Wednesday, 12 October 2016

ORANG MUDA TIDAK DIABAI DALAM BAJET 2017

 Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Hahasrin Hashim berkata, kecemerlangan kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin melalui bajet sepanjang tiga tahun sebelum ini adalah merupakan satu kebanggaan Bangsa Johor. Oleh itu jelasnya, beliau amat yakin Mohamed Khaled sekali lagi akan dapat mengekalkan momentum di dalam pembentangan Bajet 2017 akan datang.
                                     
“Banyak perkara telahpun pihak negeri laksanakan. Cuma mungkin boleh ditambahbaik dari segi kos sara hidup khususnya orang muda.
“Kita sedar kos sara hidup semakin menghimpit dan bagi orang muda yang baru mahu membina kehidupan sudah pasti banyak perkara perlu dibantu. Bukan maksud saya kita mahu diberi segalanya tetapi mungkin membuka jalan atau didedahkan dengan pelbagai kemahiran agar dapat memacu kepada pendapatan yang lebih baik,” katanya.
Tambah Hahasrin, beliau yakin Kerajaan Negeri sudah pasti akan melakukan yang terbaik untuk Bangsa Johor bagi memastikan rakyat terus dapat menikmati kehidupan yang aman, damai dan sejahtera di samping memperbaiki pendapatan bagi menampung kos sara hidup.
“Saya yakin kerajaan negeri akan menggariskan strategi dan pelan tindakan yang difikirkan terbaik bagi merangsang dan memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri ini.
“Selain itu juga, sudah pasti akan ada pelan-pelan terbaik untuk anak muda negeri ini yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan,” ulasnya. – UMNO Johor Online.