Friday, 14 October 2016

DENGGI MENINGKAT 20% DI JOHOR

 Kes denggi di negeri ini meningkat 20 peratus untuk tempoh 40 minggu dalam tahun ini yang keseluruhannya berjumlah 9,441 kes berbanding 11,812 kes untuk tempoh sama tahun lalu. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, walaupun kes pada kali ini me­ningkat, hanya 18 kes kematian dicatatkan berbanding 37 kematian bagi tempoh sama tahun lalu.
“Pada minggu ke-40 yang ber­akhir kelmarin, dua kematian dica­tatkan di Johor Bahru dan Mersing. Jumlah kes dicatatkan di seluruh negeri untuk minggu ke-40 adalah 109 kes berbanding 131 kes pada minggu sebelumnya,” katanya.
                            

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Sepak Takraw DUN Kemelah 2016 di Dewan Serbaguna Paya Pulai, di sini, baru-baru ini. Pertandingan berkenaan dianjurkan Persatuan Belia Generasi Baru dan Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemelah.
Ayub berkata, Johor Bahru merupakan daerah paling tinggi menyumbang kes denggi di ne­ge­ri ini dan Jabatan Kesihatan negeri kini memantau keadaan tempat-tempat tumpuan awam untuk memastikan tidak menjadi tempat pembiakan aedes. Menurut beliau, antara lokasi tumpuan pihak jabatan adalah tapak-tapak pasar malam di sekitar Johor Bahru. Tambahnya, semburan turut dijalankan setiap dua minggu sekali di lokaliti-lokaliti bekas kawasan tumpuan dengan bantuan daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Tapak pembinaan, terutama di kawasan bandar dikenal pasti sebagai tempat utama pembiakkan nyamuk aedes dan setakat ini pihak kami sudah memeriksa 659,757 permis sepanjang tempoh 40 minggu tahun ini.
“Orang ramai juga perlu lebih peka dengan masalah penularan wabak denggi ini dengan dapat membersihkan persekitaran mereka supaya tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes sama ada ketika musim panas atau sebaliknya,” katanya.
Ambil tahu dan jalankan tanggungjawab masing-masing sebelum terlambat. Sayangi keluarga anda.