Sunday, 8 January 2017

HOSPITAL TENTERA TAMAT PERKHIDMATAN

Operasi Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditempatkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebagai Dewan Bedah Resusitatif khusus untuk menjalankan pembedahan kecemasan trauma telah tamat semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, pada awalnya hospital medan itu ditempatkan di HSA untuk tempoh dua minggu namun dilanjutkan operasinya kepada dua bulan.
Menurutnya, selama dua bulan beroperasi susulan kebakaran kejadian kebakaran di bangunan induk HSA pada 25 Oktober tahun lalu, ia  telah merawat seramai 266 pesakit dengan jumlah 278 kes.
“Saya mewakili Kerajaan Johor mengucapkan setinggi tinggi terima kasih kepada Menteri Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Hussien ) Angkatan Tentera Malaysia dan Pasukan Perubatan Tentera Ken Mahkota Kluang atas kegigihan menawarkan hospital ini bagi kes kecemasan di HSA.
“Saya turut merakamkan terima kasih kepada ATM kerana pada awalnya hanya dua minggu sahaja tempoh penggunaan Hospital Medan ini tetapi telah dilanjutkan sehingga hari ini (semalam),” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, bas bergerak perubatan tentera yang telah digunakan itu dijadikan sebagai dewan bedah bagi kes kecemasan trauma yang tidak melebihi tempoh pembedahan selama sejam.
Seterusnya pesakit yang telah stabil akan dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan hospital berdekatan untuk rawatan lanjut berikutan berlakunya kebakaran di HSA JB.
Ayub berkata, hospital itu beroperasi selama 24 jam sehari dan akan dikendalikan petugas perubatan termasuk doktor serta pakar bedah dari HSA dan renters yang bertugas secara bergilir.
ATM menempatkan lima unit Modul Hospital Hadapan ATM yang dibentuk menjadi dewan bedah berukuran 244 meter persegi yang dijangka mampu memberi perkhidmatan kepada kira-kira 60 hingga 70 pesakit sehari.
“Kira-kira 30 anggotanya turut membantu pasukan perubatan HSA mengendalikan kemudahan hospital itu.
“Hospital Medan ATM akan bergerak ke Pantai Timur bagi misi bencana banjir di sana,”katanya.
Berikutan itu, HSA JB telah menyediakan dua bilik di Bangunan Induk untuk dijadikan Unit Kecemasan.  Doktor dan pasukan perubatan hospital itu akan ditugaskan secara bergilir bagi menerima kes kes kecemasan. – Sinar Harian