Masyarakat daerah ini tidak seharusnya terlalu mengharap bantuan kerajaan sebaliknya berusaha mencari jalan untuk menangani peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat berkata, satu usaha paling mudah adalah bercucuk tanam di sekeliling rumah bagi menjimatkan belanja dapur.
“Ini bukan bermakna kerajaan tidak lagi mahu menghulur bantuan kepada rakyat, malah jauh sekali tidak mempunyai peruntukkan bagi membantu rakyat.
“Tidak salah untuk menanam bunga bagi menghiasi persekitaran rumah, namun lebih baik jika diselangi dengan sayur-sayuran yang boleh memberi manfaat untuk belanja dapur,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Majlis Daerah Segamat (YMDS) berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Ceria Kembali ke Sekolah anjuran YMDS di Dewan Jubli Intan Segamat di sini, semalam.
Yang turut hadir ialah Yang di Pertua MDS, Miswan Yunus, Ketua Whip MDS, Kamal Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Whip MDS, Tan Hong Ping.
Pada majlis tersebut seramai 160 pelajar, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar dengan e-Kasih serta kakitangan MDS yang bergaji rendah menerima bantuan melibatkan peruntukan keseluruhan RM20,800.
Sementara itu, Lim Yuk Siang, 43, ibu tunggal dari Jementah mengakui sumbangan tersebut meringankan bebannya yang baru dua bulan kehilangan suami akibat penyakit buah pinggang.
Katanya, pada sesi persekolahan akan datang, tiga daripada enam anaknya masih bersekolah iaitu dua di tingkatan satu dan seorang lagi darjah enam.
Menurutnya, wang tunai itu akan digunakan untuk membeli kelengkapan serta keperluan persekolahan tiga anaknya yang akan memulakan sesi persekolahan 2017 tidak lama lagi.
Shanti Subramaniam, 41, dari Batu Anam yang juga mempunyai dua anak yang masih bersekolah melahirkan rasa syukur kerana terpilih menjadi penerima sumbangan tersebut.
“Suami bekerja sebagai buruh membina jalan raya dengan pendapatan tidak seberapa dan tidak menentu terutama kedatangan musim tengkujuh ketika ini menyebabkannya tidak boleh bekerja.
“Walaupun bantuan yang diterima ini tidak cukup menampung keseluruhan kos persiapan persekolahan anak saya, namun sekurang-kurangnya apa yang diperoleh dapat meringankan beban kami,” katanya. – Utusan Online