Saturday 22 October 2016

CIQ JOHOR BAKAL GUNA SISTEM M-BIKE

 Sistem Kawalan Sempadan Automatik (M-BIKE) bagi mengurangkan kesesakan motosikal akan dilaksanakan di dua pintu masuk utama negara di Johor.
                            
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata M-BIKE akan mula dikuatkuasakan pada November ini di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar dan CIQ Bangunan Sultan Abu Bakar, Gelang Patah dekat sini.
Katanya, secara purata lebih 60,000 penunggang dan pembonceng motosikal rakyat Malaysia berulang-alik ke Singapura atas urusan kerja menerusi kedua-dua pintu masuk negara itu.
“Dalam usaha mengurangkan kesesakan motosikal di pintu sempadan negara, Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama Singapura akan melaksanakan sistem M-BIKE.
“Menerusi sistem ini, urusan pemeriksaan pasport membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal hanya mengambil masa kira-kira lapan saat.
“Bagi melancarkan lagi keberkesanan sistem ini, sebanyak 50 laluan keluar dan 50 laluan masuk akan disediakan di CIQ Bangunan Iskandar,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke CIQ Bangunan Sultan Iskandar di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali. Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, di CIQ Bangunan Sultan Abu Bakar pula membabitkan 25 laluan masuk dan 25 laluan keluar.
“Secara keseluruhan 150 laluan akan dilengkapi kemudahan sistem M-BIKE ini membabitkan kedua-dua pintu masuk utama negara di Johor.
“Saya difahamkan terdapat sedikit kekurangan di mana laluan ini menyukarkan pergerakan motosikal berkuasa tinggi, bagaimanapun sudah mengarahkan Jabatan Imigresen supaya ia dapat diatasi sebelum sistem ini dikuatkuasakan bulan depan,” katanya. – BERITA HARIAN