Thursday, 15 December 2016

JOHOR ADA CARA TERSENDIRI KAWAL MILIKAN HATANAH WARGA ASING


Kerajaan negeri akan memperkenalkan zon antarabangsa secepatnya pada akhir tahun ini dalam usaha mengehadkan serta mengawal pemilikan hartanah warga asing di luar zon terutamanya di Johor Baharu.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata zon antarabangsa itu, yang kini dalam proses dikenal pasti, akan dikenakan cukai tanah dan cukai harta yang tinggi. Beliau berkata kerajaan negeri juga kini dalam proses mengenal pasti pembeli hartanah di negeri ini sebelum zon antarabangsa tersebut diperkenalkan.

"Kemungkinan zon tersebut di kawasan tambak dan Iskandar Malaysia. Kita akan kenakan cukai tanah dan cukai harta yang lebih tinggi bagi kawasan zon antarabangsa bagi membezakan mereka (orang asing) dan rakyat tempatan," kata beliau kepada Bernama dalam satu temu ramah di sini, baru-baru ini.

Selepas zon antarabangsa diperkenalkan, kerajaan negeri juga akan menyekat atau menghadkan pembelian hartanah oleh warga asing di luar zon ini bagi memberi lebih banyak peluang kepada rakyat tempatan.

"Bila mereka duduk di dalam kawasan zon antarabangsa itu, di luar zon itu kita akan sekat warganegara asing daripada membeli rumah. Mungkin ada kadar, dalam 10 peratus macam tu, tapi kadarnya kita belum tetapkan lagi," kata Khaled, yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) itu.

Menurutnya lagi, sekiranya tiada perancangan rapi, rakyat asing akan membeli rumah di merata tempat dan bakal menjejaskan peluang rakyat tempatan khususnya kerana boleh menyebabkan harga pasaran rumah tidak stabil.

Justeru itu, beliau berkata ini adalah antara usaha kerajaan negeri dalam memenuhi permintaan bukan sahaja rakyat tempatan berkaitan rumah mampu milik tetapi juga dalam masa yang sama memenuhi permintaan semasa yang bakal menyumbang kepada ekonomi Johor sendiri.

Dengan adanya zon itu, difahamkan hasil cukai tersebut akan turut digunakan bagi pembangunan di kawasan luar daerah Johor Baharu. Selain itu, kerajaan negeri juga bakal meningkatkan bilangan tanah rizab Melayu di negeri ini dan mewujudkan lingkaran Melayu di bandar sebagai salah satu usaha untuk mengimbangkan populasi pelbagai kaum.

Sementara itu beliau berkata selain usaha kerajaan negeri untuk terus komited menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat, pihaknya juga membuat persiapan bagi menampung permintaan pekerja asing yang dijangka meningkat disebabkan pertambahan pelaburan asing ke Iskandar Malaysia. Iskandar Malaysia dilaporkan mengunjurkan pelaburan baharu bernilai RM22 bilion tahun ini berbanding RM21 bilion pada tahun lepas.

Mengulas mengenai kebimbangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tentang kepesatan pembangunan Johor dan kebanjiran pendatang asing yang boleh mengakibatkan hak rakyat tempatan terjejas, Khaled berkata kerajaan negeri sedar mengenai perkara itu.

"Kita sambut baik pandangan beliau. Kita sedar mengenai perkara itu dan kewujudan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) adalah salah satu daripada usaha kita untuk merangka dan merancang (serta mengatasi cabaran itu)," katanya.

Pada 8 Julai lalu, Dr Mahathir, menerusi blognya, bimbang akan kepesatan pembangunan di Johor yang mengundang kebanjiran pendatang asing serta mengakibatkan sebilangan harga hartanah naik mendadak yang boleh mengurangkan peluang rakyat tempatan memiliki kediaman sendiri.

Menyifatkan isu LPHJ adalah antara cabaran terhebat yang dihadapinya sejak memegang tampuk pimpinan kerajaan negeri sejak Mei tahun lepas, Khaled berkata isu itu kurang difahami oleh masyarakat terutamanya yang tinggal di luar Johor.

"Jadi, hendak betulkan persepsi mereka yang seolah-olah tujuan enakmen tu untuk memberi kuasa yang mutlak kepada raja, padahal ia tidak bermaksud sedemikian dan soal nak betulkan persepsi tu dan untuk mengatasi kebimbangan pihak-pihak tersebut, merupakan cabaran terhebat," kata beliau.
Khaled berkata LPHJ diwujudkan bagi mengatasi cabaran utama di Johor iaitu bagaimana mahu memenuhi permintaan rakyat berkaitan perumahan.

"Rakyat hendak supaya mereka memiliki rumah yang mereka mampu beli. Tujuan lembaga ini adalah agar perkara ini dapat direalisasikan dan dapat dipermudahkan," kata beliau.

Kerajaan negeri menyasar untuk membina sebanyak 28,000 rumah mampu milik dalam masa lima tahun. Selain itu, katanya, tindakan tegas turut diambil dengan menyenaraihitamkan 28 pemaju tahun ini kerana gagal membina lebih 30,000 unit rumah kos rendah terutama di kawasan Iskandar Malaysia dalam tempoh ditetapkan.