Wednesday, 26 October 2016

EDC DAN PIJ TERUS BANTU USAHAWAN BELIA

                   

Pusat Pembangunan Usahawan Negeri Johor (EDC) & Perbadanan Islam Johor (PIJ) Menjalin Kerjasama Menganjurkan Seminar Berkenaan Peluang Perniagaan Food Truck.

Program Ini disertai lebih 250 orang yang diadakan di EDC,Bandar Baru Uda.Antara Pengisian Program Seperti Taklimat Pembiayaan Oleh MARA,Taklimat Business In Transformation (BIT) Oleh Perbadanan Nasional Berhad (PNS),Taklimat Oleh PBT (MBJB/MPPG/MPKu) Dan Perkongsian Berkenaan Food Truck Oleh Tokoh Usahawan Food Truck.


Program ini medium untuk memberi penerangan dan pelbagai info berkenaan Food Truck. Sebanyak 6 Buah Food Truck Turut Terlibat Sepanjang Program Ini Berlangsung.

Untuk sebarang pertanyaan hubungi EDC di :




Lokasi Kami Di Google Maps »

PERBADANAN USAHAWAN JOHOR SDN BHD
NO 40, 42, 44, UDA BUSINESS CENTRE
JALAN PADI EMAS 1/2, BANDAR BARU UDA,
81200, JOHOR BHARU
JOHOR DARUL TAKZIM

Tel: 07-2445644
Fax: 07-2445844
Email: admin@edcofjohor.org

KEBAKARAN HSA : PEMUDA UMNO JOHOR TERUS HULUR BANTUAN

                  
Pergerakan Pemuda UMNO Johor hari ini mengadakan lawatan mangsa kebakaran Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru yang dipindahkan ke Hospital Permai Tampoi.
Dalam lawatan tersebut pergerakan Pemuda UMNO Johor Menyampaikan Bantuan Berupa Kelengkapan Kipas Angin Kepada Pihak Hospital Permai Dan Menyampaikan Sumbangan Tunai Kepada 30 pesakit yang terlibat dalam pemindahan dari Hospital Sultanah Aminah JB.
Sumbangan ini dibuat setelah mengambil kira barangan keperluan yang disumbang oleh NGO dan orang ramai telah mencukupi. Dan terdapat mesej yang viral dilaman sosial bahawa pesakit yang dipindahkan di Hospital Permai Tampoi ini kekurangan kipas.
Pemuda UMNO Johor komited terus memberi bantuan kepada pihak yang terlibat dengan tragedi HSA.Sumbangan Disampaikan Oleh Ketua Pemuda UMNO Bhg.Pulai,Sdra. Sheikh Nafiq Mewakili Pemuda UMNO Johor.

Tuesday, 25 October 2016

PELUANG BARU UNTUK USAHAWAN BELIA JOHOR

Kerajaan Johor akan membina enam inkubator usahawan pada tahun ini dalam usaha memastikan golongan peniaga baharu dapat terus memajukan perniagaan mereka.
           
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata inkubator yang dibina menerusi anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Islam Johor (PIJ) itu lengkap dengan kemudahan membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM8 juta.

Katanya, enam lokasi itu adalah di Taman Perbadanan Islam Johor (PIJ) Bukit Dahlia, berhampiran Litar Lumba Pasir Gudang, Stulang Baharu, Bandar Baru Uda, Pengerang dan Muar.

"Program Inkubator anjuran PIJ ini menjadi landasan terbaik dalam membantu melahirkan lebih ramai golongan usahawan kalangan belia dan golongan muda.
"Perniagaan yang baru dimulakan akan dilengkapi dengan kemudahan, kelengkapan, dana dan bantuan perkhidmatan bagi membantu mereka menempatkan diri dalam pembangunan perniagaan fasa pertama," katanya.
          
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah Inkubator Usahawan Johor di Taman PIJ Bukit Dahlia di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Pengurus Besar PIJ Holdings, Abdul Rahman Dewam.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri menjangkakan dalam tempoh enam bulan, sejumlah 18 ruang pejabat akan dapat disediakan dengan kadar sewaan serendah RM300 sebulan bagi tahun pertama.

Borang Permohonan Inkubator Belia Islam

https://telegram.me/muafakatjohor

KEBAKARAN HSA : TERIMA KASIH KEPADA BANGSA JOHOR

                        
Semalam kita telah dikejutkan dengan satu tragedi yang amat sedih. Dan admin percaya kesannya masih terasa hingga hari ini. Tapi apa yang admin nak ceritakan hari adalah KEMUAFAKATAN BANGSA JOHOR dalam menghadai musibah. Dikesempatan ini admin ingin mengucapkan takziah kepada kelaurga mangsa.
         
Perasaan admin bercampur baur sejak semalam. Ada rasa sedih, pilu, seronok dan bangga pun ada. Ini kerana dalam sekelip mata pelbagai pihak datang menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di HSA.

Mana yang berkemampuan datang dengan membawa bekalan barangan keperluan dan yang kurang berkemampuan pula datang untuk menyumbang tenaga. Bantuan terus datang dari pelbagai latarbelakang.

Bantuan yang diberi tidak putus-putus sejak dari tersebarnya berita kebakaran HSA tersebut hingga kelarut malam. Malah admin difahamkan sehingga kini masih ada lagi sukarelawan yang terus berkampung untuk membantu mangsa walaupun dalam keadaan cuaca yang kurang elok.

Apa yang lebih membaggakan admin adalah kerana pelbagai bangga, umur dan latarbelakang datang bergabung tenaga untuk membantu mangsa.

Admin juga ingin mengucapkan terima kasih kepada "HERO" kita seperti Bomba, JPM, Polis dan pihak HSA sendiri yang bertindak pantas memnyelamatkan keadaan.

Terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri yang memberi respon pantas dengan turun melihat sendiri penderitaan mangsa. Serta sumbangan kilat kepada keluarga mangsa yng diberi serta merta.

Dan menjunjung kasih kepada DYMM Sultan Johor yang bukan sahaja mencemar duli melawat mangga tapi turut membenarkan wad diraja diguna untuk sementara waktu.

Melihat apa yang berlaku semalam jelas sekali konsep Bangsa Johor yang dikatakan oleh Sultan Johor amat tepat dan Muafakat Johor yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri telah berjaya.

KERAJAAN NEGERI AKAN PASTIKAN KELUARGA MANGSA TERBELA

 Kerajaan Negeri menzahirkan ucapan takziah kepada waris mangsa yang terlibat dalam tragedi kebakaran di Hospital Sultanah Aminah, pagi tadi.
                     
Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata pihak bomba mendapat laporan mengenai kebakaran itu kira-kira pukul 8.50 pagi dan telah berjaya mengawal kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) daripada merebak ke bangunan lain dalam tempoh satu jam.
“Kita ingin menyampaikan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga mangsa yang telibat dalam kebakaran di tingkat 2 unit ICU HSA pada pagi tadi.
“Pihak bomba telah mendapat laporan kira-kira jam 8.50 pagi tadi dan bomba telah sampai ke kawasan ini pada pukul 9.05 pagi. Maknanya unit yang pertama sampai telah dapat mengambil tindakan yang segera untuk memadamkan dan mencegah kebakaran daripada merebak dalam masa satu jam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meluangkan masa kira-kira 1 jam melawat dan menyerahkan sumbangan kepada waris mangsa kebakaran di sini hari ini. Beliau berkata, hasil laporan daripada pihak bomba, seramai enam orang pesakit yang dirawat di unit itu meninggal dunia dalam kebakaran, manakala terdapat beberapa kakitangan cedera parah dalam usaha menyelamatkan pesakit.
                    
“Untuk makluman seramai enam orang mangsa yang telah meninggal dunia manakala kakitangan yang cedera adalah kerana berusaha untuk menyelamatkan pesakit-pesakit,” katanya sambil menambah punca kematian dan kebakaran masih dalam siasatan.
Ujar beliau lagi, pihak bomba sudah membuat pemeriksaan dan mengesahkan bahawa bahagian lain wad di hospital berkenaan selamat untuk digunakan.
“Bomba telah pun menyatakan bahawa mereka mengkuarantin kawasan yang terbakar, tingkat dua itu manakala kawasan lain itu masih dalam keadaan yang selamat, tiada masalah, jadi apabila kebakaran itu berlaku pihak hospital telah memindahkan pesakit kira-kira 400 orang.
                               
“Jadi buat masa ini lain-lain kawasan hospital dinyatakan selamat untuk digunakan oleh pihak bomba,” katanya.
Mohamed Khaled turut memuji dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat seperti petugas hospital, bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam menangani situasi ini.
Tambah beliau, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut mengambil berat mengenai kejadian itu.
“Tuanku benarkan buat sementara untuk gunakan wad diraja yang lama sebagai tempat untuk pesakit ICU ini diguna.
“Tuanku juga ambil berat dan meminta laporan penuh, selain mahu usaha-usaha baik pulih kawasan tersebut dilakukan dengan segera,” katanya.
Mengenai bantuan kepada waris mangsa, beliau berkata Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sudah menyumbang sebanyak RM100,000 untuk keperluan keluarga mangsa dan bantuan keperluan lain.
“MAIJ telah menyumbang sebanyak RM100,000 dan Kerajaan Negeri akan menampung kalau ada apa-apa kekurangan dan sebagainya,” katanya.

GUNA WAD DIRAJA UNTUK SEMENTARA : TITAH SULTAN JOHOR

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar telah berkenan mencemar duli ke Hospital Sultanah Aminah bagi melihat perkembangan semasa tragedi kebakaran di hospital berkenaan, lapor Harian Metro.
                   
Baginda dalam lawatan berkenaan telah menitahkan supaya Wad Diraja di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dibuka sementara bagi menempatkan pesakit Unit Rawatan Rapi (ICU).
                    
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Baginda Sultan telah memberi keizinan menggunakan wad Di Raja selepas melawat lokasi kebakaran.

"Sultan Johor bertitah supaya Wad Diraja yang lama di hospital ini digunakan sementara untuk dijadikan wad ICU dan menempatkan pesakit,"katanya.

Daulat Tuanku, Sememangnya tuanku adalah Sultan Berjiwa rakyat.
                    

UCAPAN TAKZIAH PEMUDA UMNO JOHOR

Pergerakan Pemuda UMNO Johor ingin menzahirkan rasa takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat di dalam kejadian kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA) pagi tadi.

                      
Kami bersimpati di atas kejadian yang menimpa mangsa di dalam kejadian kebakaran pagi tadi, dan sehubungan dengan perkara ini, Pemuda UMNO Johor sepakat untuk menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa dan kakitangan hospital yang terlibat.
Kami menyeru semua sukarelawan di bawah Pemuda atau pihak syarikat swasta yang ingin menyalurkan bantuan dari segi tenaga kerja atau kewangan, boleh terus menghubungi saudara Sheikh Nafiq, Ketua Pemuda UMNO Pulai selaku penyelaras program bantuan ini, di talian 0197199949.
Marilah kita bersama - sama mendoakan kesejahteraan roh mangsa yang terlibat. Al-Fatihah.
Hahasrin Hashim
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor

Sunday, 23 October 2016

Penutupan Jalan di Persimpangan Pandan, Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) dari arah Kota Tinggi menuju ke utara (Ramp 3)

Notis: Penutupan Jalan di Persimpangan Pandan, Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) dari arah Kota Tinggi menuju ke utara (Ramp 3).      
Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) Johor Bahru ingin memaklumkan penutupan jalan di susur naik (Ramp 3) persimpangan Pandan dari arah Kota Tinggi menuju ke utara/Kempas Lebuh Raya EDL akan ditutup sementara kepada lalu lintas. Penutupan sementara merupakan sebahagian daripada kajian aliran trafik EDL pada waktu puncak di persimpangan Pandan.
Penutupan jalan akan bermula pada jam 5:00petang – 7:00malam setiap hari, dari 24 hingga 28 Oktober 2016.
Pengguna jalan raya yang terkesan dengan penutupan susur naik (Ramp 3) ini dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif dengan membuat pusingan-U di persimpangan Kampung Ubi / Jalan Tampoi.
Kerjasama pengguna jalan raya semasa penutupan dijalankan amatlah dihargai.
Lebuh Raya EDL ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul.
Maklumat lanjut sila hubungi Hotline EDL di 07-3301000 (Pusat Kawalan Trafik (TMC) atau Unit Perhubungan Awam)
Terima kasih,
Pihak Pengurusan Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) Johor Bahru
——————————————————————————–
Notice: Closure of a Pandan Interchange entry ramp from Kota Tinggi leading into the north bound EDL Expressway
Eastern Dispersal Link (EDL) Expressway Johor Bahru wishes to inform that an entry Ramp 3 on the Pandan Interchange from Kota Tinggi leading into the north bound side of the EDL Expressway to Kempas, will be temporarily closed to traffic. The temporary closure is a part of an EDL traffic flow study during peak hours at the Pandan Interchange.
The entry Ramp 3 will be closed between 5.00pm and 7.00pm everyday, from 24 to 28 October 2016.
Road users affected by this Ramp 3 closure are advised to use alternative routes or to make a u-turn at Kampung Ubi/Jalan Tampoi interchange.
The understanding and cooperation of all road users during the closure of the entry Ramp 3 is greatly appreciated.
EDL Expressway would like to apologize for any inconvenience caused.
Further information, please contact EDL Hotline at 07-3301000 (Traffic Monitoring Centre (TMC) Department or Public Relations Department)
Thank You,
The Management of Eastern Dispersal Link (EDL) Johor Bahru

KEJOHANAN HOKI PIALA SULTAN JOHOR KEMBALI

Enam pasukan bakal berentap pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun, Piala Sultan Johor yang bakal berlangsung pada 31 Okt hingga 6 Nov, di Stadium Hoki Taman Daya, dekat sini. Kejohanan membabitkan barisan remaja menggunakan format liga sepusingan itu disertai Malaysia, England, Australia, New Zealand, Pakistan dan Jepun.
                         
Kecuali Malaysia, kesemua negara lain menggunakan kejohanan itu sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia Remaja yang akan diadakan di Uttar Pradesh , India dari 8 hingga 18 Dis ini.
Majlis pelancaran dan penyerahan replika cek penajaan kejohanan disempurnakan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim selaku wakil rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, di Hotel Puteri Pacific, di sini, hari ini. Sebanyak 12 tajaan melibatkan nilai keseluruhan lebih RM1.4 juta, termasuk RM500,000 daripada Kerajaan Johor, Astaka Padu (RM200,000), Tanaga Nasional (RM100,000), Johor Corporation (RM100,000) dan beberapa syarikat lain.
Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata penganjuran kejohanan sejak 2011 itu telah menjadi satu mercu tanda Johor di persada antarabangsa.
“Sejak diperkenalkan pada 2011, piala ini telah menerima pengiktirafan antarabangsa, sekaligus melakarnya sebagai kejohanan berprestij dalam takwim pertandingan hoki dunia,” katanya ketika menyampaikan persembahan ucapan pada majlis sama.
Beliau turut menegaskan beberapa perkara penting mengenai kesungguhan dalam menjayakan penganjuran kejohanan tersebut.
“Kejohanan seperti ini adalah satu cerminan betapa di Johor ini, segala-galanya adalah tentang memberikan yang terbaik, selain kejohanan ini mengingatkan kita betapa sukan adalah tentang ikhtiar berterusan memperkasakan semangat keinsanan.” katanya.
Tambah beliau ia juga merupakan salah satu cara Johor membongkar bakat terbaik anak bangsa. Pada kejohanan kali ke-6 tahun ini, skuad remaja negara akan membuka cabaran mereka menentang England pada 31 Okt.
Selepas menentang England, Malaysia akan berdepan Australia (1 Nov), Pakistan (2 Nov), Jepun (4 Nov) dan New Zealand (5 Nov).
Piala Sultan Johor adalah satu-satunya kejohanan jemputan remaja yang diadakan secara tahunan dan Malaysia muncul sebagai juara sulung kejohanan itu pada 2011.

Saturday, 22 October 2016

TMJ CARI JURULATIH UNTUK HARIMAU MALAYA


MESKIPUN belum memberi kata putus sama ada akan bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kini berada di Madrid demi untuk bola sepak negara. 
                           
Tunku Ismail menjelaskan jemputan yang diterima beliau ke Persidangan ‘World Football Summit’ punyai sebab yang tertentu khusus untuk membantu pasukan bola sepak kebangsaan.
Menurut Tunku Ismail, beliau sudah lama ingin membantu skuad kebangsaan namun tidak boleh melakukan apa-apa kerana pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini.
“Apabila pengurusan baru mengambil alih FAM tahun hadapan, tiga objektif utama akan terus dilaksanakan.
“Pertama, pelantikan jurulatih baharu dari Sepanyol, keduanya adalah duit hak penyiaran untuk semua pasukan dan ketika memperbaiki Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP),” katanya menerusi kemas kini status di Facebook rasmi Johor Southern Tigers.
Ogos lalu, TMJ menolak ‘formula’ yang dicadangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk mengambil alih Presiden FAM dengan alasan mahu mengelak wujudnya konflik kepentingan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Bagaimanapun, beliau masih belum membuat keputusan mengenai tawaran sebagai Pengerusi FMLLP sehingga perbincangan lanjut diadakan.
Mengulas lanjut, TMJ memberitahu, jurulatih yang dicari bukan sahaja untuk pasukan utama negara tetapi juga di peringkat belia.
“Jurulatih baharu ini akan terapkan polisi, disiplin dan falsafah buat pasukan kebangsaan,” tambahnya lagi.
Tunku Ismail dijemput menghadiri Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia 2016 bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan dengan bola sepak di Madrid, Sepanyol yang akan bermula pada 27-28 Oktober ini.
Seminar ini turut dihadiri oleh nama-nama besar dalam arena bola sepak dunia seperti Juventus, Real Madrid, Barcelona, Bayern Munich, Manchester United, AC Milan dan banyak lagi

CIQ JOHOR BAKAL GUNA SISTEM M-BIKE

 Sistem Kawalan Sempadan Automatik (M-BIKE) bagi mengurangkan kesesakan motosikal akan dilaksanakan di dua pintu masuk utama negara di Johor.
                            
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata M-BIKE akan mula dikuatkuasakan pada November ini di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar dan CIQ Bangunan Sultan Abu Bakar, Gelang Patah dekat sini.
Katanya, secara purata lebih 60,000 penunggang dan pembonceng motosikal rakyat Malaysia berulang-alik ke Singapura atas urusan kerja menerusi kedua-dua pintu masuk negara itu.
“Dalam usaha mengurangkan kesesakan motosikal di pintu sempadan negara, Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama Singapura akan melaksanakan sistem M-BIKE.
“Menerusi sistem ini, urusan pemeriksaan pasport membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal hanya mengambil masa kira-kira lapan saat.
“Bagi melancarkan lagi keberkesanan sistem ini, sebanyak 50 laluan keluar dan 50 laluan masuk akan disediakan di CIQ Bangunan Iskandar,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke CIQ Bangunan Sultan Iskandar di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali. Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, di CIQ Bangunan Sultan Abu Bakar pula membabitkan 25 laluan masuk dan 25 laluan keluar.
“Secara keseluruhan 150 laluan akan dilengkapi kemudahan sistem M-BIKE ini membabitkan kedua-dua pintu masuk utama negara di Johor.
“Saya difahamkan terdapat sedikit kekurangan di mana laluan ini menyukarkan pergerakan motosikal berkuasa tinggi, bagaimanapun sudah mengarahkan Jabatan Imigresen supaya ia dapat diatasi sebelum sistem ini dikuatkuasakan bulan depan,” katanya. – BERITA HARIAN

BAJET 2017 : DISKAUN PEMINJAM PTPTN

   

Bagi menggalakkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membuat bayaran balik, kerajaan bersetuju untuk memberi insentif diskaun berkuat kuasa esok sehingga akhir tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat hari ini berkata insentif itu melibatkan diskaun 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman.
"Insentif lain adalah diskaun sebanyak 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.
"Insentif juga melibatkan diskaun sebanyak 10 peratus untuk bayaran balik mela1ui potongan gaji atau direct debit mengikut jadual bayaran balik yang ditetapkan," katanya.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2017 yang bertajuk 'Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh.'

JOHOR SOKONG BAJET 2017 DENGAN DUA PERKARA DIBERI PERHATIAN

Kerajaan Negeri hari ini menyatakan hasrat dengan mengalu-alukan dan menyokong pengumuman Bajet 2017 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak semalam.
                              
Antara dua perkara yang diberi perhatian oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin adalah mengenai jurang di antara pelaksanaan dan dasar serta soal ketirisan.
“Jurang di antara pelaksanaan dan dasar perlu ditentukan, dilaksana dan diagihkan secara saksama seperti peruntukan membaiki rumah pangsa dalam bandar.
“Pihak kementerian berkaitan perlu mengagihkan peruntukan dengan sebaiknya kerana hanya ada beberapa negeri sahaja yang mempunyai rumah pangsa yang banyak iaitu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Selangor selain di Johor Bahru sendiri” katanya.
Beliau menegaskan supaya soal ketirisan juga diberi perhatian bagi memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja akan mendapatnya bagi memastikan matlamat tercapai.
“Sebagai contoh program agroprenuer, jangan hanya bahagi sahaja untuk cukupkan kuota kerana kerajaan akan menanggung kerugian sebab tidak betul-betul tentukan penerima yang layak.
“Jika beri pada yang layak, ia akan memastikan matlamat kita untuk mengukuhkan program berkenaan akan berjaya,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pelaksanaan Johor Future 2016, di Kg Kuala Masai, hari ini.
Selain itu, mengenai Bajet 2017, Mohamed Khaled turut menyokong mengenai soal pembinaan bakat dan kemahiran melalui ‘Johor Skills Hub’ yang selari dengan fokus Kerajaan Negeri.
“Malah, saya turut mengalu-alukan kesungguhan Kerajaan Pusat mengenai BR1M dan Skim Pembiayaan Pembeliaan Rumah Pertama kerana ia membantu rakyat berdepan dengan cabaran kos sara hidup.
“Turut tidak ketinggalan, saya juga menyokong usaha-usaha untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi melalui sektor keusahawanan,” katanya.
Pada majlis tersebut, beliau turun padang untuk bersama-sama dengan Sukarelawan Darul Ta’zim bagi membantu mengecat rumah di bawah program Johor Future.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Johor serta penglibatan badan-badan sukarelawan itu mendapat peruntukan sebanyak RM488,000 bagi pelaksanaannya tahun ini.
Program itu adalah bagi membantu kerja-kerja pembaikan rumah golongan sasar terdiri daripada asnaf, ibu tunggal, warga emas, serta mereka yang memerlukan dengan kos baik pulih tidak melebihi RM500 bagi setiap rumah.

Friday, 21 October 2016

APA KATA KETUA PEMUDA JOHOR TENTANG BAJET 2017

Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, menyambut baik pembentangan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato' Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, di dalam bajet 2017 pada 21 Oktober 2016 yang berteraskan “Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh”.
                         
Kami setuju dengan cadangan YAB Perdana Menteri di dalam pengisytiharan tahun 2017 sebagai tahun ‘Startup & SME Promotion’, dengan peruntukan sebanyak RM75 juta. Usaha seperti ini adalah penting di dalam menyiapsediakan usahawan khususnya golongan muda dalam era Ekonomi Merdeka bagi membina ketahanan ekonomi negara.

Pergerakan Pemuda UMNO Johor juga senada dengan pengumuman YAB Perdana Menteri di dalam memperuntukan sejumlah RM162Juta bagi MDEC menjalankan pelbagai program bagi sektor ‘Digital Connectivity’.

Inisiatif ini sejajar dengan arah perkembangan ekonomi dunia yang kian memasuki era revolusi industri yang ke-4, ia-nya jelas membuktikan Kerajaan Malaysia begitu komited di dalam menyemai dan menyuburi usahawan PKS di dalam sektor Multimedia, IT dan Teknologi.

Pergerakan Pemuda UMNO Johor juga bersetuju dengan cadangan YAB Perdana Menteri di dalam memperuntukan sejumlah RM1.72b bagi program - program keusahawanan melalui agensi - agensi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN, SME Bank, PUNB dan banyak lagi, di dalam memastikan agenda Bumiputera terus diperjuangkan, khususnya bagi mereka yang tergolong di dalam kategori PKS di Malaysia.

Kami juga bersetuju dengan cadangan YAB Dato' Seri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak di dalam memperuntukan sejumlah RM257juta bagi membantu meningkatkan peluang pendapatan rakyat, khusus bagi kelompok B40 di Malaysia, menerusi program Mobilepreneur oleh GIATMARA, Program Agropreneur dan Program eUsahawan & eRezeki di bawah MDEC.

Pergerakan Pemuda UMNO Johor juga menyambut baik cadangan YAB Perdana Menteri di dalam membina sebanyak 10 ribu buah rumah di bandar bagi disewakan kepada golongan muda serta graduan yang baru mula berkerja.

Cadangan peruntukan RM4.6b kepada institusi - institusi TVET dan cadangan geran padanan latihan & pembangunan kurikulum yang akan diberikan kepada institusi TVET awam merupakan satu cadangan yang baik.

Ianya adalah bagi memenuhi keperluan kedua-dua industri tempatan dan global serta permintaan terhadap kualiti dan tenaga kerja mahir yang dianggarkan 3.3 juta pekerja baharu diperlukan menjelang tahun 2020.

Bajet 2017 ini memerlukan satu perlaksanaan yang serius, supaya penyelesaian masalah rakyat mengakar secara komprehensif, khususnya bagi golonggan anak muda.

Akhir sekali, Pergerakan Pemuda UMNO Johor mencadangkan syarikat - syarikat swasta, agensi - agensi kerajaan dan organisasi lain bersama - sama berkolaborasi di dalam melahirkan inisiatif - inisiatif rangsangan tambahan, selain daripada apa yang telah diumumkan, bagi memperkukuhkan lagi perlaksanaan Bajet 2017.

Hahasrin Hashim
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor.

KEMAHIRAN PENGGERAK MASA DEPAN JOHOR



SAYA memahami betapa pentingnya agenda memperkasakan insan di tanah air ini. Tiada jalan pintas untuk Malaysia yang maju dan kompetitif kecuali dengan membongkar potensi setiap warganya, walau di mana mereka berada.
                                   
Hal ini kerana setiap orang mempunyai kebolehan yang berlainan dan tersendiri. Tidak semua orang sukakan persekitaran bilik kuliah dan boleh menjadi cemerlang dalam aspek akademik. Namun itu tidak sesekali bermakna mereka yang tidak cemerlang dalam disiplin akademik, tidak mempunyai potensi, mahupun bakat. Dan pastinya itu juga tidak bermakna mereka tidak berpeluang membina kerjaya yang baik sekali gus mempunyai masa depan yang sejahtera.
Lebih-lebih lagi dalam konteks dunia hari ini yang kerap menyaksikan bagaimana kecemerlangan akademik sudah tidak menjadi faktor mutlak kepada kejayaan masa depan. Oleh kerana itulah semasa saya menerajui Kementerian Pengajian Tinggi sebelum ini, saya benar-benar berusaha mengarusperdanakan pendidikan teknikal dan latihan kemahiran. Pendirian yang sama, saya ulangi sewaktu berucap dalam majlis Perasmian Pembangunan Hab Kemahiran Johor, di Kota Tinggi, baru-baru ini.
Pendirian ini bertitik tolak kepada tiga perkara. Pertama, kita mesti menyediakan pilihan dan laluan lain yang berada di luar kerangka institusi pengajian tinggi (IPT), tetapi masih setara dan setanding dengan pendidikan tinggi konvensional. Kita tidak semestinya hanya memfokuskan segala dana dan sumber kepada usaha membangun pendidikan di universiti. Pendekatan sedemikian bukan sahaja tidak inklusif, malah tidak akan menjawab keperluan sebenar negara.
Kedua, jika kita gagal membangunkan pendidikan teknikal dan kemahiran, begitu ramai anak-anak berbakat yang kecenderungan mereka adalah kemahiran dan bukan menelaah buku akademik akan dipinggirkan. Jangan sesekali menganggap mereka yang tidak mampu dan tidak mahu ke universiti itu tidak mempunyai peluang menyumbang kepada pembangunan negara.
Ketiga, kerana Malaysia sendiri masih sangat memerlukan tenaga mahir yang ramai. Melihat kepada kadar dan corak pembangunan hari ini, pelbagai jenis bakat dan bukan sekadar graduan universiti diperlukan. Negara yang jauh lebih maju seperti Singapura, Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun menitikberatkan pembangunan kemahiran teknikal. Ini perlu dicontohi.
Justeru, Kerajaan Negeri Johor telah mengambil satu keputusan penting. Johor tidak memerlukan sebuah lagi universiti. Sebaliknya, memerlukan Pusat Pembangunan Pendidikan Teknikal dan Kemahiran yang lengkap dan canggih. Lebih penting, ia berupaya mempamer ke­seriusan kita terhadap agenda kemahiran yang benar-benar boleh membangunkan kompetensi generasi muda dengan lebih radikal.
Dan yakinlah, apabila membangunkan potensi kemahiran ini, ia bukan semata-mata kerana memerlukan pekerja mahir yang ramai. Kita melakukannya kerana tanggungjawab untuk membangunkan kebolehan setiap rakyat Johor agar kemahiran yang mereka punyai boleh menjadi aset paling penting untuk membina kehidupan dan dapat meningkatkan lagi kemahiran diri dari semasa ke semasa.
Justeru, pelancaran Pembangunan Hab Kemahiran Johor atau Skills Johor ini adalah sangat penting kerana ne­geri ini bukan sekadar membangunkan prasarana fizikal. Akan tetapi, kita sedang membangunkan pen­ggerak masa depan Johor. Johor sedang membangunkan apa yang saya gelar the Johor soft infrastructure. Infrastruktur yang tanpanya, Johor tidak akan menjadi kuasa ekonomi baharu Malaysia. Yang tanpanya, pembangunan tidak akan inklusif sifatnya. Dan yang tanpanya, kita akan meminggir dan memperjudikan masa depan ratusan ribu anak-anak muda yang tidak berpeluang ke universiti dan dibiar tidak mempunyai kemahiran untuk bersaing di pasaran buruh.
Hab Skills Johor ini akan dibina di tanah seluas 40 hektar berhampiran kampus induk Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) ini sendiri. Ia disasarkan menampung sehingga 20,000 pelatih tempatan dan antarabangsa apabila telah siap nanti. Bagi merealisasikan projek sebegini penting, Kerajaan Negeri Johor bersama YPJ akan mengeluarkan peruntukan sebanyak RM107 juta bagi tujuan tersebut.
Ini akan meliputi kemudahan asas seperti, kelas, makmal, bengkel, dewan syarahan, surau, pusat sukan dan rek­reasi, pusat makanan dan minuman serta medan aktiviti pelatih. Mengikut perancangan kita, apabila siap dalam tempoh dua tahun akan datang, Skills Johor ini akan menjadi satu lagi tarikan unik kepada hab pendidikan EduCity di Iskandar. Ini secara tidak langsung akan melengkapkan Johor sebagai destinasi bertapaknya pelbagai institusi pengajian tinggi antarabangsa dan tempatan.
Apabila membangunkan Skills Johor ini, kemahiran industri minyak dan gas, perhotelan dan pelancongan, penjagaan kesihatan, bioteknologi dan lojistik akan menjadi bidang tujahannya. Semua bidang ini, amat selari dengan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor yang dilancarkan beberapa bulan dahulu. Misalnya, daerah Pengerang. Ini telah dikenalpasti sebagai pusat industri minyak dan gas di Johor dan Malaysia. Bila siap kelak pada 2019, RAPID Pengerang memerlukan tenaga kerja mahir seramai 54,000 orang dalam pelbagai bidang teknikal dan kemahiran.
Tidak dinafikan, hab Latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) Johor Skills ini sangat signifikan kerana ia adalah tentang masa depan Johor yang sedang bergerak deras menjadi kuasa baharu selatan. Jika segala kepesatan ekonomi ini gagal dimanfaatkan oleh pekerja tempatan, ini sebenarnya akan menjadi cerita kegagalan, bukan kejayaan. Johor tidak menyediakan semua peluang pertumbuhan dan pembangunan ini, hanya untuk disajikan kepada pekerja asing.
Untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, Malaysia sememangnya bergantung kepada tenaga kerja berkemahiran tinggi. Dalam konteks di Johor, kita bersedia untuk mengarusperdanakan bidang kemahiran secara radikal dan strategik. Kita berharap Bajet 2017 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri hari ini akan terus memberi perhatian kepada bidang pendidikan dan TVET dalam memastikan pembangunan, kemajuan dan transformasi negara ber­ada pada landasan yang tepat.
Penulis ialah Menteri Besar Johor.

Wednesday, 19 October 2016

SENARAI JAWATAN KOSONG DI PBT




JAWATAN KOSONG : Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah

1.PEMBANTU TADBIR (PERKERANIAN/OPERASI) GRED N19
2.PEMBANTU TADBIR (KEWANGAN) GRED W19
3.PEMBANTU AKAUNTAN GRED W19
4.PEMBANTU PENILAIAN GRED W19
5.PEMBANTU PENGUAT KUASA GRED KP19
6.PEMBANTU KEMAHIRAN GRED H19
7.PEMANDU KENDERAAN GRED H11
8.PELUKIS PELAN (KEJURUTERAAN AWAM)/ PENOLONG JURUTERA GRED JA29
9.PELUKIS PELAN (SENI BINA) / PENOLONG PEGAWAI SENI BINA GRED JA29
10.PENOLONG PEGAWAI PERANCANG BANDAR DAN DESA GRED JA29
11.PENOLONG ARKITEK LANDSKAP GRED JA29
12.PENOLONG PEGAWAI KESIHATAN PERSEKITARAN GRED U29
13.PENOLONG PEGAWAI TADBIR GRED N29
14.PENOLONG PEGAWAI PENGUATKUASA GRED KP29

Tarikh tutup: 8 Nov 2016

Maklumat lanjut >>
http://www.iklanjawatankosong.org/jawatan-kosong-majlis-perbandaran-johor-bahru-tengah/

P/S: Tolong klik "Share" , sebarkan dan 'tag' kawan2 yang lain.

BAIK PULIH RUMAH SECARA PERCUMA

 Muafakat Kesukarelaan Darul Ta’zim menawarkan khidmat sukarelawan untuk membaik pulih rumah dengan percuma di 56 Dun di negeri ini mulai 22 Oktober.
                           
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata peluang tersebut ditawarkan khususnya buat golongan yang kurang berkemampuan dengan memberi keutamaan kepada golongan tua atau warga emas, asnaf, uzur dan cacat serta tempat ibu tunggal yang mempunyai ramai tanggungan.
“Program ini bertujuan untuk melestarikan aktiviti kesukarelaan dan kecergasan di negeri Johor secara menyeluruh cetusan idea di bawah pimpinan Menteri Besar Dato’ Mohamed Khaled Nordin.
“Kami menyediakan bantuan membaik pulih kerosakan kecil rumah seperti plag, mentol, zink, siling, mengecat serta baik pulih kecil serta kumpulan sasar yang mendiami rumah adalah terdiri daripada golongan asnaf dan daif yang benar-benar memerlukan bantuan dengan sasaran lima rumah di setiap DUN,” katanya.
Zulkurnain berkata menjadi harapan buat kerajaan untuk melaksanakan program ini secara konsisten bagi melahirkan lebih ramai sukarelawan yang berkaliber dan berkemahiran bersama-sama membantu kesejahteraan masyarakat yang kurang berkemampuan. Katanya, semangat sukarela akan wujud dalam setiap peserta yang mengikuti program ini yang diserikan dengan aktiviti berbasikal amal menerusi ‘Johor future cycling’ dan larian ‘Run for volunteer’.
“Faktor perubahan gaya hidup masa kini yang lebih moden memerlukan program yang dapat mengimbangi supaya belia Malaysia khususnya di Johor tidak terlalu hanyut dengan dunia tanpa sempadan.
“Ia digerakkan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan melalui Strategi Lautan Biru (NBOS) dalam membantu menyejahterakan rakyat ia akan dapat mewujudkan kesejahteraan dalam masyarakat,” katanya.
Program yang diadakan di 56 DUN ini akan dilaksanakan selepas sukarelawan terlebih dahulu menjalankan soal selidik bersama Adun tentang kawasan yang perlu dihadiri oleh sukarelawan untuk permohonan bantuan dikenal pasti bagi kelulusan berasaskan sumber yang diperakukan oleh agensi pelaksana peringkat negeri atau menerusi pendaftaran terbuka. – SINAR HARIAN