Tuesday 10 January 2017

LEBIH RM100 JUTA UNTUK KULAI

Lawatan kerja sehari Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin ke Parlimen Kulai hari ini memberi rahmat kepada penduduk apabila pelbagai peruntukan pembangunan lebih RM100 juta disalurkan ke kawasan berkenaan.
Ia meliputi pembinaan Pusat Pentadbiran baharu Daerah Kulai dengan kos RM60.3 juta.
Pusat itu akan dibina di kawasan seluas 12.3 ekar di Indahpura.
Kerajaan Negeri juga akan membina enam buah sekolah agama baharu dengan kos RM40 juta melalui projek pembinaan sekolah agama Johor fasa 5.
Ia tidak termasuk sebuah sekolah yang sedang dibina di Bandar Putra melalui projek fasa 4 dengan kos RM8 juta.
Melalui peruntukan bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, sebuah masjid baharu akan dibina di Jalan Cengal Bandar Putra dengan kos RM4 juta.
Projek yang akan dilaksanakan oleh Johor Corporation (JCorp) itu akan mula dilaksanakan tahun ini.
Mohamed Khaled juga mengumumkan peruntukan RM54 juta untuk membina sebuah sekolah menengah baharu di Bandar Putra.
Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan kerja-kerja meluruskan ‘Selekoh S’ Batu 21, jalan Johor Bahru-Air Hitam dengan kos RM8 juta yang akan dilaksanakan tahun ini.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM1.5 juta untuk membina jalan asas perumahan generasi kedua Kampung Melayu Ulu Choh serta RM300,000 bagi membina jalan asas penempatan penduduk Kampung Sri Maju, Senai.
Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sejumlah RM600,000 untuk menaik taraf dewan raya, naik taraf jalan raya dan pembinaan jalan baru di Kampung Murni Jaya.
Untuk masyarakat di Felda Taib Andak, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM500,000 untuk menaik taraf kemudahan dan jalan asas ke projek perumahan generasi kedua felda itu.
Turut diumumkan ialah peruntukan RM300,000 untuk menaik taraf dewan dan balai raya di felda berkenaan.
Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan sejumlah RM500,000 untuk membina kompleks Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Felda Bukit Batu.
Bagi permasalahan tapak perkuburan Islam Batu 23 yang hampir penuh, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM600,000 bagi penyediaan tapak perkuburan baharu di Bandar Putra.
Kerajaan Negeri juga akan menaik taraf kemudahan eko-pelancongan Hutan Rekreasi Gunung Pulai dengan peruntukan sejumlah RM500,000.
Kerajaan Negeri juga akan menperuntukkan sejumlah RM150,000 bagi membina dewan serbaguna Kampung Air Manis.
Tidak ketinggalan, RM100,000 untuk menaik taraf masjid Ulu Choh dan RM100,000 untuk membina pejabat JKKK Kampung Sri Muar.
Bagi tapak pengurusan mayat masyarakat India, Kerajaan Persekutuan sudah memperuntukkan sejumlah RM1.2 juta untuk tujuan itu.
Bagaimanapun, pembinaannya akan dilaksanakan selepas perbincangan antara pelbagai pihak termasuk pejabat daerah dan pemimpin masyarakat setempat untuk mengenal pasti kawasan yang sesuai bagi tujuan itu.