Friday, 16 December 2016

DISKAUN 50% UNTUK LESEN PENJAJA

Lebih 5,000 peniaga kecil di bandaraya ini menyambut baik usaha Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menawarkan potongan 50 peratus bagi permohonan lesen perniagaan penjaja. Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil Pasar Lambak Bergerak Johor Selatan, Yow Boon Choon, berkata pihaknya amat menghargai komitmen MBJB membantu golongan berkenaan walaupun potongan harga itu hanya untuk tempoh setahun berkuat kuasa 2017.
Katanya, sebelum ini penjaja serta peniaga kecil dikenakan bayaran sebanyak RM30 untuk lesen perniagaan yang tempohnya selama enam bulan, dan kini mereka hanya perlu membayar RM15 sahaja.
“Dalam tempoh setahun, kita memperbaharui sebanyak dua kali lesen perniagaan dan dengan adanya potongan harga sebanyak 50 peratus ini, sudah semestinya dapat mengurangkan sedikit beban kewangan yang ditanggung golongan penjaja.
“Memandangkan keadaan ekonomi semasa amat mencabar ketika ini sehingga memberi kesan kepada golongan penjaja, pengumuman MBJB ini adalah tepat pada masanya,” katanya pada sidang media di sini, baru-baru ini.
Boon Choon berkata, pihaknya juga berharap penjaja serta peniaga kecil di kawasan MBJB supaya dengan segera menjelaskan bayaran lesen perniagaan bagi tahun 2017 sebelum 31 Disember ini.
Sementara itu, Ahli Majlis MBJB, Ang Boon Heng, berkata pada Mei lalu, Boon Choon ada membincangkan bersama beliau mengenai perkara berkenaan supaya MBJB dapat mengurangkan kadar bayaran lesen perniagaan.
“Saya kemudian membangkitkan perkara ini pada mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan MBJB, seterusnya dibincangkan pada mesyuarat penuh MBJB dan mendapat persetujuan Datuk Bandar MBJB pada Oktober lalu,” katanya. – Berita Harian