Wednesday, 19 October 2016

SENARAI JAWATAN KOSONG DI PBT




JAWATAN KOSONG : Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah

1.PEMBANTU TADBIR (PERKERANIAN/OPERASI) GRED N19
2.PEMBANTU TADBIR (KEWANGAN) GRED W19
3.PEMBANTU AKAUNTAN GRED W19
4.PEMBANTU PENILAIAN GRED W19
5.PEMBANTU PENGUAT KUASA GRED KP19
6.PEMBANTU KEMAHIRAN GRED H19
7.PEMANDU KENDERAAN GRED H11
8.PELUKIS PELAN (KEJURUTERAAN AWAM)/ PENOLONG JURUTERA GRED JA29
9.PELUKIS PELAN (SENI BINA) / PENOLONG PEGAWAI SENI BINA GRED JA29
10.PENOLONG PEGAWAI PERANCANG BANDAR DAN DESA GRED JA29
11.PENOLONG ARKITEK LANDSKAP GRED JA29
12.PENOLONG PEGAWAI KESIHATAN PERSEKITARAN GRED U29
13.PENOLONG PEGAWAI TADBIR GRED N29
14.PENOLONG PEGAWAI PENGUATKUASA GRED KP29

Tarikh tutup: 8 Nov 2016

Maklumat lanjut >>
http://www.iklanjawatankosong.org/jawatan-kosong-majlis-perbandaran-johor-bahru-tengah/

P/S: Tolong klik "Share" , sebarkan dan 'tag' kawan2 yang lain.

BAIK PULIH RUMAH SECARA PERCUMA

 Muafakat Kesukarelaan Darul Ta’zim menawarkan khidmat sukarelawan untuk membaik pulih rumah dengan percuma di 56 Dun di negeri ini mulai 22 Oktober.
                           
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata peluang tersebut ditawarkan khususnya buat golongan yang kurang berkemampuan dengan memberi keutamaan kepada golongan tua atau warga emas, asnaf, uzur dan cacat serta tempat ibu tunggal yang mempunyai ramai tanggungan.
“Program ini bertujuan untuk melestarikan aktiviti kesukarelaan dan kecergasan di negeri Johor secara menyeluruh cetusan idea di bawah pimpinan Menteri Besar Dato’ Mohamed Khaled Nordin.
“Kami menyediakan bantuan membaik pulih kerosakan kecil rumah seperti plag, mentol, zink, siling, mengecat serta baik pulih kecil serta kumpulan sasar yang mendiami rumah adalah terdiri daripada golongan asnaf dan daif yang benar-benar memerlukan bantuan dengan sasaran lima rumah di setiap DUN,” katanya.
Zulkurnain berkata menjadi harapan buat kerajaan untuk melaksanakan program ini secara konsisten bagi melahirkan lebih ramai sukarelawan yang berkaliber dan berkemahiran bersama-sama membantu kesejahteraan masyarakat yang kurang berkemampuan. Katanya, semangat sukarela akan wujud dalam setiap peserta yang mengikuti program ini yang diserikan dengan aktiviti berbasikal amal menerusi ‘Johor future cycling’ dan larian ‘Run for volunteer’.
“Faktor perubahan gaya hidup masa kini yang lebih moden memerlukan program yang dapat mengimbangi supaya belia Malaysia khususnya di Johor tidak terlalu hanyut dengan dunia tanpa sempadan.
“Ia digerakkan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan melalui Strategi Lautan Biru (NBOS) dalam membantu menyejahterakan rakyat ia akan dapat mewujudkan kesejahteraan dalam masyarakat,” katanya.
Program yang diadakan di 56 DUN ini akan dilaksanakan selepas sukarelawan terlebih dahulu menjalankan soal selidik bersama Adun tentang kawasan yang perlu dihadiri oleh sukarelawan untuk permohonan bantuan dikenal pasti bagi kelulusan berasaskan sumber yang diperakukan oleh agensi pelaksana peringkat negeri atau menerusi pendaftaran terbuka. – SINAR HARIAN

PEMUDA DAN BELIA HARUS REBUT PELUANG INI

Hab kemahiran "Skills Johor" yang dilancarkan oleh YAB Dato Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi tadi merupakan satu terjemahan kerajaan pimpinan YAB Dato Mohamed Khaled Nordin selaku Menteri Besar dalam pembangunan modal insan khususnya untuk orang muda di Johor.

                                         
Peluang yang dicipta ini selari dengan pelbagai pelan pembangunan ekonomi seperti Hab Minyak & Gas di Pengerang serta Pelan Pertumbuhan Strategik Johor yang tanpa modal insan berkemahiran tidak akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

                      
Pemuda UMNO Johor menyokong usaha ini malahan penganjuran Johor Mahir sejak 2 tahun lepas membuktikan kemahiran adalah menjadi satu keperluan bagi orang muda masa kini.
Orang muda dan belia Johor perlu memanfaatkan usaha ini sebaiknya agar dapat dilengkapi dengan aset terbaik dalam menyiapkan diri menjadi satu bangsa Johor yang berkemajuan.

MEREKA KINI BERSAMA UMNO

UMNO terus menerima suntikan para artis apabila Kelab UMNO Artis Tanah Air (KUAT) ditubuhkan dan dilihat sebagai platform terbaik untuk membantu parti berkenaan selain menghargai jasa dan sumbangan parti terbabit. Presiden Kelab terbabit, Datuk A Rahman Hassan berkata beliau dan rakan-rakan artis yang lain merasa terpanggil untuk membantu parti berkenaan dan menunjukkan sokongan mereka terhadap UMNO.
                   
“Kita bukan mahu mencari salah sesiapa sebaliknya ingin membalas apa yang telah dilakukan selama ini. Sejak daripada kami lahir hinggalah ke hari ini sumbangan parti ini perlu dihargai.
“Usaha yang dirintis ini telah lama iaitu pada tahun lepas lagi dan Alhamdulillah kali ini Kelab UMNO Artis Tanah Air menjadi realiti dan kita akan membantu sebaik mungkin untuk memastikan UMNO terus mendapat sokongan.
“Kita tidak mahu mencari salah sesiapa sebaliknya akan bergerak sebagai satu platform yang terbaik untuk parti ini. Insya Allah kita sedia bekerjasama dan menghulurkan apa yang perlu untuk kepentingan bersama,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
                 
Seramai 13 artis terpanggil untuk menubuhkan Kelab UMNO Artis Tanahair (Kuat) dalam usaha membalas budi serta menunjukkan sokongan mereka kepada UMNO. Selain A Rahman, mereka yang lain di dalam kelab tersebut ialah Datuk Yusof Haslam selaku Timbalan manakala, Azlee Jaafar sebagai Setiausaha Agung dan Datuk Ziela Jalil pula sebagai bendahari.
Ahli Jawatankuasanya pula terdiri daripada, Khir Rahman, Datuk Nash, Datin Paduka Shuhaimi Baba, Liza Abdullah, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Azman Salleh, Datuk Suhaimi Mohd Zain, Dira Abu Zahar dan Rahim Jailani.
A.Rahman seterusnya menegaskan beberapa perancangan dan program akan dilaksanakan termasuklah jelajah dan sebagainya dalam usaha membantu memberi kesedaran kepada pihak luar khususnya artis mengenai jasa parti ini.
“Apa yang kita harapkan aktiviti yang akan dijalankan nanti sedikit sebanyak membantu parti ini. Insya Allah,” ujarnya. –MediaUMNO

Tuesday, 18 October 2016

PELUANG UNTUK PEMUDA DAN BELIA JOHOR

Kerajaan Johor komited mengarusperdanakan pendidikan teknikal dan latihan kemahiran sebagai langkah membina Johor yang berdaya saing dan berkemajuan. Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, Johor membangunkan potensi kemahiran bukan semata-mata untuk bekalan tenaga kerja mahir, tetapi mahu menjadi Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab dengan membangunkan potensi setiap rakyatnya.
                             
“Dan yakinlah, kita membangunkan potensi kemahiran ini bukan semata-mata kerana memerlukan pekerja mahir yang ramai. Kita melakukannya kerana kita mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk membangunkan kebolehan setiap rakyat Johor.
“Agar kemahiran yang mereka punyai, bolah menjadi aset paling penting untuk mereka membina kehidupan. Agar mereka tidak tercicir. Agar dengannya, mereka dapat meningkatkan lagi kemahiran diri dari semasa ke semasa,” katanya.
                             
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pembangunan Hab Kemahiran Johor yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, hari ini. Beliau berkata, atas sebab itu, Johor memerlukan Pusat Pembangunan Pendidikan Teknikal dan Kemahiran berbanding universiti awam. Justeru katanya, pelancaran hab kemahiran itu sangat penting bagi membangunkan potensi mereka yang gagal menenpa tempat ke menara gading.
“Pelancaran Skills Johor pada petang ini adalah sangat penting. Kerana kita bukan sekadar membangunkan prasarana fizikal. Tetapi kita sedang membangunkan penggerak masa depan Johor. Kita sedang membangunkan apa yang saya gelar the Johor soft infrastructure.
                             
“Infrastruktur yang tanpanya, Johor tidak akan menjadi kuasa ekonomi baru Malaysia. Yang tanpanya, pembangunan kita tidak akan inklusif sifatnya. Dan yang tanpanya, kita akan meminggir dan memperjudikan masa depan ratusan ribu anak-anak muda kita, yang tidak berpeluang ke universiti dan dibiar tidak mempunyai kemahiran untuk bersaing di pasaran buruh.
Hadir sama pada majlis itu ialah Speaker Dewan Negeri, Tan Sri Mohamad Aziz, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ismail Karim, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Md Jais Sarday.

Monday, 17 October 2016

DEKOTER MYTV SECARA PERCUMA

Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan MYTV Broadcasting Sdn Bhd yang dilancarkan Jun ini dilihat bakal menjadi pesaing kepada ASTRO tidak lama lagi.

                        

Siaran televisyen ini akan menyediakan 80 siaran dan 40 saluran radio secara percuma kepada rakyat Malaysia dengan 45 siaran yang menggunakan teknologi berdefinisi tinggi (HD - high Definition)
Siaran ini juga akan menyajikan gambar dan suara dalam format digital yang jauh lebih baik daripada sekarang, disertakan dengan pelbagai ciri terkini untuk memberi pengalaman menonton yang baru kepada pengguna.
Bayaran yang dikenakan hanya RM200 untuk satu dekoder tanpa bayaran bulanan. Kepada penerima BR1M pula boleh mendapatkannya secara percuma tanpa perlu membayar apa-apa.
Pada peringkat permulaan siaran ini boleh dinikmati oleh kumpulan penonton di Pantai Timur merangkumi Pahang, Terengganu dan Kelantan. Fasa seterusnya akan diperluaskan ke Sabah, Serawak serta Kawasan Utara dan Selatan Semenanjung.
Siaran ini ada melalui fasa-fasa tertentu dengan matlamat dapat meliputi 98 peratus muka bumi Malaysia dengan DTTB yang menyediakan 80 siaran TV dan 40 siaran Radio secara percuma menjelang akhir 2017. 
Jadi kita pengguna yang bijak kenapa perlu menggunakan siaran yang dibayar tiap-tiap bulan dengan harga yang mahal. Pilihan ditangan anda dan buatlah pilihan yang bijak dan tepat.

Untuk maklumat lanjut dan semakan cara mendapatkan decoder MYTV secara percuma sila semak dilink berikut : http://mytvbroadcasting.my/index.php

Sunday, 16 October 2016

PROJEK SUNGAI SEGGET SIAP HUJUNG TAHUN INI

Melihat beberapa komen dari sahabat FACEBOOK berkenaan projek Sungai Segget, hari ni admin bawakan sedikit info berkenaannya. 
 Fasa Satu dan Dua berkaitan rehabilitasi dan menaiktaraf Sungai Segget dijangka siap sepenuhnya penghujung tahun ini. Ia sekaligus membolehkan Jalan Wong Ah Fook, yang kini dibuka hanya satu lorong, dibuka sepenuhnya Januari depan. Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata sehingga kini, dua fasa projek itu telah siap 88 peratus, manakala kerja-kerja landskap dan pengindahan pula dijangka selesai pada 2018.
                                          
“Fasa Satu membabitkan pembinaan loji rawatan air kumbahan (Sewage Treatment Plant) dan Fasa Dua, yang melibatkan penyediaan sistem tebatan banjir, akan siap penghujung tahun ini.
“Ia membolehkan Jalan Wong Ah Fook kembali dibuka kepada tiga lorong termasuk satu lorong khas untuk pengangkutan awam seperti bas,” katanya kepada media selepas menerima taklimat mengenai status projek tersebut di Pejabat Projek itu, dekat sini, hari ini.
Taklimat lebih sejam itu disampaikan oleh Pengarah Projek Sungai Segget, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Mohd Zam Mustaman. Yang turut hadir adalah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Abd. Latif Bandi; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johot Bahru, A. Rahim Nin dan Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim. Mohamed Khaled berkata Fasa Ketiga projek itu akan membabitkan kerja-kerja landskap bagi mengindahkan kawasan terbabit, melibatkan perbelanjaan sebanyak RM40 juta.
“Kita bertuah kerana projek ini menerima peruntukan dari Kerajaan Pusat berjumlah RM280 juta.
“Kos bagi Fasa Satu dan Dua sahaja berjumlah RM240 juta, manakala selebihnya untuk Fasa Ketiga,” katanya.
Beliau menambah, usaha memulihkan Sungai Segget kepada era kegemilangannya memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk masyarakat.
“Menjaga dan memelihara kebersihan sungai selepas ia dinaiktaraf penting bagi mengelakkan ia kembali menjadi kotor seperti keadaan sebelum dinaiktaraf.
“Semua ini, kalau rakyat tidak jaga, kita kena tanggung kos penyelenggaraan yang tinggi,” katanya.
Beliau turut menambah, apabila siap sepenuhnya, projek itu mampu menjadi satu lagi daya tarikan bertaraf global untuk Bandaraya Johor Bahru.
“Jadi masyarakat kena bersama-sama memastikan ini menjadi kenyataan,” ujarnya lagi.

"TRANSJOHOR" - TERMINAL BAS LARKIN BAKAL TUKAR ?

Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) hari ini melancarkan Perkhidmatan Bas TransJohor dan Pelan Induk Pengangkutan Awam Johor (PIPAJ) bagi menambah baik aspek pengangkutan awam di Johor. Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata pelaksanaan kedua-dua inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menambah baik jaringan dan sistem pengangkutan khususnya pengangkutan awam di Johor.
                             
“Johor sedang beranjak menjadi sebuah negeri metropolitan yang berkepentingan serantau dan global terutamanya dalam menarik masuk pelaburan dari luar. Untuk itu, setiap kawasan di sini mestilah terhubung dengan baik demi kerancakan dan keseimbangan ekonomi.
“Melalui PIPAJ, sistem logistik dan pengangkutan barang yang cekap dan lancar bukan lagi keperluan, tetapi suatu kemestian bagi memastikan urusan penghantaran dan pengurusan mobiliti barang dapat dilaksanakan dengan cekap agar Johor menjadi destinasi pelaburan yang dinamik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Sempena Majlis Pelancaran Perkhidmatan Bas TransJohor dan Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Johor (PIPAJ) di Terminal Bas dan Teksi Gelang Patah, pagi tadi. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), Suhairi Hashim dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Dr. Badrul Hisham Kassim. Mohamed Khaled turut menegaskan bahawa di Johor, kesejahteraan hidup masyarakat juga akan dapat ditambah baik jika mereka dapat menikmati sistem dan jaringan pengangkutan awam yang baik
“Untuk tujuan tersebut, Kerajaan Negeri merangka satu pelan pengangkutan yang komprehensif dan memperkenalkan sistem bas yang berkesan iaitu TransJohor.
“Dengan jumlah jajaran perkhidmatan sejauh 742 kilometer dan meliputi 14 laluan melibatkan sembilan kawasan Pihak Berkuasa Tempatan, ia akan dilengkapi dengan kemudahan pendingin hawa, wifi percuma dan GPS bagi memudahkan pengguna mengetahui lokasi bas.
“Malah, PAJ juga akan menubuhkan sebuah pusat kawalan perkhidmatan bagi memantau setiap pergerakan bas di dalam kawasan yang ditetapkan bagi menyelesaikan masalah pengguna yang perlu menunggu bas terlalu lama,” katanya.
Beliau juga berkata, sistem pengangkutan awam yang baik juga adalah penting untuk menjayakan Johor Lestari dan memastikan pembangunan negeri yang mapan, terancang dan harmoni dengan persekitaran yang sihat.
“Perkara itu juga selari dengan usaha untuk menjadi perintis kepada projek yang berkonsepkan teknlogi hijau dan menjadi bandar hijau pertama di negara ini.
“Malah, ia turut merangkumi salah satu komponen dalam PIPAJ yang akan memeta perancangan untuk tempoh antara 30 hingga 50 tahun akan datang demi kelestarian alam sekitar,” katanya.
Pada majlis sama, turut berlangsung perasmian Terminal Bas dan Teksi Gelang Patah. Terminal berkeluasan 1.7 ekar itu telah siap dibina semula dengan kos keseluruhan berjumlah RM6.8 juta bagi meningkatkan kualiti kemudahan awam dan keselesaan pengguna. Lokasi terminal yang berada dalam lingkungan kemudahan utama seperti klinik kesihatan, sekolah dan balai polis menjadikan terminal itu sentiasa mendapat tumpuan selain menjadi pusat transit daripada Gelang Patah ke Singapura dan pusat bandar serta kawasan sekitarnya.

Friday, 14 October 2016

INI YANG BERLAKU SEBENARNYA

"Contrary to social media reports, DYMM Sultan Johor declined the offer to become the next Yang di-Pertuan Agong because he wants to strictly adhere to the rotation system set by the Conference of Rulers. Under this time–tested succession pattern, the Sultan of Kelantan is next in line, followed by the Sultan of Pahang. Sultan Ibrahim Sultan Iskandar respects and understands the rule of succession by rotation and wishes to abide by this."
"Bercanggah dengan laporan media sosial, DYMM Sultan Johor sebenarnya telah menolak tawaran untuk menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong seterusnya kerana Baginda menghormati dan mengikuti sistem giliran yang ditentukan oleh Majlis Raja-Raja. Dibawah aturan corak pewarisan sedia ada, DYMM Sultan Kelantan adalah calon seterusnya, dan diikuti oleh DYMM Sultan Pahang. Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menghormati dan memahami aturan menaiki takhta secara giliran, dan ingin mematuhinya."

Sumber dari https://www.facebook.com/selamanya.johor?fref=ts#
                         

Diatas adalah apa yang sebenarnya berlaku. Bukan seperti yang terebar di media sosial yang kononnya DYMM Sultan Johor menolak untuk menjadi Agong ke-15 kerana igin fokus di Negeri Johor dan Bangsa Johor sahaja.

Jadi berhentilah menyebarkan berita itu kerana ianya akan menyebabkan nama baik Tuanku Sultan Johor tercemar kerana alasan yang sedemikan kelihatan kurang profesional. 

Kita sebagai Bangsa Johor sepatutnya menjaga nama baik DYMM Sultan Johor bukanlah mencemarkannya.

DAULAT TUANKU

DENGGI MENINGKAT 20% DI JOHOR

 Kes denggi di negeri ini meningkat 20 peratus untuk tempoh 40 minggu dalam tahun ini yang keseluruhannya berjumlah 9,441 kes berbanding 11,812 kes untuk tempoh sama tahun lalu. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, walaupun kes pada kali ini me­ningkat, hanya 18 kes kematian dicatatkan berbanding 37 kematian bagi tempoh sama tahun lalu.
“Pada minggu ke-40 yang ber­akhir kelmarin, dua kematian dica­tatkan di Johor Bahru dan Mersing. Jumlah kes dicatatkan di seluruh negeri untuk minggu ke-40 adalah 109 kes berbanding 131 kes pada minggu sebelumnya,” katanya.
                            

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Sepak Takraw DUN Kemelah 2016 di Dewan Serbaguna Paya Pulai, di sini, baru-baru ini. Pertandingan berkenaan dianjurkan Persatuan Belia Generasi Baru dan Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemelah.
Ayub berkata, Johor Bahru merupakan daerah paling tinggi menyumbang kes denggi di ne­ge­ri ini dan Jabatan Kesihatan negeri kini memantau keadaan tempat-tempat tumpuan awam untuk memastikan tidak menjadi tempat pembiakan aedes. Menurut beliau, antara lokasi tumpuan pihak jabatan adalah tapak-tapak pasar malam di sekitar Johor Bahru. Tambahnya, semburan turut dijalankan setiap dua minggu sekali di lokaliti-lokaliti bekas kawasan tumpuan dengan bantuan daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Tapak pembinaan, terutama di kawasan bandar dikenal pasti sebagai tempat utama pembiakkan nyamuk aedes dan setakat ini pihak kami sudah memeriksa 659,757 permis sepanjang tempoh 40 minggu tahun ini.
“Orang ramai juga perlu lebih peka dengan masalah penularan wabak denggi ini dengan dapat membersihkan persekitaran mereka supaya tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes sama ada ketika musim panas atau sebaliknya,” katanya.
Ambil tahu dan jalankan tanggungjawab masing-masing sebelum terlambat. Sayangi keluarga anda. 

KERAJAAN JOHOR SUDAH BERSEDIA

Kerajaan negeri mengarahkan jawatankuasa bencana peringkat daerah untuk mengenal pasti kawasan yang berkemungkinan dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku 16 hingga 20 Okt ini.
                       
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata arahan itu diberikan kepada setiap pegawai daerah yang bertindak sebagai pengerusi jawatankuasa bencana peringkat daerah. Katanya, setakat ini mesyuarat bencana antara pegawai daerah itu bersama beberapa pihak telah dijalankan bagi membincangkan tindakan awal dan proaktif untuk menghadapi fenomena terbabit.
“Perbincangan termasuk mengenal pasti kawasan yang berpontesi dinaiki air khususnya kawasan persisiran pantai dan rendah bagi mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program FIT Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, di sini hari ini.
Beliau berkata dengan persediaan awal yang diambil itu, pihaknya yakin dapat membuka segera pusat-pusat penempatan di kawasan berisiko bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang ramai. Berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia Johor, kenaikan paras air laut dijangka berada pada paras tertinggi antara 16 hingga 20 Okt ini.
Kawasan yang terlibat ialah pesisir pantai Johor Bahru dengan jangkaan bacaan meter sehingga 3.9 meter, Tanjung Langsat (3.5 meter), Tanjung Pelepas (3.5 meter), Pasir Gudang (3.5 meter), Pulau Pisang (3.5 meter), Pesisir Pantai Endau (3.4 meter), Sungai Belungkor (3.3 meter), Kuala Batu Pahat (3.2 meter), Mersing (3.2 meter) dan Tanjung Sedili 3.0 Meter.

BERKHIDMAT UNTUK RAKYAT DAN NEGARA TIADA TARIKH LUPUT

Kejayaan Malaysia banyak bergantung kepada sumbangan semua rakyat termasuk mereka yang telah bersara daripada perkhidmatan. Walaupun sejak kebelakangan ini kita banyak memberi tumpuan kepada modal insan dalam kalangan generasi muda untuk membangunkan negara, pesara turut perlu digesa memainkan peranan yang sama.
Hasrat ini saya nyatakan sewaktu merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tahunan Ke-18, Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM), Bahagian Negeri Johor 2016 baru-baru ini. Rata-rata rakyat Malaysia bersara seawal usia 56 tahun sehinggalah 60 tahun. Terdapat profesion yang diperlukan sumbangan menjangkaui usia persaraan seperti ahli akademik atau profesor. Malah, sebelum ini ada gesaan daripada Majlis Profesor Negara (MPN) agar tempoh persaraan ahli akademik dilanjutkan pada usia 65 tahun seperti amalan di beberapa buah negara lain.
Kita percaya perkembangan ini membuktikan bahawa peranan dan sumbangan pesara masih diperlukan. Melalui pengalaman yang dimiliki oleh kumpulan ini dan ‘lebih dahulu makan garam’, mereka boleh terus menyumbang dalam perspektif yang tersendiri ke arah pembangunan dan kemajuan negara. Dalam membicarakan hal ini, tulisan saya ingin menyerlahkan tiga perkara penting.
                                   
Khidmat Bakti Berterusan
Pertama, tidak ada istilah tarikh luput dalam berkhidmat kepada bangsa dan negara. Hakikatnya, tarikh persaraan hanyalah satu tarikh rasmi tamatnya perkhidmatan  dalam Kerajaan. Akan tetapi, kita semua sedar dan akur bahawa tidak ada tarikh luput dalam memberi khidmat dan bakti kepada negara dan bangsa. Selagi kudrat mampu bergerak, selagi akal waras berfikir, selagi itulah kita dituntut memberi dan menyumbang kepada agama dan bangsa kita. Sebetulnya, satu-satunya tarikh tamat perkhidmatan kita kepada anak bangsa dan negara ini, adalah pada tarikh berpisahnya nyawa daripada jasad. 
Dalam konteks di Johor, pesara diharap dapat terus menyumbang untuk pembangunan negeri. Melalui platform PPKM misalnya, kita percaya mereka boleh terus berkhidmat dan memberi sumbangan kepada Johor dan masyarakatnya secara lebih berkesan. Manfaatkanlah ilmu dan kemahiran yang sedia ada untuk membantu kerajaan negeri melaksanakan pelbagai dasar dan program walaupun dengan cara dan kapasiti yang berbeza. Lebih penting, apa yang kita lakukan pada hari ini adalah kesinambungan daripada apa yang telah mereka mulakan. Kami adalah generasi penerus. Mereka telah meletakkan asas yang sangat kukuh dan membina negeri dan masyarakat ini dengan baik. Maka janganlah berhenti untuk menjadikan Johor lebih berkesejahteraan dan berkemajuan.
Kedua, mengiktiraf sumbangan dan kemampuan pesara itu bukan sekadar wajar, tetapi selayaknya. Sebagai pesara, sebenarnya banyak perkara yang mereka boleh dilakukan. Lebih-lebih lagi, gagasan pembangunan inlkusif di Johor khususnya, memerlukan sumbangan semua pihak. Apabila saya menggagaskan agenda Johor Berkemajuan dan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor misalnya, ia dibina hasil pemerhatian kita tentang apa yang telah wujud dan terbina di seluruh pelusuk Johor. Kita sangat yakin, bahawa semua ini boleh dilaksanakan kerana pesara telah merintis jalan untuknya. Khidmat dan sumbangan mereka jualah yang membolehkan kami merangka semua ini, sebagai generasi penerus.
Begitu juga apabila membangunkan kawasan luar bandar secara radikal melalui pengenalan kepada Rejuvenasi Desa Johor. Dasar ini sebenarnya diilhamkan kerana kita ingin meneruskan apa yang telah mereka mulakan dahulu. Merekalah yang membangunkan Felda dan Kejora. Merekalah yang membasmi kemiskinan di luar bandar dengan pelbagai pendekatan sehingga terbinanya sekolah, terbina jalanraya, terbina klinik dan pusat kesihatan, walau di kawasan paling terpencil.
Maka kerana itu, janganlah berhenti untuk terus menyumbang bakti demi mempertahankan apa yang telah dimulakan sebelum ini. Saya amat yakin, pesara melalui PPKM boleh menjadi pemain utama di pentas masyarakat dalam menjayakan pelbagai agenda Johor Berkemajuan ini.

Hidup Sejahtera Bermaruah
Ketiga, kita mesti memastikan golongan warga emas menjalani kehidupan tua yang sejahtera dan bermaruah, jika kita ingin menjadi bangsa berkemajuan. Antara dasar penting Johor Berkemajuan ialah memastikan pesara dan warga tua kita, menikmati hidup yang bermutu, sejahtera dan bermaruah.
Tanggungjawab ini termasuk memastikan mereka dijaga dan disantuni dengan selayaknya. Mereka perlu dipastikan dapat menikmati hari-hari tua yang produktif dan sejahtera. Menyantuni generasi tua dengan baik, dengan sebaik pekerti dan sebaik perkhidmatan adalah kualiti bangsa maju. Tiada negara maju yang golongan tuanya terbiar tanpa dukungan kerajaan dan masyarakat.
Maka jika Johor Berkemajuan itu adalah tentang membentuk masyarakat maju, yang mempunyai kesejahteraan sosial dan keperkasaan peribadi, maka menjadi tanggungjawab kita untuk memperjuangkan kepentingan pesara dan golongan tua itu dengan sebaik yang mungkin.
Mengiktiraf sumbangan dan peranan pesara atau warga tua adalah agenda utama Johor. Sehubungan dengan itu, kita membuka ruang seluas-luasnya kepada pesara untuk terus menyumbang kepada kemajuan Johor khususnya dan negara amnya. Mereka perlu memanfaatkan pengalaman yang dimiliki sebagai amal soleh demi pembangunan dan masa depan rakyat yang lebih baik. – Berita Harian
Penulis ialah Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin

Wednesday, 12 October 2016

ORANG MUDA TIDAK DIABAI DALAM BAJET 2017

 Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Hahasrin Hashim berkata, kecemerlangan kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin melalui bajet sepanjang tiga tahun sebelum ini adalah merupakan satu kebanggaan Bangsa Johor. Oleh itu jelasnya, beliau amat yakin Mohamed Khaled sekali lagi akan dapat mengekalkan momentum di dalam pembentangan Bajet 2017 akan datang.
                                     
“Banyak perkara telahpun pihak negeri laksanakan. Cuma mungkin boleh ditambahbaik dari segi kos sara hidup khususnya orang muda.
“Kita sedar kos sara hidup semakin menghimpit dan bagi orang muda yang baru mahu membina kehidupan sudah pasti banyak perkara perlu dibantu. Bukan maksud saya kita mahu diberi segalanya tetapi mungkin membuka jalan atau didedahkan dengan pelbagai kemahiran agar dapat memacu kepada pendapatan yang lebih baik,” katanya.
Tambah Hahasrin, beliau yakin Kerajaan Negeri sudah pasti akan melakukan yang terbaik untuk Bangsa Johor bagi memastikan rakyat terus dapat menikmati kehidupan yang aman, damai dan sejahtera di samping memperbaiki pendapatan bagi menampung kos sara hidup.
“Saya yakin kerajaan negeri akan menggariskan strategi dan pelan tindakan yang difikirkan terbaik bagi merangsang dan memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri ini.
“Selain itu juga, sudah pasti akan ada pelan-pelan terbaik untuk anak muda negeri ini yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan,” ulasnya. – UMNO Johor Online.

PEMILIHAN AGONG KE-15 JUMAAT INI

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-242 di Istana Negara di sini.
Mesyuarat selama dua hari itu dihadiri semua Raja Melayu dengan diiringi Menteri Besar masing-masing. Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang dan Sabah hadir pada mesyuarat itu diiringi Ketua Menteri masing-masing. Sementara itu, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Khas akan diadakan Jumaat ini bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-15.
                                 
Ketika ini, jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14 disandang oleh Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berkuat kuasa 13 Dis 2011 dan tempoh perkhidmatan Tuanku Abdul Halim akan berakhir 12 Disember ini. Jika berdasarkan sistem penggiliran yang ditetapkan Majlis Raja-Raja, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berada pada giliran sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.
Terdapat beberapa faktor yang akan dipertimbangkan oleh Majlis Raja-Raja menerusi undi rahsia bagi menentukan pengganti seterusnya seperti baginda yang dilantik berkenan untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong dan tidak mengalami kelemahan atau ketidakupayaan mental.
Selain itu, baginda yang dilantik adalah merupakan raja yang berada di kedudukan teratas, mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima raja lain serta bukan seseorang yang telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal berturut-turut.
Mengikut kebiasaan sebelum proses pemilihan berlangsung, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja terlebih dahulu akan menanyakan raja yang seterusnya dalam senarai giliran mengenai kesediaannya untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Sembilan raja berkenaan kemudian akan membuat undi rahsia dan sekiranya raja dalam senarai itu mendapat lima undian, baginda dengan rasminya dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong seterusnya. Proses yang sama diulangi untuk memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong, yang akan memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong semasa ketiadaan baginda di dalam negara atau kerana keuzuran.
Adakah ini petanda awal bahawa DYMM Sultan Johor bakal menjadi Yang Di Pertuan Agong yang seterusnya.

Tuesday, 11 October 2016

NEGERI GEMILANG RAIH RM20,000

Lagu ‘Negeri Gemilang’, lirik ciptaan Abdul Latif Arshad yang dinyanyikan oleh Mohd Hafiz Mohd Suip (Hafiz AF) dinobatkan sebagai juara Anugerah Lagu Johor (ALJ) 2016 bagi kategori Ciptaan Lagu, sekaligus berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM20,000 beserta piala iringan.
Penganjuran ALJ 2016 yang masuk kali ke-2 itu juga menyaksikan kumpulan Keroncong MPPG muncul juara bagi Kategori Kumpulan Tradisional Kreatif Lagu Johor dengan lagu bertajuk ‘Johor Tanahair Tercinta’, manakala kumpulan Tuxedo berjaya memenangi kategori Kumpulan Pop Lagu Johor dengan lagu bertajuk ‘Johorku’.
                          
Pemenang masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM10,000 dan RM7,000 beserta piala iringan. Hadiah disampaikan oleh Menteri Besar Johor,Dato’ Mohamed Khaled Nordin. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan; Pengarah Yayasan Warisan Johor, Shahrin Rahmat dan Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Ismail Karim.
ALJ 2016 yang bersiaran secara langsung dari Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) malam tadi menyaksikan 12 buah lagu berentap merebut gelaran juara bagi tiga kategori. Ia diadili oleh barisan juri profesional terdiri daripada Datuk Ramli MS, Datuk Suhaimi Md Zin (Pak Ngah), Helen Yap, Fauzi Marzuki, Andy Flop Poppy, Aznan Alias dan Sufian Suhaimi.
Program tersebut turut menampilkan Dato’ AC Mizal sebagai pengacara majlis serta penampilan istimewa penyanyi tersohor seperti Hazama, Indah Ruhaila dan Ernie Zakri. Persembahan turut diserikan dengan penampilan Kumpulan Classmates, HyperAct, Natasha Yazer serta kumpulan Kelab Penyokong Bola Sepak Johor Darul Ta’zim, Boys of Streets (BOS). Lebih 5,000 pengunjung membanjiri Stadium MPPG bagi menyaksikan anugerah tersebut yang juga boleh ditonton menerusi siaran Astro Ria 104.
 Untuk terus mencungkil bakat anak muda di Negeri Johor, ALJ akan terus diadakan setiap tahun. Dan kerajaan negeri berharap lebih ramai anak muda akan menyertainya padam asa akan datang. 
                           

Monday, 10 October 2016

TANAH RIZAB MELAYU DI JOHOR TERUS MENINGKAT

 Jumlah tanah rizab Melayu di Johor meningkat iaitu sebanyak 555,000 hektar setakat Oktober tahun ini berbanding pada tahun 2012 iaitu 294,000 hektar. Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata jumlah itu menjadikan Johor negeri paling tinggi memiliki tanah rizab Melayu iaitu 29 peratus keluasan negeri.
“Semua tanah-tanah kerajaan yang kita luluskan, contohnya pertanian, semuanya adalah rizab Melayu dan diberi kepada orang Melayu. Ini termasuk juga projek-projek pembangunan perumahan seperti Taman Perbadanan Islam.
“Jadi atas sebab itu, kita dapat lihat pertambahan kawasan rizab Melayu iaitu pada tahun 2012 kita ada 294,000 hektar, tetapi sekarang dah naik kepada 555,000 hektar iaitu bersamaan 29 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Rumah Mampu Milik Taman Perbadanan Islam Rengit, dekat sini, hari ini.
                                               
Ditanya mengenai sasaran bagi meningkatkan jumlah tanah rizab Melayu, beliau berkata Kerajaan Negeri tidak mempunyai sasaran khusus, bagaimanapun akan mengambil mana-mana peluang untuk meningkatkan atau menambah jumlah tersebut demi menjaga kepentingan orang Melayu di Johor. Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled turut menyatakan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan pertambahan jumlah kehadiran orang Melayu yang tinggal di kawasan bandar.
“Di samping kita meningkat dan memelihara (tanah rizab Melayu), kita juga menambah kehadiran orang Melayu dalam bandar. Dari segi dasar, orang Melayu amat penting duduk di bandar supaya berlakunya keseimbangan,” katanya.
Jelas beliau, antara usaha yang dilakukan adalah melalui konsep pembangunan kawasan perumahan seperti Taman Perbadanan Islam oleh Kumpulan PIJ Holdings. Mohamed Khaled berkata menerusi projek itu, ia mampu menggalakkan orang Melayu untuk tinggal di bandar, selain turut membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman di kawasan bandar.
“Taman Perbadanan Islam ini merupakan manifestasi bagaimana seriusnya Kerajaan Negeri Johor dalam soal untuk menyediakan rumah yang mampu dimiliki oleh rakyat di lokasi strategik dalam bandar atau pusat pertumbuhan baharu.
“Ia menunjukkan bahawa dalam pembangunan dan kepesatan ekonomi yang sedang kita lalui pada masa ini, kita juga memberi perhatian yang serius kepada perkara yang membawa kesejahteraan kepada rakyat,” katanya ketika berucap menyempurnakan majlis pecah tanah pembangunan projek tersebut di kawasan Rengit, dekat sini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd Latiff Bandi, Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Ismail Karim, Pengarah Urusan PIJ Holdings Sdn. Bhd., Rozan Mohd Sa’at; Pegawai Daerah Batu Pahat, Ab Han Ramin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit, Ayub Jamil.
Sebanyak 136 unit kediaman bakal dibina menerusi projek itu iaitu 58 unit Rumah Mampu Milik Johor, 78 unit rumah kos sederhana dan 13 unit bangunan kedai dan pejabat dua tingkat. Pembangunan Taman Perbandanan Islam Rengit ini merupakan yang kelima selepas Taman Perbadanan Islam Larkin, Taman Perbadanan Islam Teluk Permata, Taman Perbadanan Islam Stulang Baru dan Taman Perbadanan Islam Maharani. Kesemuannya dikelaskan sebagai tanah rizab Melayu.
Pada majlis sama, Mohamed Khaled turut menyampaikan geran hak milik tanah kepada 30 pemohon bagi memilik tanah dalam daerah kecil Rengit yang terletak di sekitar Sungai Dulang Darat, Kampung Belahan Tampok dan Parit Jurami. Ia melibatkan keluasan tanah keseluruhannya 40 ekar bagi kategori pertanian dan dusun di Mukim Sungai Kluang dan Mukim Sungai Punggor.

Sunday, 9 October 2016

BIAR BANGSA JOHOR NILAI SENDIRI

 Kerajaan Negeri menegaskan segala pembangunan dan kemakmuran ekonomi yang dicatatkan di Johor bukanlah satu kenyataan yang retorik semata-mata, tetapi menjadi kayu ukur pencapaian dan kemampuan kerajaan sedia ada mentadbir negeri.
Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata melaluinya rakyat dapat menilai sendiri betapa majunya Johor di bawah kepemimpinan Barisan Nasional (BN). Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa mempunyai agenda dan matlamat pembangunan yang jelas, di samping peka terhadap keperluan rakyat.  
                           
“Parti pembangkang boleh cakap apa sahaja, tetapi kita di peringkat Kerajaan Negeri tahu apa yang kita lakukan selama ini untuk membawa pelbagai kemajuan di Johor.
“Malah, rakyat juga tahu perkara ini kerana mereka dapat melihat sendiri betapa majunya Johor ketika ini,” katanya.
Mohamed Khaled berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persimpangan Bertingkat Senai Airport City dan Bukit Amber di Kilometer 10.95, Lebuh Raya Utara Selatan, Senai dekat sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pembangkang mampu menawan Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Dr Mahathir berkata demikian ketika berucap pada Program Bicara Rakyat Bersatu di Kampung Sungai Terap, Muar malam tadi.
Katanya, BN Johor tidak akan menyerah dan akan terus berjuang memenangi hati rakyat.
“BN Johor tidak akan menyerah dan akan terus melawan dan apa yang perlu kita lakukan bukannya hanya dengan retorik tetapi tunjukkan matlamat kita, agenda kita, usaha kita, pencapaian kita di Johor dan sebagainya.
“Kita mempunyai agenda yang jelas dan manifesto untuk membawa Johor jauh ke hadapan malah manifesto kita dalam pilihanraya lalu, 92 peratus sudah dicapai,” katanya.
Sementara itu, mengenai pembentangan Bajet 2017, beliau berkata Kerajaan Negeri mahu Kerajaan Persekutuan menimbangkan beberapa peruntukan untuk Johor khususnya dalam soal bekalan air dan pengangkutan awam.
“Dari segi rangkaian jalan raya dan sebagainya kita sudah berpuas hati dan kita tahu banyak Kerajaan Persekutuan sudah belanjakan untuk itu.
“Jadi sama-samalah kita tunggu ucapan bajet oleh Perdana Menteri dan kita berdoa semoga Johor mendapat perkara-perkara yang dirasakan perlu untuk mendokong kita mencapai hasrat dan matlamat kita,” katanya.
Pembangkang boleh kata apa sahaja yang mereka suka. Dan kita sebagai Kerajaan Negeri telah menjalankan tugas dengan sebaik mungkin. Kemudian kita serahkan kepada Bangsa Johor sendiri untuk menilai kerana saya Bangsa Johor adalah bangsa yang bijak.