Saturday 22 October 2016

JOHOR SOKONG BAJET 2017 DENGAN DUA PERKARA DIBERI PERHATIAN

Kerajaan Negeri hari ini menyatakan hasrat dengan mengalu-alukan dan menyokong pengumuman Bajet 2017 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak semalam.
                              
Antara dua perkara yang diberi perhatian oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin adalah mengenai jurang di antara pelaksanaan dan dasar serta soal ketirisan.
“Jurang di antara pelaksanaan dan dasar perlu ditentukan, dilaksana dan diagihkan secara saksama seperti peruntukan membaiki rumah pangsa dalam bandar.
“Pihak kementerian berkaitan perlu mengagihkan peruntukan dengan sebaiknya kerana hanya ada beberapa negeri sahaja yang mempunyai rumah pangsa yang banyak iaitu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Selangor selain di Johor Bahru sendiri” katanya.
Beliau menegaskan supaya soal ketirisan juga diberi perhatian bagi memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja akan mendapatnya bagi memastikan matlamat tercapai.
“Sebagai contoh program agroprenuer, jangan hanya bahagi sahaja untuk cukupkan kuota kerana kerajaan akan menanggung kerugian sebab tidak betul-betul tentukan penerima yang layak.
“Jika beri pada yang layak, ia akan memastikan matlamat kita untuk mengukuhkan program berkenaan akan berjaya,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pelaksanaan Johor Future 2016, di Kg Kuala Masai, hari ini.
Selain itu, mengenai Bajet 2017, Mohamed Khaled turut menyokong mengenai soal pembinaan bakat dan kemahiran melalui ‘Johor Skills Hub’ yang selari dengan fokus Kerajaan Negeri.
“Malah, saya turut mengalu-alukan kesungguhan Kerajaan Pusat mengenai BR1M dan Skim Pembiayaan Pembeliaan Rumah Pertama kerana ia membantu rakyat berdepan dengan cabaran kos sara hidup.
“Turut tidak ketinggalan, saya juga menyokong usaha-usaha untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi melalui sektor keusahawanan,” katanya.
Pada majlis tersebut, beliau turun padang untuk bersama-sama dengan Sukarelawan Darul Ta’zim bagi membantu mengecat rumah di bawah program Johor Future.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Johor serta penglibatan badan-badan sukarelawan itu mendapat peruntukan sebanyak RM488,000 bagi pelaksanaannya tahun ini.
Program itu adalah bagi membantu kerja-kerja pembaikan rumah golongan sasar terdiri daripada asnaf, ibu tunggal, warga emas, serta mereka yang memerlukan dengan kos baik pulih tidak melebihi RM500 bagi setiap rumah.