Wednesday, 19 October 2016

MEREKA KINI BERSAMA UMNO

UMNO terus menerima suntikan para artis apabila Kelab UMNO Artis Tanah Air (KUAT) ditubuhkan dan dilihat sebagai platform terbaik untuk membantu parti berkenaan selain menghargai jasa dan sumbangan parti terbabit. Presiden Kelab terbabit, Datuk A Rahman Hassan berkata beliau dan rakan-rakan artis yang lain merasa terpanggil untuk membantu parti berkenaan dan menunjukkan sokongan mereka terhadap UMNO.
                   
“Kita bukan mahu mencari salah sesiapa sebaliknya ingin membalas apa yang telah dilakukan selama ini. Sejak daripada kami lahir hinggalah ke hari ini sumbangan parti ini perlu dihargai.
“Usaha yang dirintis ini telah lama iaitu pada tahun lepas lagi dan Alhamdulillah kali ini Kelab UMNO Artis Tanah Air menjadi realiti dan kita akan membantu sebaik mungkin untuk memastikan UMNO terus mendapat sokongan.
“Kita tidak mahu mencari salah sesiapa sebaliknya akan bergerak sebagai satu platform yang terbaik untuk parti ini. Insya Allah kita sedia bekerjasama dan menghulurkan apa yang perlu untuk kepentingan bersama,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
                 
Seramai 13 artis terpanggil untuk menubuhkan Kelab UMNO Artis Tanahair (Kuat) dalam usaha membalas budi serta menunjukkan sokongan mereka kepada UMNO. Selain A Rahman, mereka yang lain di dalam kelab tersebut ialah Datuk Yusof Haslam selaku Timbalan manakala, Azlee Jaafar sebagai Setiausaha Agung dan Datuk Ziela Jalil pula sebagai bendahari.
Ahli Jawatankuasanya pula terdiri daripada, Khir Rahman, Datuk Nash, Datin Paduka Shuhaimi Baba, Liza Abdullah, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Azman Salleh, Datuk Suhaimi Mohd Zain, Dira Abu Zahar dan Rahim Jailani.
A.Rahman seterusnya menegaskan beberapa perancangan dan program akan dilaksanakan termasuklah jelajah dan sebagainya dalam usaha membantu memberi kesedaran kepada pihak luar khususnya artis mengenai jasa parti ini.
“Apa yang kita harapkan aktiviti yang akan dijalankan nanti sedikit sebanyak membantu parti ini. Insya Allah,” ujarnya. –MediaUMNO