Friday 14 October 2016

KERAJAAN JOHOR SUDAH BERSEDIA

Kerajaan negeri mengarahkan jawatankuasa bencana peringkat daerah untuk mengenal pasti kawasan yang berkemungkinan dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku 16 hingga 20 Okt ini.
                       
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata arahan itu diberikan kepada setiap pegawai daerah yang bertindak sebagai pengerusi jawatankuasa bencana peringkat daerah. Katanya, setakat ini mesyuarat bencana antara pegawai daerah itu bersama beberapa pihak telah dijalankan bagi membincangkan tindakan awal dan proaktif untuk menghadapi fenomena terbabit.
“Perbincangan termasuk mengenal pasti kawasan yang berpontesi dinaiki air khususnya kawasan persisiran pantai dan rendah bagi mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program FIT Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, di sini hari ini.
Beliau berkata dengan persediaan awal yang diambil itu, pihaknya yakin dapat membuka segera pusat-pusat penempatan di kawasan berisiko bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang ramai. Berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia Johor, kenaikan paras air laut dijangka berada pada paras tertinggi antara 16 hingga 20 Okt ini.
Kawasan yang terlibat ialah pesisir pantai Johor Bahru dengan jangkaan bacaan meter sehingga 3.9 meter, Tanjung Langsat (3.5 meter), Tanjung Pelepas (3.5 meter), Pasir Gudang (3.5 meter), Pulau Pisang (3.5 meter), Pesisir Pantai Endau (3.4 meter), Sungai Belungkor (3.3 meter), Kuala Batu Pahat (3.2 meter), Mersing (3.2 meter) dan Tanjung Sedili 3.0 Meter.