Monday, 19 December 2016

36 BUAH NEGARA BAKAL BERKAMPUNG DI PASIR GUDANG JOHOR

Sebanyak 36 negara mengesahkan penyertaan acara berprestij Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang yang bakal berlangsung di Bukit Layang-layang, Taman Bandar, dekat sini, pada 22 hingga 26 Februari tahun depan.
Festival yang memasuki edisi ke-22 penganjurannya, turut menyaksikan penyertaan baharu dari tiga negara iaitu Sri Lanka, Estonia dan Ireland dengan lebih 1,009 peserta antarabangsa dan tempatan yang mengambil bahagian dalam tujuh kategori.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong, berkata pertunjukan istimewa layang-layang lampu diod pemancar cahaya (LED) kawalan jauh secara ballet diiringi bunyi latar oleh Pelayang GoFlyKite, Singapura menjadi kelainan utama pada acara kali ini.
Katanya, berikutan sambutan menggalakkan yang diterima dengan melebihi 200,000 pengunjung pada festival lalu, pihaknya berharap jumlah itu akan meningkat dalam usaha mempergiatkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.
“Festival ini mengekalkan konsep pengisiannya iaitu persembahan, pertandingan, pameran dan bengkel bagi tujuan memberi pendedahan serta pendidikan secara tidak formal, selain mewujudkan integrasi nasional.
“Kos penganjuran pada kali ini dianggarkan lebih RM1 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Penganjuran Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang, di Menara Aqabah, dekat sini, semalam.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Hasrin Kamal Hashim. Siew Kiong berkata, penganjuran yang bertemakan ‘Perkongsian Bersama Komuniti’ turut membabitkan pertandingan UUM komuniti iaitu kategori ciptaan layang-layang bebas dua dimensi (2D) berusia tujuh hingga 12 tahun, 13 hingga 17 tahun, dan 18 tahun ke atas.