Friday, 16 December 2016

BUMIPUTERA PERLU BERSEDIA UNTUK REBUT PELUANG LIMPAHAN KEMAJUAN DI JOHOR

Pembangunan pesat di Johor akan mewujudkan pelbagai peluang untuk kesemua rakyatnya bagi menambah baik taraf kehidupan mereka. Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata persoalan sebenar adalah sama ada rakyat Johor termasuk bumiputera bersedia untuk mengambil manfaat hasil pertumbuhan dan kemajuan di negeri itu.
“Peluang akan banyak di Johor ini, soalnya adakah semua rakyat termasuk bumiputera akan menyiapkan dan menyediakan diri untuk ambil peluang itu melalui pencapaian mereka dalam pendidikan, dan juga pencapaian mereka dalam kemahiran?
“Kalau mereka tiada itu, tiada siapa yang dapat bantu mereka. Itu sebabnya kerajaan sediakan segala ruang untuk rakyat di Johor ini dapat peluang pendidikan dan peluang kemahiran.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat lawatan ke Sekolah Swasta dan Antarabangsa Paragon di Plentong, hari ini.
Sekolah itu bakal memulakan operasi pada 2 Januari tahun hadapan dengan kemampuan untuk menampung sehingga 2,400 pelajar dan dilengkapi kemudahan perpustakaan moden, kolam renang, serta menawarkan silibus Sijil Am Pendidikan Menengah Antarabangsa (IGCSE) di kampusnya yang berkeluasan 10 ekar.
Tambah beliau, dengan pemeteraian perjanjian Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Malaysia dan Singapura, pelbagai peluang dan manfaat akan dinikmati sekaligus menyumbang kepada pembangunan dan pertumbuhan negeri Johor.
“Kita menyambut baik usaha ini dan kita di Johor akan memulakan langkah-langkah untuk bersedia menentukan manfaat yang maksimum dapat kita lakukan.
“Kita ada masa untuk merangka dan merancang di samping juga kita percaya ia akan dapat memantapkan lagi usaha-usaha pembangunan yang sememangnya kita tetapkan bagi daerah-daerah di mana laluan tersebut akan dibina,” kata beliau.