Kerajaan Johor komited mengarusperdanakan pendidikan teknikal dan latihan kemahiran sebagai langkah membina Johor yang berdaya saing dan berkemajuan. Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, Johor membangunkan potensi kemahiran bukan semata-mata untuk bekalan tenaga kerja mahir, tetapi mahu menjadi Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab dengan membangunkan potensi setiap rakyatnya.
“Dan yakinlah, kita membangunkan potensi kemahiran ini bukan semata-mata kerana memerlukan pekerja mahir yang ramai. Kita melakukannya kerana kita mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk membangunkan kebolehan setiap rakyat Johor.
“Agar kemahiran yang mereka punyai, bolah menjadi aset paling penting untuk mereka membina kehidupan. Agar mereka tidak tercicir. Agar dengannya, mereka dapat meningkatkan lagi kemahiran diri dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pembangunan Hab Kemahiran Johor yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, hari ini. Beliau berkata, atas sebab itu, Johor memerlukan Pusat Pembangunan Pendidikan Teknikal dan Kemahiran berbanding universiti awam. Justeru katanya, pelancaran hab kemahiran itu sangat penting bagi membangunkan potensi mereka yang gagal menenpa tempat ke menara gading.
“Pelancaran Skills Johor pada petang ini adalah sangat penting. Kerana kita bukan sekadar membangunkan prasarana fizikal. Tetapi kita sedang membangunkan penggerak masa depan Johor. Kita sedang membangunkan apa yang saya gelar the Johor soft infrastructure.
“Infrastruktur yang tanpanya, Johor tidak akan menjadi kuasa ekonomi baru Malaysia. Yang tanpanya, pembangunan kita tidak akan inklusif sifatnya. Dan yang tanpanya, kita akan meminggir dan memperjudikan masa depan ratusan ribu anak-anak muda kita, yang tidak berpeluang ke universiti dan dibiar tidak mempunyai kemahiran untuk bersaing di pasaran buruh.
Hadir sama pada majlis itu ialah Speaker Dewan Negeri, Tan Sri Mohamad Aziz, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ismail Karim, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Md Jais Sarday.