Friday, 21 October 2016

KEMAHIRAN PENGGERAK MASA DEPAN JOHOR



SAYA memahami betapa pentingnya agenda memperkasakan insan di tanah air ini. Tiada jalan pintas untuk Malaysia yang maju dan kompetitif kecuali dengan membongkar potensi setiap warganya, walau di mana mereka berada.
                                   
Hal ini kerana setiap orang mempunyai kebolehan yang berlainan dan tersendiri. Tidak semua orang sukakan persekitaran bilik kuliah dan boleh menjadi cemerlang dalam aspek akademik. Namun itu tidak sesekali bermakna mereka yang tidak cemerlang dalam disiplin akademik, tidak mempunyai potensi, mahupun bakat. Dan pastinya itu juga tidak bermakna mereka tidak berpeluang membina kerjaya yang baik sekali gus mempunyai masa depan yang sejahtera.
Lebih-lebih lagi dalam konteks dunia hari ini yang kerap menyaksikan bagaimana kecemerlangan akademik sudah tidak menjadi faktor mutlak kepada kejayaan masa depan. Oleh kerana itulah semasa saya menerajui Kementerian Pengajian Tinggi sebelum ini, saya benar-benar berusaha mengarusperdanakan pendidikan teknikal dan latihan kemahiran. Pendirian yang sama, saya ulangi sewaktu berucap dalam majlis Perasmian Pembangunan Hab Kemahiran Johor, di Kota Tinggi, baru-baru ini.
Pendirian ini bertitik tolak kepada tiga perkara. Pertama, kita mesti menyediakan pilihan dan laluan lain yang berada di luar kerangka institusi pengajian tinggi (IPT), tetapi masih setara dan setanding dengan pendidikan tinggi konvensional. Kita tidak semestinya hanya memfokuskan segala dana dan sumber kepada usaha membangun pendidikan di universiti. Pendekatan sedemikian bukan sahaja tidak inklusif, malah tidak akan menjawab keperluan sebenar negara.
Kedua, jika kita gagal membangunkan pendidikan teknikal dan kemahiran, begitu ramai anak-anak berbakat yang kecenderungan mereka adalah kemahiran dan bukan menelaah buku akademik akan dipinggirkan. Jangan sesekali menganggap mereka yang tidak mampu dan tidak mahu ke universiti itu tidak mempunyai peluang menyumbang kepada pembangunan negara.
Ketiga, kerana Malaysia sendiri masih sangat memerlukan tenaga mahir yang ramai. Melihat kepada kadar dan corak pembangunan hari ini, pelbagai jenis bakat dan bukan sekadar graduan universiti diperlukan. Negara yang jauh lebih maju seperti Singapura, Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun menitikberatkan pembangunan kemahiran teknikal. Ini perlu dicontohi.
Justeru, Kerajaan Negeri Johor telah mengambil satu keputusan penting. Johor tidak memerlukan sebuah lagi universiti. Sebaliknya, memerlukan Pusat Pembangunan Pendidikan Teknikal dan Kemahiran yang lengkap dan canggih. Lebih penting, ia berupaya mempamer ke­seriusan kita terhadap agenda kemahiran yang benar-benar boleh membangunkan kompetensi generasi muda dengan lebih radikal.
Dan yakinlah, apabila membangunkan potensi kemahiran ini, ia bukan semata-mata kerana memerlukan pekerja mahir yang ramai. Kita melakukannya kerana tanggungjawab untuk membangunkan kebolehan setiap rakyat Johor agar kemahiran yang mereka punyai boleh menjadi aset paling penting untuk membina kehidupan dan dapat meningkatkan lagi kemahiran diri dari semasa ke semasa.
Justeru, pelancaran Pembangunan Hab Kemahiran Johor atau Skills Johor ini adalah sangat penting kerana ne­geri ini bukan sekadar membangunkan prasarana fizikal. Akan tetapi, kita sedang membangunkan pen­ggerak masa depan Johor. Johor sedang membangunkan apa yang saya gelar the Johor soft infrastructure. Infrastruktur yang tanpanya, Johor tidak akan menjadi kuasa ekonomi baharu Malaysia. Yang tanpanya, pembangunan tidak akan inklusif sifatnya. Dan yang tanpanya, kita akan meminggir dan memperjudikan masa depan ratusan ribu anak-anak muda yang tidak berpeluang ke universiti dan dibiar tidak mempunyai kemahiran untuk bersaing di pasaran buruh.
Hab Skills Johor ini akan dibina di tanah seluas 40 hektar berhampiran kampus induk Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) ini sendiri. Ia disasarkan menampung sehingga 20,000 pelatih tempatan dan antarabangsa apabila telah siap nanti. Bagi merealisasikan projek sebegini penting, Kerajaan Negeri Johor bersama YPJ akan mengeluarkan peruntukan sebanyak RM107 juta bagi tujuan tersebut.
Ini akan meliputi kemudahan asas seperti, kelas, makmal, bengkel, dewan syarahan, surau, pusat sukan dan rek­reasi, pusat makanan dan minuman serta medan aktiviti pelatih. Mengikut perancangan kita, apabila siap dalam tempoh dua tahun akan datang, Skills Johor ini akan menjadi satu lagi tarikan unik kepada hab pendidikan EduCity di Iskandar. Ini secara tidak langsung akan melengkapkan Johor sebagai destinasi bertapaknya pelbagai institusi pengajian tinggi antarabangsa dan tempatan.
Apabila membangunkan Skills Johor ini, kemahiran industri minyak dan gas, perhotelan dan pelancongan, penjagaan kesihatan, bioteknologi dan lojistik akan menjadi bidang tujahannya. Semua bidang ini, amat selari dengan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor yang dilancarkan beberapa bulan dahulu. Misalnya, daerah Pengerang. Ini telah dikenalpasti sebagai pusat industri minyak dan gas di Johor dan Malaysia. Bila siap kelak pada 2019, RAPID Pengerang memerlukan tenaga kerja mahir seramai 54,000 orang dalam pelbagai bidang teknikal dan kemahiran.
Tidak dinafikan, hab Latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) Johor Skills ini sangat signifikan kerana ia adalah tentang masa depan Johor yang sedang bergerak deras menjadi kuasa baharu selatan. Jika segala kepesatan ekonomi ini gagal dimanfaatkan oleh pekerja tempatan, ini sebenarnya akan menjadi cerita kegagalan, bukan kejayaan. Johor tidak menyediakan semua peluang pertumbuhan dan pembangunan ini, hanya untuk disajikan kepada pekerja asing.
Untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, Malaysia sememangnya bergantung kepada tenaga kerja berkemahiran tinggi. Dalam konteks di Johor, kita bersedia untuk mengarusperdanakan bidang kemahiran secara radikal dan strategik. Kita berharap Bajet 2017 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri hari ini akan terus memberi perhatian kepada bidang pendidikan dan TVET dalam memastikan pembangunan, kemajuan dan transformasi negara ber­ada pada landasan yang tepat.
Penulis ialah Menteri Besar Johor.