Friday, 14 October 2016

BERKHIDMAT UNTUK RAKYAT DAN NEGARA TIADA TARIKH LUPUT

Kejayaan Malaysia banyak bergantung kepada sumbangan semua rakyat termasuk mereka yang telah bersara daripada perkhidmatan. Walaupun sejak kebelakangan ini kita banyak memberi tumpuan kepada modal insan dalam kalangan generasi muda untuk membangunkan negara, pesara turut perlu digesa memainkan peranan yang sama.
Hasrat ini saya nyatakan sewaktu merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tahunan Ke-18, Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM), Bahagian Negeri Johor 2016 baru-baru ini. Rata-rata rakyat Malaysia bersara seawal usia 56 tahun sehinggalah 60 tahun. Terdapat profesion yang diperlukan sumbangan menjangkaui usia persaraan seperti ahli akademik atau profesor. Malah, sebelum ini ada gesaan daripada Majlis Profesor Negara (MPN) agar tempoh persaraan ahli akademik dilanjutkan pada usia 65 tahun seperti amalan di beberapa buah negara lain.
Kita percaya perkembangan ini membuktikan bahawa peranan dan sumbangan pesara masih diperlukan. Melalui pengalaman yang dimiliki oleh kumpulan ini dan ‘lebih dahulu makan garam’, mereka boleh terus menyumbang dalam perspektif yang tersendiri ke arah pembangunan dan kemajuan negara. Dalam membicarakan hal ini, tulisan saya ingin menyerlahkan tiga perkara penting.
                                   
Khidmat Bakti Berterusan
Pertama, tidak ada istilah tarikh luput dalam berkhidmat kepada bangsa dan negara. Hakikatnya, tarikh persaraan hanyalah satu tarikh rasmi tamatnya perkhidmatan  dalam Kerajaan. Akan tetapi, kita semua sedar dan akur bahawa tidak ada tarikh luput dalam memberi khidmat dan bakti kepada negara dan bangsa. Selagi kudrat mampu bergerak, selagi akal waras berfikir, selagi itulah kita dituntut memberi dan menyumbang kepada agama dan bangsa kita. Sebetulnya, satu-satunya tarikh tamat perkhidmatan kita kepada anak bangsa dan negara ini, adalah pada tarikh berpisahnya nyawa daripada jasad. 
Dalam konteks di Johor, pesara diharap dapat terus menyumbang untuk pembangunan negeri. Melalui platform PPKM misalnya, kita percaya mereka boleh terus berkhidmat dan memberi sumbangan kepada Johor dan masyarakatnya secara lebih berkesan. Manfaatkanlah ilmu dan kemahiran yang sedia ada untuk membantu kerajaan negeri melaksanakan pelbagai dasar dan program walaupun dengan cara dan kapasiti yang berbeza. Lebih penting, apa yang kita lakukan pada hari ini adalah kesinambungan daripada apa yang telah mereka mulakan. Kami adalah generasi penerus. Mereka telah meletakkan asas yang sangat kukuh dan membina negeri dan masyarakat ini dengan baik. Maka janganlah berhenti untuk menjadikan Johor lebih berkesejahteraan dan berkemajuan.
Kedua, mengiktiraf sumbangan dan kemampuan pesara itu bukan sekadar wajar, tetapi selayaknya. Sebagai pesara, sebenarnya banyak perkara yang mereka boleh dilakukan. Lebih-lebih lagi, gagasan pembangunan inlkusif di Johor khususnya, memerlukan sumbangan semua pihak. Apabila saya menggagaskan agenda Johor Berkemajuan dan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor misalnya, ia dibina hasil pemerhatian kita tentang apa yang telah wujud dan terbina di seluruh pelusuk Johor. Kita sangat yakin, bahawa semua ini boleh dilaksanakan kerana pesara telah merintis jalan untuknya. Khidmat dan sumbangan mereka jualah yang membolehkan kami merangka semua ini, sebagai generasi penerus.
Begitu juga apabila membangunkan kawasan luar bandar secara radikal melalui pengenalan kepada Rejuvenasi Desa Johor. Dasar ini sebenarnya diilhamkan kerana kita ingin meneruskan apa yang telah mereka mulakan dahulu. Merekalah yang membangunkan Felda dan Kejora. Merekalah yang membasmi kemiskinan di luar bandar dengan pelbagai pendekatan sehingga terbinanya sekolah, terbina jalanraya, terbina klinik dan pusat kesihatan, walau di kawasan paling terpencil.
Maka kerana itu, janganlah berhenti untuk terus menyumbang bakti demi mempertahankan apa yang telah dimulakan sebelum ini. Saya amat yakin, pesara melalui PPKM boleh menjadi pemain utama di pentas masyarakat dalam menjayakan pelbagai agenda Johor Berkemajuan ini.

Hidup Sejahtera Bermaruah
Ketiga, kita mesti memastikan golongan warga emas menjalani kehidupan tua yang sejahtera dan bermaruah, jika kita ingin menjadi bangsa berkemajuan. Antara dasar penting Johor Berkemajuan ialah memastikan pesara dan warga tua kita, menikmati hidup yang bermutu, sejahtera dan bermaruah.
Tanggungjawab ini termasuk memastikan mereka dijaga dan disantuni dengan selayaknya. Mereka perlu dipastikan dapat menikmati hari-hari tua yang produktif dan sejahtera. Menyantuni generasi tua dengan baik, dengan sebaik pekerti dan sebaik perkhidmatan adalah kualiti bangsa maju. Tiada negara maju yang golongan tuanya terbiar tanpa dukungan kerajaan dan masyarakat.
Maka jika Johor Berkemajuan itu adalah tentang membentuk masyarakat maju, yang mempunyai kesejahteraan sosial dan keperkasaan peribadi, maka menjadi tanggungjawab kita untuk memperjuangkan kepentingan pesara dan golongan tua itu dengan sebaik yang mungkin.
Mengiktiraf sumbangan dan peranan pesara atau warga tua adalah agenda utama Johor. Sehubungan dengan itu, kita membuka ruang seluas-luasnya kepada pesara untuk terus menyumbang kepada kemajuan Johor khususnya dan negara amnya. Mereka perlu memanfaatkan pengalaman yang dimiliki sebagai amal soleh demi pembangunan dan masa depan rakyat yang lebih baik. – Berita Harian
Penulis ialah Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin