Tuesday 3 January 2017

PERHIDMATAN AWAM PERLU LEBIH CEKAP UNTUK MASA DEPAN RAKYAT

Perkhidmatan awam tidak seharusnya dilihat sebagai sekadar satu struktur dan organ pentadbiran, sebaliknya, ia mewakili sesuatu yang jauh lebih penting dan besar daripada itu.
Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata, perkhidmatan awam Johor sangat penting kerana masa depan rakyat dan hala tuju negeri banyak bergantung kepada kecekapan dan keupayaan para anggota perkhidmatan awam untuk melaksanakan peranan mereka dengan cekap dan baik.
Katanya, terdapat beberapa sebab utama mengapa insititusi itu harus sentiasa memainkan peranan dengan berkesan, responsif, kreatif dan inovatif demi memartabatkan mutu perkhidmatan awam di negeri ini.
“Pertama, kecekapan perkhidmatan awam membolehkan lebih banyak dasar dan agenda pembangunan diperkenal dan ditransformasikan secara radikal.
“Kedua, kecekapan perkhidmatan awam boleh menjadi instrumen yang menutup segala ruang ketirisan, korupsi dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Serah Terima Tugas Setiausaha Kerajaan Johor yang baharu di Dewan Negeri Johor di sini hari ini.
Katanya, kecekapan perkhidmatan awam juga boleh menjadi satu imej yang positif dan identiti yang baik kepada sesebuah negara.
“Lihat sahaja apa yang diperkatakan tentang negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan serta negara-negara Skandinavia seperti Norway dan Sweden.
“Kecemerlangan perkhidmatan awam mereka bukan sahaja memanfaatkan rakyat. Tetapi menjadi teladan seluruh masyarakat dunia.   Malah menjadi identiti yang baik kepada mereka sebagai sebuah bangsa dan negara,” katanya.
Ujar beliau lagi, kecemerlangan perkhidmatan awam juga boleh menyebabkan berlakunya penjimatan sumber, sama ada sumber kewangan dan sumber manusia serta boleh meningkatkan keyakinan dan kerjasama masyarakat untuk bersama-sama menyokong dan menjayakan pelan dan agenda yang dicadangkan oleh Kerajaan.
“Akhirnya, perkhidmatan awam ini sebenarnya, bukan sahaja satu amanah dan tugas rasmi yang sangat besar yang mesti dilunaskan dengan sebaik mungkin, tetapi ia juga adalah satu tanggungjawab moral yang mesti dipikul dengan penuh rasa bangga dan semangat yang patriotik serta merupakan ruang dan peluang kepada kita sebagai anak-anak Johor untuk memberikan khidmat bakti kepada tempat asal kita.
“Jadi, marilah kita semua meletakkan peranan perkhidmatan awam di Johor di tempat yang sewajar dengan peranannya dan sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan kecekapan dan kecemerlangannya,” kata beliau.
Pada majlis itu, beliau turut mengalu-alukan pelantikan Azmi Rohani sebagai SUK yang baharu.
“Saya amat berbesar hati dengan perlantikan ini dan mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat datang dan selamat bertugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang ke-24.
“Saya yakin, beliau bukan sahaja orang yang sangat layak dan berpengalaman luas untuk menjawat jawatan penting ini, tetapi saya percaya, beliau pastinya diselimuti keterujaan dan semangat yang berkobar-kobar untuk bersama-sama memberikan yang terbaik kepada Johor.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada mantan SUK, Dato’ Ismail Karim atas segala jasa beliau sepanjang perkhidmatan beliau.
“Kepimpinan dan kewibawaan Dato’ Ismail telah memastikan perkhidmatan awam di Johor berjalan dengan lancar dan cekap.
“Beliau telah berjaya mewujudkan keseimbangan yang diperlukan, antara perkhidmatan awam dengan peranan Istana, Eksekutif dan Legislatif.
“Justeru, pada kesempatan ini, saya secara peribadi dan mewakili seluruh kakitangan dan jentera Kerajaan Negeri, ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Dato’ Ismail Karim di atas perkhidmatan cemerlang beliau selama ini,” katanya.