Sebanyak 241 unit rumah mampu milik jenis teres satu tingkat berserta dengan kemudahan asas akan dibina menerusi Skim Kediaman Mampu Milik 1Malaysia di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri Kemelah dekat sini.
Anggota DUN kawasan itu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Ayub Rahmat berkata pelaksanaan projek tersebut adalah sejajar dengan wawasan kerajaan pusat dan negeri bagi meningkatkan jumlah unit kediaman mampu milik di negeri ini.
“Projek itu kelak akan memberi pulangan yang berfaedah kepada warga Segamat khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah untuk memiliki rumah selesa dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pra Pelancaran Membina Rumah Mampu Milik DUN Kemelah, dekat sini, semalam.
Katanya projek perumahan yang dimajukan oleh syarikat perumahan Landgrove Development Sdn Bhd itu akan dibina di atas tanah seluas lapan hektar yang akan bermula pada tahun depan dan dijangka siap pada tahun 2018.
Ayub berkata projek tersebut melibatkan pembinaan 145 unit rumah teres satu tingkat jenis MyHome dengan harga jualan RM150,000, 24 unit rumah teres satu tingkat Rumah Mampu Milik Johor (RM140,000), 24 unit rumah teres pakej A (RM42,000), 36 unit rumah teres pakej B (RM80,000) dan 12 unit kedai kos sederhana (RM150,000).
“Antara kemudahan-kemudahan yang akan disediakan bagi menambah keselesaan penduduk ialah tadika, balai raya, kawasan lapang dan padang permainan kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan keperluan perumahan rakyat dan ini merupakan satu daripada usaha yang dilakukan bersama dengan pihak swasta.
Ayub berkata mereka yang berpendapatan RM5,000 sebulan boleh membuat pendaftaran secara dalam talian menerusi laman web perumahan negeri dan sehingga kini lebih 100,000 permohonan diterima untuk membeli rumah berkenaan di seluruh Johor.
“Kerajaan negeri menyasarkan untuk membina 60,000 rumah mampu milik menjelang tahun 2020 dan ia tidak termasuk dengan pembinaan rumah menerusi program kerajaan pusat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Landgrove Development Sdn Bhd Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pihaknya akan membangunkan lebih 2,000 rumah mampu milik di seluruh negara bermula tahun depan.
Abd Jalil berkata pembinaan itu melibatkan projek membina 241 unit rumah di daerah Segamat, 420 unit di daerah Jasin, Melaka; 647 unit di Grik, Perak dan lebih 900 unit di Hulu Perak. – BERNAMA