami tentang segala kekuatan dan kelemahan FELDA. Jadi, barulah kita tahu ke mana hala tuju FELDA,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Antara yang menjadi kebimbangan peneroka FELDA adalah dari segi pendapatan, beban hutang dan perumahan generasi kedua.
Ketika ditanya sama ada beliau turut melihat kepada penyahsenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) pada masa hadapan, beliau berkata: “kita kena tengok dulu. Dari segi faedah dan risiko serta impaknya kerana pasti ada pelbagai pandangan daripada semua pihak. Kita kena lihat pelbagai pilihan yang ada”.
Ketika ini, FELDA merupakan pemegang saham majoriti dalam FGV iaitu sebanyak 20 peratus.
Mengenai pelantikan sebagai pengerusi FELDA, Shahrir berkata antara perancangan awal beliau ialah melakukan lawatan kerja ke kawasan rancangan, selain bertemu pengurusan FELDA mulai hari ini.
Ketika diminta mengulas mengenai pelantikan beliau dalam keadaan FELDA dan kerajaan dikritik pihak tertentu, Shahrir berkata, beliau amat menghargai peluang itu untuk memperbaiki dan menyelesaikan masalah yang dihadapi warga FELDA.
“Biasalah, orang cakap lebih mudah. Kalau kita nak kritik, nak katakan FELDA ini tak baik, itu ini masalah, bercakap lebih mudah.
“Tetapi, saya sebenarnya berterima kasih kerana diberi peluang untuk menyelesaikan masalah bukannya setakat bercakap tapi berbuat sesuatu untuk membetulkan keadaan,” katanya.
Shahrir dilantik ke dalam FELDA selepas tempoh khidmat Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai pengerusi tamat pada 31 Dis, 2016.
Mohd Isa bagaimanapun kekal sebagai Pengerusi FGV. – BERNAMA

Tuesday, 3 January 2017

PERHIDMATAN AWAM PERLU LEBIH CEKAP UNTUK MASA DEPAN RAKYAT

Perkhidmatan awam tidak seharusnya dilihat sebagai sekadar satu struktur dan organ pentadbiran, sebaliknya, ia mewakili sesuatu yang jauh lebih penting dan besar daripada itu.
Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata, perkhidmatan awam Johor sangat penting kerana masa depan rakyat dan hala tuju negeri banyak bergantung kepada kecekapan dan keupayaan para anggota perkhidmatan awam untuk melaksanakan peranan mereka dengan cekap dan baik.
Katanya, terdapat beberapa sebab utama mengapa insititusi itu harus sentiasa memainkan peranan dengan berkesan, responsif, kreatif dan inovatif demi memartabatkan mutu perkhidmatan awam di negeri ini.
“Pertama, kecekapan perkhidmatan awam membolehkan lebih banyak dasar dan agenda pembangunan diperkenal dan ditransformasikan secara radikal.
“Kedua, kecekapan perkhidmatan awam boleh menjadi instrumen yang menutup segala ruang ketirisan, korupsi dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Serah Terima Tugas Setiausaha Kerajaan Johor yang baharu di Dewan Negeri Johor di sini hari ini.
Katanya, kecekapan perkhidmatan awam juga boleh menjadi satu imej yang positif dan identiti yang baik kepada sesebuah negara.
“Lihat sahaja apa yang diperkatakan tentang negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan serta negara-negara Skandinavia seperti Norway dan Sweden.
“Kecemerlangan perkhidmatan awam mereka bukan sahaja memanfaatkan rakyat. Tetapi menjadi teladan seluruh masyarakat dunia.   Malah menjadi identiti yang baik kepada mereka sebagai sebuah bangsa dan negara,” katanya.
Ujar beliau lagi, kecemerlangan perkhidmatan awam juga boleh menyebabkan berlakunya penjimatan sumber, sama ada sumber kewangan dan sumber manusia serta boleh meningkatkan keyakinan dan kerjasama masyarakat untuk bersama-sama menyokong dan menjayakan pelan dan agenda yang dicadangkan oleh Kerajaan.
“Akhirnya, perkhidmatan awam ini sebenarnya, bukan sahaja satu amanah dan tugas rasmi yang sangat besar yang mesti dilunaskan dengan sebaik mungkin, tetapi ia juga adalah satu tanggungjawab moral yang mesti dipikul dengan penuh rasa bangga dan semangat yang patriotik serta merupakan ruang dan peluang kepada kita sebagai anak-anak Johor untuk memberikan khidmat bakti kepada tempat asal kita.
“Jadi, marilah kita semua meletakkan peranan perkhidmatan awam di Johor di tempat yang sewajar dengan peranannya dan sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan kecekapan dan kecemerlangannya,” kata beliau.
Pada majlis itu, beliau turut mengalu-alukan pelantikan Azmi Rohani sebagai SUK yang baharu.
“Saya amat berbesar hati dengan perlantikan ini dan mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat datang dan selamat bertugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang ke-24.
“Saya yakin, beliau bukan sahaja orang yang sangat layak dan berpengalaman luas untuk menjawat jawatan penting ini, tetapi saya percaya, beliau pastinya diselimuti keterujaan dan semangat yang berkobar-kobar untuk bersama-sama memberikan yang terbaik kepada Johor.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada mantan SUK, Dato’ Ismail Karim atas segala jasa beliau sepanjang perkhidmatan beliau.
“Kepimpinan dan kewibawaan Dato’ Ismail telah memastikan perkhidmatan awam di Johor berjalan dengan lancar dan cekap.
“Beliau telah berjaya mewujudkan keseimbangan yang diperlukan, antara perkhidmatan awam dengan peranan Istana, Eksekutif dan Legislatif.
“Justeru, pada kesempatan ini, saya secara peribadi dan mewakili seluruh kakitangan dan jentera Kerajaan Negeri, ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Dato’ Ismail Karim di atas perkhidmatan cemerlang beliau selama ini,” katanya.

JOHOR TUBUH JAWATANKUASA KHAS ATASI BANJIR

Kerajaan Negeri akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengenalpasti punca dan langkah untuk mengatasi masalah banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di daerah Johor Bahru.
Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata jawatankuasa khas tersebut akan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Johor Bahru.
“Jika ia berlaku di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan, maka mereka yang harus ambil peranan itu, dan jika ianya melibatkan Kerajaan Negeri, kita akan beri pertimbangan terhadap perkara tersebut.
“Fenomena hujan lebat yang berlaku di Jalan Wong Ah Fook memang tidak dapat dinafikan, tetapi ia memerlukan kajian secara mendalam daripada Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk mencari puncanya kerana kita tidak mahu perkara seperti ini berulang,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja sehari ke Parlimen Johor Bahru, di Jalan Kemunting, di sini, hari ini.
Lawatan itu dilakukan dengan menaiki Bas Muafakat Johor.
Turut bersama beliau, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, A. Rahim Nin, Pegawai Daerah Johor Bahru, Abdul Halim Hasbullah dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Terdahulu, dalam ucapan sempena lawatan kerja tersebut beliau turut menyentuh mengenai kemajuan kerja yang sedikit perlahan di ketiga-ketiga projek perumahan yang dilaksanakan oleh PIJ Holdings dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ).
“Ketiga-tiga projek perumahan itu melibatkan dua projek oleh PIJ Holdings di Taman Perbadanan Islam Larkin dan Stulang Baru, serta satu projek oleh KPRJ di Perumahan Komuniti Taman Aman Larkin.
“Kita memberi jaminan bahawa kerja-kerja atas tanah bagi ketiga-tiga projek perumahan itu akan dilaksanakan bermula pada 1 Februari ini,”katanya.
Mengenai lawatan kerja tersebut, beliau berkata, pihaknya amat berpuas hati kerana dapat melihat sendiri kehidupan masyarakat dan menimbang cadangan daripada mereka untuk menterjemahkannya kepada pembangunan bersifat inklusif yang ditekankan oleh kerajaan negeri.
Malah, pembangunan dan kemajuan negeri juga akan dapat dicapai melalui kerjasama dan persefahaman daripada rakyat yang bukan sahaja melibatkan cadangan daripada kerajaan.

Saturday, 24 December 2016

SULTAN JOHOR ZAHIR DUKACITA TRAGEDI BAS EKSPRES


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini menzahirkan rasa dukacita dan simpati baginda terhadap mangsa dan ahli keluarga nahas bas ekspres di Pagoh awal pagi tadi.
Dalam laman sosial Facebook milik baginda, baginda menasihati pengguna-pengguna jalan raya agar berhati-hati di jalan raya terutama semasa musim cuti perayaan.
“Saya berasa amat dukacita dengan makluman berita kehilangan nyawa dalam tragedi kemalangan bas di Pagoh pada awal pagi Sabtu ini.
“Saya turut bersimpati kepada mereka yang telah kehilangan ahli keluarga tersayang dalam tragedi yang memilukan ini.
“Semoga Allah S.W.T berikan semangat serta kekuatan kepada mereka yang sedang berkabung,” titah baginda.
Sultan Ibrahim juga mendoakan agar kesemua mereka yang cedera supaya pulih sepenuhnya.
“Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk memastikan supaya tidak berlaku kecelakaan atau kehilangan nyawa apabila berada di jalan raya,” titah baginda.
Pada kejadian awal pagi tadi, bas ekspres yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Johor Bahru terjunam ke dalam curam dan merempuh benteng konkrit terowong di Kampung Jayor di Kilometer 137.3, Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Pagoh.

Sumber UMNO Johor Online

BANTUAN RM1,000 UNTUK PENGURUSAN JENAZAH

Kerajaan Negeri Johor akan menyalurkan bantuan RM1,000 bagi tujuan pengurusan dan pengebumian jenazah mangsa yang beragama Islam yang terkorban dalam tragedi bas ekspres awal pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abdul Mutalip Abdul Rahim, berkata bantuan itu bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung waris mangsa yang terbabit dalam nahas.

Selain itu, mangsa yang bukan beragama Islam akan turut dibantu dari segi kemudahan logistik termasuk kenderaan membawa jasad untuk dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing.

Kerajaan negeri juga akan turut bekerjasama dengan kerajaan Singapura bagi membantu dalam urusan membawa pulang mangsa yang maut atau terkorban dalam insiden yang sama.

Sementara itu beliau juga memaklumkan kerajaan negeri akan turut menempatkan pasukan sukarelawan belia Johor bagi membantu keluarga mangsa yang masih berada di hospital dengan sewajarnya.

Sumber Facebook Buletin TV3

Friday, 23 December 2016

SUDAH TIBA MASANYA JOHOR BERSAING DENGAN NEGARA JIRAN


Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bukit Permai, YB Ali Mazat Salleh berkata Johor perlu keluar menjadi pusat perniagaan dan pelaburan baru bagi mengambil peluang dari limpahan pelaburan asing yang begitu banyak di Singapura.

Menurut beliau Johor perlu bangkit untuk “compete” dengan negara jiran dan bukan hanya “complement” kepada pelaburan yang berlaku di negara terbabit.
“Singapura adalah pusat pelaburan rantau asia pasifik yang paling pesat dan menjadi tumpuan “regional office” syarikat gergasi dunia. Banyak syarikat-syarikat besar berpengkalan di Singapura. Johor yang menjadi Jiran terdekat tidak boleh lagi hanya menjadi penonton dan “buffer” kepada pelaburan yg masuk ke Singapura .
“Johor perlu menyediakan prasarana dan kemudahan bertaraf dunia yg boleh menarik pelabur-pelabur asing Singapura untuk membuka pejabat dan melabur di Johor sebagai alternatif dengan kos operasi yg lebih rendah berbanding di Singapura.
“Untuk membangunkan prasarana dan kediaman bertaraf dunia untuk tawaran kepada pedagang global memerlukan pelaburan berbillion ringgit, jadi kita patut bersyukur bila ada pelabur yang sanggup datang dan memilih Johor untuk melaksanakan pembangunan bandar baru bertaraf dunia,” katanya dalam satu kenyataan kepada umno-johor.com.
Ali Mazat seterusnya menambah untuk bersaing dengan Singapura memang perlu untuk negeri berkenaan menyediakan persekitaran yang setanding dengan pembangunan di pulau berkenaan.
“Kita perlu menawarkan persekitran baru yang lebih moden dan boleh menarik minat pedagang luar negara. Bila ada projek mega berbillion ringgit pasti akan ramai bilangan pekerja yang terlibat. Ini perkara biasa, kalau kita lihat semasa pembinaan Menara Kembar Petronas dulu pun ramai pekerja asing di tapak pembinaan berkenaan dan sekitar Kuala Lumpur.
“Diharap projek-projek pembangunan yang berlaku di sekitar Johor Selatan tidak di politik kan oleh mana-mana pihak yang cemburu. Tidak ada salahnya pelaburan tersebut kerana kalau kita nak tunggu pelabur tempatan yang mampu kita tak pasti bila pembangunan tersebut akan berlaku,” katanya.
Katanya lagi untuk menjadi pesaing kepada Singapura dalam dunia perniagaan global, Johor perlu bergerak cepat dan pantas lebih-lebih lagi dalam usaha MB Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menjadi kan Johor sebagai New Economic Power House of the Region.

Thursday, 22 December 2016

DUA WANITA DITAHAN KERANA KENYATAAN JELIK TERHADAP SULTAN JOHOR

Polis menahan dua wanita malam tadi kerana dipercayai membuat kenyataan jelik terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menerusi laman sosial Facebook.
Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata wanita berumur 54 dan 51 tahun itu ditahan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor kira-kira 8.30 malam di Batu Tiga, Shah Alam, Selangor selepas polis bertindak atas satu laporan.
"Polis Johor menerima satu laporan pada 1.17 tengah hari, 20 Dis lepas berkenaan satu kenyataan jelik terhadap Sultan Johor. Kenyataan yang dikeluarkan tersebut boleh menggugat keharmonian serta kesejahteraan negara," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Wan Ahmad Najmuddin berkata hasil daripada penahanan itu, polis merampas dua telefon bimbit dan dua keping simkad yang dipercayai digunakan oleh kedua-dua wanita tersebut untuk membuat kenyataan jelik berkenaan menerusi Facebook.
Katanya, pihaknya sehubungan itu ingin menasihati orang ramai supaya tidak menyalahgunakan mana-mana aplikasi bagi mengeluarkan kenyataan palsu dan kenyataan untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut dan mengganggu orang lain.
Wan Ahmad Najmuddin berkata pihaknya juga tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas pihak terbabit, katanya.
Sementara itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki petang semalam kerana dipercayai membuat kenyataan jelik terhadap Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim melalui Facebook.
Beliau berkata lelaki berumur 38 tahun itu ditahan kira-kira 6.45 petang di Jalan Puyuh, Larkin Jaya, di sini selepas pihaknya bertindak atas satu laporan polis.
"Polis Johor menerima satu laporan berkaitan penyalahgunaan laman media sosial pada 2.11 pagi, semalam. Laporan tersebut adalah berkenaan dengan satu kenyataan jelik terhadap Tunku Aminah yang boleh menggugat keharmonian serta kesejahteraan negara," katanya juga menerusi kenyataan.
Wan Ahmad Najmuddin berkata hasil daripada tangkapan itu, polis merampas sekeping simkad dan satu telefon bimbit yang dipercayai digunakan oleh lelaki terbabit bagi membuat kenyataan jelik tersebut.
Kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
- BERNAMA

MASYARAKAT PERLU LEBIH BERDAYA SAING

Masyarakat daerah ini tidak seharusnya terlalu mengharap bantuan kerajaan sebaliknya berusaha mencari jalan untuk menangani peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat berkata, satu usaha pa­ling mudah adalah bercucuk ta­nam di sekeliling rumah bagi menjimatkan belanja dapur.
“Ini bukan bermakna kerajaan tidak lagi mahu menghulur bantuan kepada rakyat, malah jauh sekali tidak mempunyai peruntukkan bagi membantu rakyat.
“Tidak salah untuk menanam bunga bagi menghiasi persekitaran rumah, namun lebih baik jika diselangi dengan sayur-sayuran yang boleh memberi manfaat untuk belanja dapur,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Majlis Daerah Segamat (YMDS) berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Ceria Kembali ke Sekolah anjuran YMDS di Dewan Jubli Intan Segamat di sini, semalam.
Yang turut hadir ialah Yang di Pertua MDS, Miswan Yunus, Ke­tua Whip MDS, Kamal Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Whip MDS, Tan Hong Ping.
Pada majlis tersebut seramai 160 pelajar, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar dengan e-Kasih serta kakitangan MDS yang bergaji rendah menerima bantuan melibatkan peruntukan keseluruhan RM20,800.
Sementara itu, Lim Yuk Siang, 43, ibu tunggal dari Jementah mengakui sumbangan tersebut meringankan bebannya yang baru dua bulan kehilangan suami akibat penyakit buah pinggang.
Katanya, pada sesi persekolahan akan datang, tiga daripada enam anaknya masih bersekolah iaitu dua di tingkatan satu dan seorang lagi darjah enam.
Menurutnya, wang tunai itu akan digunakan untuk membeli kelengkapan serta keperluan persekolahan tiga anaknya yang akan memulakan sesi persekolahan 2017 tidak lama lagi.
Shanti Subramaniam, 41, dari Batu Anam yang juga mempunyai dua anak yang masih bersekolah melahirkan rasa syukur kerana terpilih menjadi penerima sumbangan tersebut.
“Suami bekerja sebagai buruh membina jalan raya dengan penda­patan tidak seberapa dan tidak menentu terutama kedatangan musim tengkujuh ketika ini menyebabkannya tidak boleh be­kerja.
“Walaupun bantuan yang diterima ini tidak cukup menampung keseluruhan kos persiapan persekolahan anak saya, namun sekurang-kurangnya apa yang diperoleh dapat meringankan beban kami,” katanya. – Utusan Online

UMNO JOHOR HULUR BANTUAN PESARA JATUH SAKIT DI TURKI

UMNO Johor merakamkan rasa sedih kepada keluarga Mohd Harun Salleh kerana isterinya Sharipah Saadah Mohamed yang merupakan seorang pesara kerajaan yang telah jatuh sakit semasa bercuti di Turki dan kini terlantar di sebuah hospital di Bursa.
Setiausahanya, Datuk Md. Jais Sarday telah berhubung dengan Duta Besar Malaysia di Ankara untuk mendapatkan maklumat mengenai keadaan sebenar pesakit.
Ketika ini pesakit sedang dirawat di hospital kerajaan di Bursa, kira-kira 100 kilometer dari Istanbul.
“Saya difahamkan pihak keluarga merancang untuk membawa pesakit ke sebuah hospital yang lebih baik di Istanbul bagaimana ia memerlukan sejumlah perbelanjaan yang belum dapat ditentukan. Pihak kedutaan telah menghantar delegasi bagi melihat secara lebih terperinci keadaan pesakit.
Pihak Kedutaan Malaysia di Ankara juga telah menasihatkan supaya sumbangan dapat disalurkan melalui Wisma Putra bagi memudahkan urusan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, UMNO Johor akan menyumbang sebanyak RM50,000 bagi meringankan beban keluarga pesakit.
“Saya juga ingin menyeru pelbagai pihak yang ingin menyumbang, bolehlah menghubungi UMNO Johor, bagi memudahkan penyelarasan,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang.
Sumbangan boleh disalurkan melalui;
Setiausaha Kerja Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Badrul Amin (019 338 7121) atau Pengerusi Biro Kebajikan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Azhar Ibrahim (019 755 7345). – UMNOJohor Online

KADAR AGIHAN PENDAPATAN ASB UNTUK TAHUN 2016

 

Anak syarikat Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu turut mengumunmkan agihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional (ASN) bagi tahun kewangan yang sama - Gambar fail

Amanah Saham Nasional Bhd hari ini mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.75 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016.

Anak syarikat Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu turut mengumunmkan agihan pendapatan sebanyak 5 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional (ASN) bagi tahun kewangan yang sama. - BERNAMA

Tuesday, 20 December 2016

CARI SUMBER AIR BAWAH TANAH

Kerajaan Negeri meneruskan cadangan untuk mencari sumber air bersih dari bawah tanah menjelang tahun 2018 bagi menampung keperluan seluruh rakyat di negeri ini.
Sebanyak RM2 juta telah diperuntukan pada tahun 2017 untuk menjalankan kajian bagi mencari punca sumber bekalan berkenaan, sekali gus memastikan setiap daerah mempunyai sumber air bersih sendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, pihaknya telah mengarahkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk melakukan kajian berkenaan.
Katanya, dengan kerjasama sebuah agensi dari Jepun, beliau berharap kajian berkenaan akan memperoleh kejayaan dan seterusnya boleh berjalan mengikut waktu yang telah dirancang melalui Pembentangan Bajet 2017, baru-baru ini.
“Kita akan melakukan kajian di kesemua 10 daerah di negeri ini dan pada cadangan awal kita akan pastikan setiap daerah akan mempunyai sekurang-kurangnya satu sumber air bersih dari bawah tanah ini.
“Selain menampung keperluan rakyat negeri ini yang semakin bertambah terutamanya di daerah barat Johor, kita juga akan membuat projek mencari sumber air bawah tanah ini untuk dijual kepada Singapura yang meminta semakin banyak bekalan air,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Usahawan Risda Negeri Johor 2016 di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, peruntukan bagi membina telaga atau mencari punca air bawah tanah ini akan dibentangkan pada Bajet 2018 yang bakal diumumkan oleh Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin.
Turut hadir dalam program yang diadakan di Dewan Orang Ramai (A) Parit Raja itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Puan Sri Azizah Zakaria, Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan Risda, Halimah Abd Kadir dan Pengarah Risda Johor, Daman Huri Toha.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan mewartakan kesemua empangan di negeri ini walaupun masih ada sebahagian yang belum lagi diwartakan atas sebab tertentu.
“Kelewatan pewartaan empangan berkenaan adalah atas sebat pengambilalihan tanah yang sebahagiannya masih lagi menjadi milik persendirian dan masih lagi menjalankan aktiviti perladangan.
“Kita akan selesaikan secepat mungkin dan pada perancangannya pada tahun hadapan ke semua empangan di negeri ini akan diwartakan, seterusnya dapat mengelakkan aktiviti pencerobohan sebagaimana yang berlaku sekarang ini,” katanya.
Sementara itu, kira-kira 37 usahawan Risda berjaya dalam bidang pemakanan, perkhidmatan dan pembuatan dikumpulkan melalui karnival selama tiga hari yang bermula kelmarin.

UTM LANCAR RUMAH PINTAR

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melancarkan UTM Eco-Home, rumah pintar lestari yang antara lain dilengkapi penggunaan sistem tenaga diperbaharui.
Pelancarannya disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.
Pengarah Kanan Institut Infrastruktur Pintar dan Pembinaan Inovatif (ISIIC), Prof Dr Muhd Zaimi Abd Majid berkata dengan keluasan 134.7 meter persegi, ia mengambil masa kira-kira setahun untuk dibina menerusi peruntukan RM500,000.
Katanya, UTM Eco-Home dibina menggunakan blok bercantum dan konkrit tetulang dengan sebahagian struktur dibina menggunakan produk hasil penyelidikan universiti itu.
“Kami turut menggunakan teknologi sistem Fast Track Wall (FTW) yang berupaya mengurangkannya 50 peratus masa pembinaan dan antara 10 hingga 15 peratus kos pembinaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran UTM Eco-Home di kampus UTM di sini, baru-baru ini.
Projek berkenaan dihasilkan sekumpulan penyelidik dan pelajar UTM yang diketuai Muhd Zaimi bersama UTM Construction Research Centre (UTM-CRC), Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM) dan Centre of Electrical Energy Systems (CEES).
UTM Eco-Home adalah kesinambungan penyertaan UTM dalam Solar Decathlon China (SDC2013) di Datong, China.

241 UNIT RMMJ DI SEGAMAT

Sebanyak 241 unit rumah mampu milik jenis teres satu tingkat berserta dengan kemudahan asas akan dibina menerusi Skim Kediaman Mampu Milik 1Malaysia di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri Kemelah dekat sini.
Anggota DUN kawasan itu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Ayub Rahmat berkata pelaksanaan projek tersebut adalah sejajar dengan wawasan kerajaan pusat dan negeri bagi meningkatkan jumlah unit kediaman mampu milik di negeri ini.
“Projek itu kelak akan memberi pulangan yang berfaedah kepada warga Segamat khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah untuk memiliki rumah selesa dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pra Pelancaran Membina Rumah Mampu Milik DUN Kemelah, dekat sini, semalam.
Katanya projek perumahan yang dimajukan oleh syarikat perumahan Landgrove Development Sdn Bhd itu akan dibina di atas tanah seluas lapan hektar yang akan bermula pada tahun depan dan dijangka siap pada tahun 2018.
Ayub berkata projek tersebut melibatkan pembinaan 145 unit rumah teres satu tingkat jenis MyHome dengan harga jualan RM150,000, 24 unit rumah teres satu tingkat Rumah Mampu Milik Johor (RM140,000), 24 unit rumah teres pakej A (RM42,000), 36 unit rumah teres pakej B (RM80,000) dan 12 unit kedai kos sederhana (RM150,000).
“Antara kemudahan-kemudahan yang akan disediakan bagi menambah keselesaan penduduk ialah tadika, balai raya, kawasan lapang dan padang permainan kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan keperluan perumahan rakyat dan ini merupakan satu daripada usaha yang dilakukan bersama dengan pihak swasta.
Ayub berkata mereka yang berpendapatan RM5,000 sebulan boleh membuat pendaftaran secara dalam talian menerusi laman web perumahan negeri dan sehingga kini lebih 100,000 permohonan diterima untuk membeli rumah berkenaan di seluruh Johor.
“Kerajaan negeri menyasarkan untuk membina 60,000 rumah mampu milik menjelang tahun 2020 dan ia tidak termasuk dengan pembinaan rumah menerusi program kerajaan pusat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Landgrove Development Sdn Bhd Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pihaknya akan membangunkan lebih 2,000 rumah mampu milik di seluruh negara bermula tahun depan.
Abd Jalil berkata pembinaan itu melibatkan projek membina 241 unit rumah di daerah Segamat, 420 unit di daerah Jasin, Melaka; 647 unit di Grik, Perak dan lebih 900 unit di Hulu Perak. – BERNAMA