Kerajaan Johor akan membina enam inkubator usahawan pada tahun ini dalam usaha memastikan golongan peniaga baharu dapat terus memajukan perniagaan mereka.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata inkubator yang dibina menerusi anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Islam Johor (PIJ) itu lengkap dengan kemudahan membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM8 juta.
Katanya, enam lokasi itu adalah di Taman Perbadanan Islam Johor (PIJ) Bukit Dahlia, berhampiran Litar Lumba Pasir Gudang, Stulang Baharu, Bandar Baru Uda, Pengerang dan Muar.
"Program Inkubator anjuran PIJ ini menjadi landasan terbaik dalam membantu melahirkan lebih ramai golongan usahawan kalangan belia dan golongan muda.
"Perniagaan yang baru dimulakan akan dilengkapi dengan kemudahan, kelengkapan, dana dan bantuan perkhidmatan bagi membantu mereka menempatkan diri dalam pembangunan perniagaan fasa pertama," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah Inkubator Usahawan Johor di Taman PIJ Bukit Dahlia di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Pengurus Besar PIJ Holdings, Abdul Rahman Dewam.
Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri menjangkakan dalam tempoh enam bulan, sejumlah 18 ruang pejabat akan dapat disediakan dengan kadar sewaan serendah RM300 sebulan bagi tahun pertama.