Tuesday 20 December 2016

UTM LANCAR RUMAH PINTAR

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melancarkan UTM Eco-Home, rumah pintar lestari yang antara lain dilengkapi penggunaan sistem tenaga diperbaharui.
Pelancarannya disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.
Pengarah Kanan Institut Infrastruktur Pintar dan Pembinaan Inovatif (ISIIC), Prof Dr Muhd Zaimi Abd Majid berkata dengan keluasan 134.7 meter persegi, ia mengambil masa kira-kira setahun untuk dibina menerusi peruntukan RM500,000.
Katanya, UTM Eco-Home dibina menggunakan blok bercantum dan konkrit tetulang dengan sebahagian struktur dibina menggunakan produk hasil penyelidikan universiti itu.
“Kami turut menggunakan teknologi sistem Fast Track Wall (FTW) yang berupaya mengurangkannya 50 peratus masa pembinaan dan antara 10 hingga 15 peratus kos pembinaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran UTM Eco-Home di kampus UTM di sini, baru-baru ini.
Projek berkenaan dihasilkan sekumpulan penyelidik dan pelajar UTM yang diketuai Muhd Zaimi bersama UTM Construction Research Centre (UTM-CRC), Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM) dan Centre of Electrical Energy Systems (CEES).
UTM Eco-Home adalah kesinambungan penyertaan UTM dalam Solar Decathlon China (SDC2013) di Datong, China.