Tuesday 11 October 2016

NEGERI GEMILANG RAIH RM20,000

Lagu ‘Negeri Gemilang’, lirik ciptaan Abdul Latif Arshad yang dinyanyikan oleh Mohd Hafiz Mohd Suip (Hafiz AF) dinobatkan sebagai juara Anugerah Lagu Johor (ALJ) 2016 bagi kategori Ciptaan Lagu, sekaligus berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM20,000 beserta piala iringan.
Penganjuran ALJ 2016 yang masuk kali ke-2 itu juga menyaksikan kumpulan Keroncong MPPG muncul juara bagi Kategori Kumpulan Tradisional Kreatif Lagu Johor dengan lagu bertajuk ‘Johor Tanahair Tercinta’, manakala kumpulan Tuxedo berjaya memenangi kategori Kumpulan Pop Lagu Johor dengan lagu bertajuk ‘Johorku’.
                          
Pemenang masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM10,000 dan RM7,000 beserta piala iringan. Hadiah disampaikan oleh Menteri Besar Johor,Dato’ Mohamed Khaled Nordin. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan; Pengarah Yayasan Warisan Johor, Shahrin Rahmat dan Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Ismail Karim.
ALJ 2016 yang bersiaran secara langsung dari Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) malam tadi menyaksikan 12 buah lagu berentap merebut gelaran juara bagi tiga kategori. Ia diadili oleh barisan juri profesional terdiri daripada Datuk Ramli MS, Datuk Suhaimi Md Zin (Pak Ngah), Helen Yap, Fauzi Marzuki, Andy Flop Poppy, Aznan Alias dan Sufian Suhaimi.
Program tersebut turut menampilkan Dato’ AC Mizal sebagai pengacara majlis serta penampilan istimewa penyanyi tersohor seperti Hazama, Indah Ruhaila dan Ernie Zakri. Persembahan turut diserikan dengan penampilan Kumpulan Classmates, HyperAct, Natasha Yazer serta kumpulan Kelab Penyokong Bola Sepak Johor Darul Ta’zim, Boys of Streets (BOS). Lebih 5,000 pengunjung membanjiri Stadium MPPG bagi menyaksikan anugerah tersebut yang juga boleh ditonton menerusi siaran Astro Ria 104.
 Untuk terus mencungkil bakat anak muda di Negeri Johor, ALJ akan terus diadakan setiap tahun. Dan kerajaan negeri berharap lebih ramai anak muda akan menyertainya padam asa akan datang.