Monday 10 October 2016

TANAH RIZAB MELAYU DI JOHOR TERUS MENINGKAT

 Jumlah tanah rizab Melayu di Johor meningkat iaitu sebanyak 555,000 hektar setakat Oktober tahun ini berbanding pada tahun 2012 iaitu 294,000 hektar. Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata jumlah itu menjadikan Johor negeri paling tinggi memiliki tanah rizab Melayu iaitu 29 peratus keluasan negeri.
“Semua tanah-tanah kerajaan yang kita luluskan, contohnya pertanian, semuanya adalah rizab Melayu dan diberi kepada orang Melayu. Ini termasuk juga projek-projek pembangunan perumahan seperti Taman Perbadanan Islam.
“Jadi atas sebab itu, kita dapat lihat pertambahan kawasan rizab Melayu iaitu pada tahun 2012 kita ada 294,000 hektar, tetapi sekarang dah naik kepada 555,000 hektar iaitu bersamaan 29 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Rumah Mampu Milik Taman Perbadanan Islam Rengit, dekat sini, hari ini.
                                               
Ditanya mengenai sasaran bagi meningkatkan jumlah tanah rizab Melayu, beliau berkata Kerajaan Negeri tidak mempunyai sasaran khusus, bagaimanapun akan mengambil mana-mana peluang untuk meningkatkan atau menambah jumlah tersebut demi menjaga kepentingan orang Melayu di Johor. Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled turut menyatakan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan pertambahan jumlah kehadiran orang Melayu yang tinggal di kawasan bandar.
“Di samping kita meningkat dan memelihara (tanah rizab Melayu), kita juga menambah kehadiran orang Melayu dalam bandar. Dari segi dasar, orang Melayu amat penting duduk di bandar supaya berlakunya keseimbangan,” katanya.
Jelas beliau, antara usaha yang dilakukan adalah melalui konsep pembangunan kawasan perumahan seperti Taman Perbadanan Islam oleh Kumpulan PIJ Holdings. Mohamed Khaled berkata menerusi projek itu, ia mampu menggalakkan orang Melayu untuk tinggal di bandar, selain turut membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman di kawasan bandar.
“Taman Perbadanan Islam ini merupakan manifestasi bagaimana seriusnya Kerajaan Negeri Johor dalam soal untuk menyediakan rumah yang mampu dimiliki oleh rakyat di lokasi strategik dalam bandar atau pusat pertumbuhan baharu.
“Ia menunjukkan bahawa dalam pembangunan dan kepesatan ekonomi yang sedang kita lalui pada masa ini, kita juga memberi perhatian yang serius kepada perkara yang membawa kesejahteraan kepada rakyat,” katanya ketika berucap menyempurnakan majlis pecah tanah pembangunan projek tersebut di kawasan Rengit, dekat sini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd Latiff Bandi, Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Ismail Karim, Pengarah Urusan PIJ Holdings Sdn. Bhd., Rozan Mohd Sa’at; Pegawai Daerah Batu Pahat, Ab Han Ramin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit, Ayub Jamil.
Sebanyak 136 unit kediaman bakal dibina menerusi projek itu iaitu 58 unit Rumah Mampu Milik Johor, 78 unit rumah kos sederhana dan 13 unit bangunan kedai dan pejabat dua tingkat. Pembangunan Taman Perbandanan Islam Rengit ini merupakan yang kelima selepas Taman Perbadanan Islam Larkin, Taman Perbadanan Islam Teluk Permata, Taman Perbadanan Islam Stulang Baru dan Taman Perbadanan Islam Maharani. Kesemuannya dikelaskan sebagai tanah rizab Melayu.
Pada majlis sama, Mohamed Khaled turut menyampaikan geran hak milik tanah kepada 30 pemohon bagi memilik tanah dalam daerah kecil Rengit yang terletak di sekitar Sungai Dulang Darat, Kampung Belahan Tampok dan Parit Jurami. Ia melibatkan keluasan tanah keseluruhannya 40 ekar bagi kategori pertanian dan dusun di Mukim Sungai Kluang dan Mukim Sungai Punggor.