Wednesday, 25 January 2017

AMANAT MENTERI BESAR JOHOR 2017


Tuan-tuan dan Puan-puan,
Saya mengambil kesempatan pada pagi yang damai dan baik ini, untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2017.

Marilah kita menyambut fajar 2017 ini dengan merafakkan rasa tawaduk kita yang mendalam kepada Allah SWT kerana dengan ihsan dan redhaNya jua, kita boleh menyambut tahun baru dalam keadaan yang sejahtera.

Jangan sesekali kita lupa, bahawa, dalam segala kejayaan mahupun musibah, dalam segala kesalahan mahupun kebaikan, kasih sayang Allah sentiasa mengatasi kemurkaan-Nya.

Jadi, marilah kita menjadi bangsa yang benar-benar bersyukur. Bangsa yang tidak kufur kepada nikmat. Bangsa yang sentiasa berkongsi dan bersedia memberi, demi keunggulan agama dan kebaikan manusiawi.

Malah, marilah kita terus memohon perlindungan, ihsan dan pengampunan dari Allah SWT, kerana hanya Dialah tempat kita berserah dan bernaung dalam kesulitan dan hanya pada Dia kita memohon jalan pencerahan.

Kepada semua masyarakat Johor yang kini sedang terkesan dengan banjir khususnya, saya  ingin menyampaikan salam dan ingatan ikhlas kepada semua mangsa dan ahli keluarga.

Sesungguhnya ini adalah keadaan yang sukar dan menuntut kesabaran yang tinggi. Namun ingatlah, betapa semua ini adalah dugaan untuk menguji keimanan kita semua. Kerana, tidak kita dinamakan orang yang beriman, melainkan akan ditimpakan ke atas kita ujian dan dugaan.



Percayalah, tidak ada ujian dan dugaan yang lebih besar dari apa yang mampu untuk kita hadapi dan harungi.

Jadi, saya ingin menyatakan di sini, yang di pihak Kerajaan Negeri, kita sedang berusaha sedaya upaya untuk membantu kesemua mangsa dengan sebaik dan sesegera yang mungkin. Kita akan pastikan yang segala keperluan dan kebajikan mangsa akan diberikan keutamaan. Dan alhamdulillah, situasi sekarang berada dalam keadaan yang terkawal.

Pada masa yang sama, janganlah kita semua yang bernasib baik di sini, berhenti menitip doa dan ingatan kepada saudara kita yang sedang diuji.

Ambillah ruang dan kesempatan yang ada untuk mendoakan agar mereka diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian ini dengan sabar dan redha. Dan marilah kita terus berdoa, agar semuanya selamat, dilindungi dan segara pulih seperti sedia kala, insyaAllah.

Tuan-tuan dan Puan-puan,
Dalam amanat saya tahun lepas, saya telah menganjurkan kita semua untuk mendukung Gagasan Johor Berkemajuan. Asprasi kita ialah agar segala usaha, segala perhatian, segala ikhtiar, hendaklah kita juruskan untuk melahirkan masyarakat terbaik. Bukan sekadar sebuah negeri yang maju.

Pada tahun ini, saya ingin mengajak sekalian yang hadir dan seluruh rakyat Johor, untuk menggiatkan usaha menterjemahkan Gagasan Johor Berkemajuan ini.

Saya mempunyai sebab kenapa kita mesti menggandakan usaha menjelmakan cita-cita Johor Berkemajuan ini dengan lebih agresif.

Pertama kerana persekitaran Malaysia dan dunia senantiasa berubah dengan deras sekali.

Kini, segalanya sangat tidak menentu. Pertumbuhan ekonomi global tidak menunjukkan petanda yang memberangsangkan. Malah pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menghadapi cabaran yang tersendiri.

Kadar pengganguran dijangka akan terus meningkat. Para pelabur rata-ratanya mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ untuk melakukan pelaburan baharu dengan rancak.

Kos sara hidup juga terus menjadi enigma kehidupan harian masyarakat kita yang semakin merunsingkan. Pembangunan pesat beberapa ekonomi serantau seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, Kemboja dan Filipina sedikit sebanyak menjadikan Malaysia kurang kompetitif.

Kesemua ini memberi tekanan dan cabaran kepada kita, kerana Johor adalah sebahagian dari sistem ekonomi global ini.

Justeru kita mesti memposisikan Johor sebagai daerah ekonomi yang fleksibel, produktif dan berdaya saing. Hanya dengan membangunkan ekonomi Johor secara besar-besaran dan radikal, akan membolehkan kita kekal relevan dalam persaingan serantau dan global.

Kedua, kita mesti menggandakan usaha menjayakan Johor Berkemajuan kerana Johor adakah milik kita semua. Kita adalah sebahagian daripadanya.

Saya sangat yakin, dalam sanubari setiap kita, ada rasa kepunyaan dan kecintaan yang mendalam terhadap Johor. Maka, terjemahkan ia. Lahirkan dan tunjukkan kecintaan tersebut. Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab, suara dan hak ke atas negeri ini. Kerana Johor itu adalah kita, dan kita semua adalah Johor.


Ketiga, pembangunan Johor mestilah berdasarkan pelan yang strategik.

Kita tidak boleh terus beretorik. Kita mesti menetapkan sasaran yang jelas, yang mesti boleh diukur berlandaskan prestasi dan pencapaian.

Dan Johor Berkemajuan adalah pelan Johor untuk membangun. Di bawah gagasan ini, terkandung pelbagai dasar dan pelan khusus, yang dengan jelas melakarkan perjalanan pembangunan Johor.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Menggagaskan Johor Berkemajuan tanpa turut mengemukan jalan dan rumus untuk melaksanakannya sangat tidak memadai.

Justeru, sebagai panduan mendepani tahun 2017, hari ini saya ingin menganjurkan empat jalan penting bagi menjayakan Johor Berkemajuan.

Pertama, ia mestilah dijayakan oleh TEAM Johor. Kedua, inovasi dan teknologi mesti menjadi katalis pelaksanaannya. Ketiga, ekonomi Johor mesti digiatkan, termasuk menganjaknya kepada ekonomi digital. Dan keempat, segalanya mesti berdasarkan prestasi dan prestasi. Biar saya jelaskan satu persatu.
Pertama, TEAM Johor. Jika kita imbas kembali, sejak tiga tahun lepas, segala dasar dan strategi pertumbuhan ekonomi kita telah memperlihat agregat dan angka yang positif. Johor adalah ekonomi paling dinamik di Malaysia selepas Kuala Lumpur.

Defisit telah diuruskan dengan berkesan. Pendapatan dan simpanan Kerajaan telah menokok dengan signifikan. Perbelanjaan dilakukan dengan berhemah, terurus serta berorientasikan pencapaian. Dan kita dapat lihat di seluruh Johor, kehidupan semakin baik  dan sejahtera.

Semua pencapaian ini bukan pencapaian saya. Saya tidak mungkin mampu melakukannya bersendirian. Ia adalah pencapaian  TEAM Johor.

Saya terhutang budi serta amat berterima kasih kepada TEAM Johor, terutamanya seluruh penjawat awam dan rakyat Johor yang mendukung aspirasi kepimpinan saya.

Tuan-tuan semua adalah tulang belakang kuat yang mendukung saya selama ini. Kepada semua rakyat Negeri Johor, kata-kata tidak akan pernah memadai untuk menzahirkan rasa terima kasih saya. Sesungguhnya, kerja keras, kegigihan, kebingkasan dan pengorbanan rakyat Johor adalah faktor utama yang telah menjadikan Johor antara negeri paling progresif di Malaysia.
Inilah sebenarnya yang saya maksudkan TEAM Johor. TEAM Johor itu adalah kita semua. Kita yang mengambil tanggungjawab terhadap Johor. Yang ada rasa kepunyaan kepada Johor. Yang mahukan Johor menjadi masyarakat terbaik dan negeri yang berjaya.

TEAM Johor tidak mengenal kedudukan, status sosial dan taraf pendidikan. Walau di mana sekalipun kita bekerja dan menetap, selagi kita menyumbang kepada kebaikan Johor dan masyarakatnya, kita adalah TEAM Johor. Kita satu pasukan.

Maka, selaku TEAM Johor, semua pihak mesti berfikir, bertindak dan menjiwai tanggungjawab masing-masing terhadap negeri ini. Bukan sekadar mendiami dan menerima manfaat darinya.

TEAM Johor mesti menjadi sebahagaian penyelesaian kepada segala macam masalah di Johor.

Saya ambil contoh isu jenayah. Benar, Kerajaan mempunyai peranan yang besar, menyediakan lebih banyak anggota keselamatan dan penguatkuasa di lapangan. Serta aset dan teknologi yang lebih canggih. Tetapi itu hanyalah sebahagaian dari penyelesaiannya.

Sedangkan, kejayaan menangani jenayah turut disumbangkan oleh para ibu bapa yang memainkan peranan dengan baik dalam mengukuhkan institusi keluarga. Guru memainkan peranan memastikan sekolah berfungsi sebagai institusi yang berkesan dalam melahirkan generasi bersahsiah tinggi. Sektor perniagaan berperanan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan, mengurangkan pengganguran.

Kesemua mereka ini adalah TEAM Johor yang telah memainkan peranan mereka dengan tersendiri. TEAM Johor adalah cara kita mengiktiraf sumbangan pelbagai pihak terhadap Johor dan masyarakatnya.

Justeru itu, gagasan Johor Berkemajuan mestilah dijayakan dengan semangat TEAM Johor ini. Pasukan Johor yang diikat dengan nilai dan muafakat.

Johor Berkemajuan tidak boleh berjaya jika hanya Kerajaan sahaja yang berperanan. Semangat TEAM Johor mesti digelorakan. Agar semua bergandingan untuk membangunkan Johor.

Kerana melalui TEAM Johor ini sahajalah, rakyat dan masyarakat akan  bangkit menjadi pendukung, pencipta, penggerak dan pemain dalam setiap detik pembaharuan dan nadi pembangunan Johor.

Dan hanya dengan semangat TEAM Johor inilah, kita akan dapat mengurangkan sikap bergantung sepenuhnya kepada pemerintah.

Jadi, mulai hari ini, dan saat ini, kita mesti menyemarakkan semangat, amalan dan budaya ini muafakat ini atas nama TEAM Johor.

Kita semua adalah pemain dalam TEAM Johor. Saya adalah TEAM Johor. Tuan-tuan dan Puan-puan adalah TEAM Johor. Semua yang di luar sana, yang pernah kita lihat dan yang tidak pernah akan kita lihat, tetapi gigih membantu Johor dan masyarakatnya, adalah Team Johor.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Kedua, kita mesti menjayakan Johor Berkemajuan ini dengan mengiatkan inovasi dan memanfaatkan teknologi dan sains.

Kita akan gagal sebagai sebuah Kerajaan, sebuah masyarakat, dan sebuah bangsa jika kita gagal memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi dalam melaksanakan mandat kita.

Penyelesaian hampir semua masalah lingkungan kita adalah pada sains dan teknologi, bukannya politik. Di luar sana, terlalu banyak sains, tetapi sangat kurang dimanfaatkan. Di luar sana terlalu banyak teknologi, tetapi gagal kita gunakan untuk memajukan bangsa.

Sebabnya ialah kerana kita tidak berfikir secara saintifik. Kita malas berfikir dan kadang-kadang berhenti berfikir. Kita memisahkan sains dari dasar kita. Kita menjauhkan teknologi sebagai instrumen terbaik memajukan masyarakat.

Ini semua akan berakhir. Saya sangat komited dalam menjadikan Kerajaan Negeri dan sistemnya, berorentasikan saintifik. Menggunakan sains dan teknologi, untuk merangsang inovasi. Membuah pelbagai dasar dan penyelesaian terbaik kepada pelbagai masalah Johor yang semakin kompleks.

Saya percaya, transformasi paling penting yang mesti kita laksanakan sebagai permulaan, ialah melakukan anjakan ke arah Kerajaan Digital. Sistem Kerajaan Johor kita mesti dipacu sepenuhnya dengan terknologi termaju.

Kerana amatlah janggal bila sekitaran kita sangat deras berubah kerana dampak sains dan teknologi, Kerajaan dan sistemnya masih lagi dengan  birokrasi dan pendekatan tanpa teknologi.

Maka pada kesempatan ini, ingin saya kongsikan empat elemen besar yang akan menjadi teras transformasi Kerajaan Negeri Johor dalam beberapa tahun akan datang.

Pertama, penggunaan media sosial dengan radikal. Pada 2017 ini sahaja, dianggarkan bahawa separuh dari pengguna media sosial dunia adalah mereka yang tinggal di Asia Pacific. Manakala, menjelang tahun 2050, lebih 5 billion penduduk dunia akan menggunakan media sosial secara intensif dalam kehidupan seharian mereka.

Angka ini mewakili lebih dua pertiga dari jumlah penduduk dunia. Dan di Malaysia sendiri, pengguna media sosial sudah meliputi hampir 80 peratus penduduk Malaysia. Jadi, Kerajaan Negeri Johor dan sistemnya mestilah dipacu oleh media sosial.

Tiada lagi alasan maklumat tidak sampai. Tiada lagi cerita kita tidak mendapat maklumbalas. Tiada lagi penafian bahawa sukar untuk menjadi inklusif.

Media sosial adalah instrumen Kerajaan berinteraksi dengan semua rakyat Johor. Berinteraksi dengan pantas, dengan tepat, dengan sahih dan dengan telus.

Kedua, memanfaatkan pelbagai ‘mobile technology’. Zaman ini adalah zaman generasi tanpa wayar. Kita sedang melalui apa yang dipanggil revolusi tanpa wayar.
Menjelang tahun 2020, pertumbuhan ‘wireless traffic’ meningkat sebanyak 8000 kali ganda dari tahun 2010. Menjelang 2020 juga, disasarkan bahawa tidak akan ada lagi tranksaksi tunai di negara seperti Belanda dan negara-negara Skandanavia.

Malah bank komersial di Malaysia sedang mengurangkan secara drastik perkhidmatan kaunter dan menggalakkan penggunaan aplikasi ‘mobile’.

Lihat sahaja dalam industri penerbangan. Kita bukan sahaja boleh membeli tiket secara ‘online’, tetapi memilih makanan dan tempat duduk serta perkhidmatan hiburan dalam penerbangan pun boleh dilakukan secara ‘online’.

Malah, mencari jodoh dan pasangan sudah menggunakan pelbagai ‘mobile technology’. Lihat sahaja bagaimana ‘mobile technology’ merubah landskap pengangkutan awam dengan selama-lamanya. Sekarang kehadiran aplikasi seperti Uber, GrabCar dan Bla Bla Car telah menjadi lumrah.

Jadi, sebagai Kerajaan, perkhidmatan yang ditawarkan mestilah selari dengan perkembangan ‘consumerisation of public services’  ini. Ini adalah era Kerajaan mendekati rakyat secara besar-besaran, melalui teknologi dan bukan sebaliknya.



Ketiga, ‘cloud computing’. Beberapa hari lepas, seorang Profesor Pengajian Melayu memberitahu saya bahawa khazanah manuskrip Melayu banyak sekali yang rosak dan musnah. Antara puncanya ialah kerana cuaca kita yang lembap dan panas. Lalu beliau menyarankan kita membangunkan sistem warisan digital.

Pengajaran dari ini ialah proses penyimpanan dan penstoran data juga telah mengalami kedinamikan baharu yang tersendiri.

Data-data Kerajaan kini sudah tidak lagi disimpan dalam bilik-bilik data fizikal. Ia mesti didigitalkan. Dan disimpan dalam di dalam fail maya yang dikenali sebagai ‘cloud’.

Kita sudah berada dalam era yang menyaksikan Kerajaan dan perusahaan besar menggunakan ‘open clouds’ sebagai platform menyimpan dan berkongsi maklumat. Dan perkara ini akan terus menjadi trend dan amalan yang semakin meluas.

Pada tahun 2020, dianggarkan perniagaan teknologi ‘cloud’ akan mencecah USD 241 billion. Dan seseorang individu dipercayai akan memiliki kapasiti sekurang-kurangnya sebanyak 5200 GB data digital yang hampir separuh darinya akan tersimpan di dalam ‘clouds’.



Kesemua ini, bermakna Kerajaan dan sistemnya mesti memanfaatkan sepenuhnya teknologi ‘cloud’ memandangkan luar biasanya jumlah data milikan Kerajaan.

Keempat dan terakhir, ialah ‘analytics’ dan ‘big data’. Dengan begitu banyak sekali data dan maklumat yang terhasil di persada maya, maka ia perlu dimanfaatkan untuk kita menggubal dasar terbaik bagi rakyat.

Kita tidak boleh membiarkan sahaja segala maklumat di persada maya ini. Ia mesti dimanfaatkan untuk mencari penyelesaian kepada pelbagai masalah masyarakat.

Masalah bekalan air, masalah pengangkutan awam, masalah kebanjiran pekerja asing, masalah kecukupan makanan, kesemua ini boleh dianalisis dan diselesaikan menggunakan ‘big data’.

Kerana, melalui segala data yang lengkap ini, kita berupaya membangunkan algoritma yang sesuai untuk memberikan makna kepada semua maklumat yang dimiliki oleh Kerajaan. Sekaligus membolehkan kita memahami sentimen sebenar yang mendasari sesuatu isu.




Hanya dengan tafsiran data secara saintifik, kita boleh memahami kehendak rakyat dengan lebih baik. Seterusnya berupaya merangka dasar dan program yang sesuai dengan keperluan mereka.

Saya percaya kita memerlukan lonjakan dalam transformsi kearah Kerajaan Digital ini. Saya menyarankan agar sebuah Jawatankuasa Pemandu Kerajaan Digital ditubuhkan di peringkat Kerajaan Negeri bagi melaksanakan anjakan ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,
Perkara ketiga yang ingin saya utarakan pada pagi ini ialah menjayakan Johor Berkemajuan melalui lonjakan agresif pertumbuhan ekonomi Johor.

Tanpa pertumbuhan ekonomi yang mampan, Johor Berkemajuan hanya akan menjadi retorik politik.

Kerana itulah tahun lepas, kita telah melancarkan Pelan Pertumbuhan Strategik Negeri Johor (PPSJ). Ia akan menjadi halatuju dan panduan pertumbuhan ekonomi kita.  Ia adalah pelan kita untuk mendemokrasikan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Johor.


Dan untuk tahun 2017, kita akan merancakkan perlaksanaan PPSJ ini secara besar-besaran. Secara agresif. Bagi memastikan setiap daerah dan pelusuk Johor ini dibangunkan potensi ekonominya berdasarkan kebitaraan setempat.

Saya sangat berharap semua penjawat awam dan seluruh agensi Kerajaan Negeri akan berusaha keras memastikan PPSJ ini dijayakan dengan sebaik mungkin.

Jangan sesekali kita berfikiran sehala dan stereotaip. Kita mesti menjadi ‘intrapreneurs’. Yakni, bertindak dan berfikir seperti seorang usahawan dalam sistem Kerajaan dan agensinya. Dan menjadi pencetus pendekatan inovatif dan luar kelaziman. Menjadi pelopor pemikiran luar lingkungan.

Di sebalik fokus kita membangunkan PPSJ dan mendemokrasikan pembangunan secara lebih adil dan terangkum ini, saya ingin menegaskan tentang satu lagi cabaran ekonomi Johor.

Sedar atau tidak, kita kini sedang berada dalam era ekonomi digital. Ekonomi yang pemangkinnya ialah teknologi perkomputeran digital. Ada yang menggelarnya ‘Internet-Economy’, ada jua yang memanggilnya ‘Web-Economy’.



Jadi, Johor harus bersedia mengurus, membangun, mengintegrasi dan mengukur ekonomi ini. Khususnya dalam mengharmonikannya dengan pelbagai sektor ekonomi tradisional yang kita bangunkan selama ini.

Yakinlah, dalam sedikit masa lagi, ekonomi digital akan menjadi mendominasi landskap ekonomi Johor dan Malaysia. Biar saya jelaskan kenapa ini akan berlaku.

Pertama, kerana ekonomi digital bukan sekadar perniagaan di internet. Ia tidak berhenti hanya dengan memasarkan barangan secara ‘online’. Ia adalah perihal kesalinghubungan dan pendekatan terkini dalam perniagaan global. Ia membuka ruang dan peluang untuk setiap sektor ekonomi, setiap syarikat, setiap individu, untuk menghasil dan memasarkan produk, perkhidmatan dan kebolehan mereka ke senaterio dunia dengan cakupan terluas dan terpantas.

Kedua, ia menawarkan peluang yang bersifat global tanpa had dan batas. Generasi kita hari ini begitu terbuka minda dan pemikirannya. Mereka tinggal, belajar dan bekerja di pelbagai negara. Mereka menolak segala sekatan dan halangan pekerjaan yang merimaskan seperti permit dan prosedur-prosedur yang anti-produktif. Mereka mahu meneroka bidang perniagaan dan sumber pendapatan dengan cara yang baharu, cara mereka sendiri. Malah, mereka mahu mencipta pekerjaan sendiri.
Ketiga ekonomi digital ini adalah salah satu cara terbaik untuk Johor memasarkan segala potensi ekonominya kepada dunia – ‘Johor for the World’. Tidak ada cara lain untuk kita memasarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kita menembusi pasaran global. Segala macam perabot yang terhasil di Muar, keindahan Pulau Aur, produk-produk Lanun Johor, kesemuanya boleh ditawarkan secara global dampak ekonomi digital ini.

Jadi rancangan ekonomi dan pembangunan kita mesti mengambil kira semua ini. Kerana inilah sebenarnya ‘the real economy’ dalam sedikit masa lagi.

Selari dengan kepentingan ekonomi digital ini kepada masa depan Johor, maka saya menyarankan satu Jawatankuasa Pemandu Ekonomi Masa Hadapan (Special Committee on the Economics of the Future) ditubuhkan.

Agar, kita dapat merangka strategi terpandu dan melakukan persediaan untuk beranjak kepada ekonomi masa hadapan yang beroreintasikan digital dan idea.






Tuan-tuan dan Puan-puan,

Kita berada dalam kurun ke 21. Ciri utama sistem Kerajaan dalam abad ini ialah pertanggungjawaban.  Kita mesti menjadi entiti yang ‘accountable’. Kerana kita dipilih oleh rakyat. Kita mesti menunaikan mandat yang diberikan dengan pertanggungjawaban.

Dan cara terbaik untuk memastikan pertanggubjawaban itu menjadi budaya, ialah dengan mengukur prestasi perlaksanaan dasar. Kita mesti ada sasaran. Kita mesti mengukur pencapaian. Kita mesti boleh mempunyai indikator sama ada pencapaian kita, sararan kita, sesuai dan selari dengan amalan terbaik antarabangsa.

Kerana ini jugalah saya menyarankan, jika Johor Berkemajuan itu ingin diterjemahkan dengan berhasil, maka ia harus bersandarkan pengukuran prestasi. Hanya dengan pendekatan sedemikian, kita akan menjadi objektif. Kita tahu dimana defisit yang harus kita tampung dalam keberkesanan dasar-dasar kita.

Oleh itu, pada tahun ini juga, Johor akan memperkenalkan secara berperingkat, konsep kepimpinan berprestasi. Semua Pengawai Kanan Awam Negeri dan pelbagai agensinya mesti mengikut jejak langkah semua Exco, iaitu mempunyai Indeks Prestasi yang khusus dan tersendiri.

Kita tidak lagi boleh menghampakan rakyat dengan pelbagai janji dan komitmen, tetapi gagal melaksanakannya secara berkesan. Kita mesti meningkatkan kecekapan Kerajaan berdasarkan prestasi. Tanpa prestasi, kita akan tersasar. Tanpa prestasi, kita tidak boleh membuktikan kepada rakyat bahawa mandat mereka telah kita lunaskan.

Dengan meletakkan dan mencapai prestasi yang baik, kita dapat meyakinkan rakyat untuk terus memberikan mandat kepada kita untuk memerintah.

Percayalah, hanya dengan prestasi dan pencapaian, kita akan boleh melonjakkan keberkesanan Kerajaan dengan secara transformatif.

Bayangkan Malaysia hanya mempunyai 30 juta penduduk, tetapi mempunyai penjawat awam seramai 1.2 juta orang. Sedangkan United Kingdom, dengan jumlah penduduk seramai 68 juta, hanya mempunyai 400 ribu orang penjawat awam. Itupun jumlah ini akan dikurangkan kepada sekitar 200 ribu. Ini semuanya berlaku kerana adanya indeks prestasi dan kepimpinan berdasarkan prestasi.

Jadi, telah tibanya kita mengambil pendekatan drastik. Iaitu memastikan Kerajaan dan segala sistemnya beroperasi dan dinilai berdasarkan prestasi.

Saya meminta jasa baik Setiausaha Kerajaan Negeri untuk memimpin usaha membangunkan indeks prestasi ini.

Lakukanlah dengan berperingkat-peringkat. Lakukan dengan hasrat untuk memajukan pentadbiran awam negeri Johor, bukan menghukum sesiapa.

Lakukanlah kerana kita mahu budaya kerja penjawat awam menjadi lebih objektif. Membuahkan dapatan dan natijah yang benar-benar diharapkan.

Dan kita juga mahu Johor menjadi contoh terbaik perkhidmatan awam dengan tatakelola yang bersandarkan ukuran yang objektif.

Saya percaya, dengan membudayakan indeks prestasi ini, kita akan menjadikan Kerajaan dan Negeri ini lebih baik dan berkemajuan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,
Hari ini, seperti kebanyakan ucapan saya yang lepas, saya terus membuat seruan. Marilah kita melakukan lebih banyak kebaikan dan sumbangan kepada Johor dan masyarakatnya.


Pada tahun ini, saya akan terus membuka ruang seluas-luasnya untuk rakyat menyumbang dalam apa jua cara. Dengan ilmu mereka, dengan idea, dengan keringat, dengan masa, dengan sumbangan kewangan. Dan yang lebih penting, mulai hari ini, Johor akan bergerak sebagai TEAM Johor.

Saya mempunyai satu permintaan kepada semua rakyat Johor. Saya amat mengharapkan, kepada mereka yang mempunyai pandangan jauh, yang berfikiran ‘entrepreneurial’, yang mementingkan masyarakat, dan sesiapa jua. Majulah ke hadapan. Bantu saya dan pentadbiran saya dengan masa, fikiran, idea, keringat dan apa jua yang mampu anda sumbangkan.

Jika ada idea besar dan kecil, yang kalian rasa dapat membantu menjayakan Johor yang Berkemajuan, yang boleh membantu sekolah kita berfungsi dengan lebih baik, yang akan mengurangkan jenayah, yang akan melestarikan desa, yang akan menjadikan seluruh Johor mempunyai jalur lebar yang lancar, yang akan menjadikan pemuda-pemudi kita berdikari, yang akan menjadikan masjid kita lebih berperanan, maka tampillah. Kongsi dan ceritakan idea besar anda.

Beritahu saya, wakil saya, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri dan penjawat awam lain. Beritahu kami apa yang kalian ingin lakukan dan kita akan melakukannya bersama. Kerana anda semua sekarang adalah TEAM Johor.

Saya ingin memulakan tahun baru 2017 dengan mengukuh dan menggelorakan semangat TEAM Johor ini demi menjayakan Johor yang Berkemajuan.

Mengungkap kata-kata Presiden Amerika Syarikat ke-26, Theodore Roosevelt, “Satu-satunya rahsia tunggal terpenting dalam formula sesuatu kejayaan, adalah keupayaan membina persefahaman dengan orang lain”.

Sementara menurut falsafah Confucius, “Barang siapa yang mengkehendaki kebaikan kepada orang lain, sesungguhnya dia telah melakukan kebaikan kepada dirinya”.

Tuan-tuan dan puan-Puan,
Suatu hari nanti, bila kita telah pergi, kita tidak ingin diingati dan disebut-sebut sebagai orang yang bangga dan leka menghimpun segala macam pujian dan pengiktirafan. Kita tidak mengimpikan kemegahan sementara dan gelaran kenamaan seperti itu.

Kita hanya ingin melakukan perkara yang betul untuk Johor. Dan perkara yang betul tersebut bukan sekadar berkisar tentang menguruskan defisit, atau menjana pertumbuhan yang mencukupi, atau menjadikan Johor lebih moden dan kosmopolitan.
Perkara betul yang kita maksudkan adalah tentang melakukan sesuatu yang lebih bermakna, yang mampu mengubah masyarakat Johor kepada sebuah masyarakat terbaik.

Saya percaya, kini kita sedang berada di ambang suatu cetusan idea besar yang amat bermakna. Mencipta masa depan terbaik untuk Johor melalui semangat besar TEAM Johor. InsyaAllah.

Terima kasih, dan selamat Tahun Baru 2017.

Tuesday, 24 January 2017

CIA DEDAH SKANDAL TUN M ?

Agensi Risikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) mendakwa pentadbiran Tun Mahathir Mohamad terlibat dalam skandal Bumiputera Malaysia Finance Limited (BMF) yang melibatkan wang berbilion ringgit era 1980-an.
Kesimpulan itu terkandung dalam laporan 13 juta muka surat daripada 800,000 fail agensi yang didedahkan kepada umum dan dimuatkan di internet minggu lalu.
Laporan itu mengatakan kedudukan Mahathir sebagai perdana menteri dalam keadaan bahaya disebabkan skandal rasuah kerana reputasi Bank Bumiputera milik kerajaan tercemar oleh operasi BMF, anak syarikat milik sepenuhnya di Hong Kong, “yang dipertikaikan.”
“Keterangan bukti menunjukkan skandal itu terkait dengan pentadbiran Mahathir. Sebagai bank milik kerajaan, Bank Bumiputera dipantau secara dekat oleh Kementerian Kewangan dan bank pusat dan tidak ada keputusan penting dibuat tanpa persetujuan atau pengetahuan mereka,” kata laporan itu, setebal sembilan muka surat, bertajuk “The Bank Bumiputera Scandal: More Trouble Ahead for Malaysia’s Mahathir?”

“Tidak mungkin kerajaan tidak sedar peningkatan had pemberian pinjaman Bank Bumiputera kepada cawangan-cawangannya di luar negara bagi membolehkan lebih banyak dana disalurkan ke Hong Kong,” kata laporan CIA.

- See more at: http://m.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/dokumen-cia-dedah-kaitan-tun-m-dengan-skandal-bmf#sthash.dwxQmkEH.dpuf

Tuesday, 17 January 2017

"PARLIMEN PEMBANGKANG" TIDAK DIABAIKAN

Kerajaan Negeri hari ini mengumumkan beberapa projek yang bakal dilaksanakan pada tahun ini di Parlimen Kluang, sekaligus akan menyelesaikan pelbagai isu dan masalah yang dihadapi oleh rakyat di kawasan tersebut.
Khabar gembira itu disampaikan Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin dalam lawatan rasmi ke Parlimen Kluang yang turut mengumumkan peruntukan lebih RM150 juta bagi menjayakan projek tersebut, termasuk meluluskan pelbagai permohonan daripada penduduk setempat.
“Keputusan telah dibuat oleh Kerajaan Negeri terhadap beberapa projek yang akan dapat menyelesaikan masalah yang selama ini dihadapi oleh penduduk dan saya berharap kesemua ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh kita semua,” katanya.
Menurut beliau projek tersebut termasuklah pembinaan loji rawatan air dengan peruntukan sebanyak RM100 juta yang akan menyelesaikan masalah bekalan air di Kluang.
“Kita tahu Kerajaan Pusat telahpun dalam proses untuk menyiapkan dan membina Empangan Kahang dan apabila empangan itu siap, ia tidak bermakna masalah air akan dapat diselesaikan. Kita perlu sediakan loji rawatan air kerana tanpa loji ia tidak dapat membekalkan air yang dirawat kepada penduduk.
“Oleh itu, Kerajaan Negeri telahpun meluluskan tapak untuk membina loji tersebut dan usaha untuk membina loji itu akan mula dilakukan pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM100 juta oleh Kerajaan Pusat,” katanya ketika berucap pada majlis sempena lawatan kerja itu.
Yang turut serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mahkota, Datuk Md. Jais Sarday; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor, Datuk Tee Siew Kiong dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Negeri Johor, Datuk Abd Latif Bandi dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Johor, Ismail Mohamed.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk membina bangunan Pejabat Daerah Kluang yang baharu dan kerja-kerja pembinaan tersebut akan dimulakan pada tahun ini dengan kos sebanyak RM35 juta.
Sebagai usaha untuk terus memberi kesejahteraan kepada rakyat dengan penyediaan lebih banyak rumah mampu milik, Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk mengambil alih beberapa tanah di kawasan seperti Jalan Niyor, Kampung Sembrong dan Kampung Paya bagi pembinaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).
Menurut Mohamed Khaled, proses pengambilan tanah tersebut dengan peruntukan sebanyak RM8 juta akan dilakukan pada tahun ini dan apabila ia selesai, rancangan untuk pembinaan RMMJ pula akan mula dilaksanakan oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ).
Untuk pendidikan, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM12 juta bagi membina dua buah sekolah agama di Taman Tamadun Islam dan Taman Delima, selain meluluskan peruntukan sebanyak RM350,000 bagi membaik pulih Sekolah Agama Kampung Tengah dan Sekolah Agama Gunung Lambak.
Bagi mengatasi masalah banjir pula, kerja-kerja menaik taraf sistem saliran di Taman Murni dan Taman Melodi akan mula dilaksanakan pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM3 juta melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Johor.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga meluluskan peruntukan sebanyak RM800,000 bagi menaik taraf parit Kampung Paya, Kampung Melayu Mardi (RM800,000) dan cadangan mengukuhkan tebing Sungai Melantai (RM200,000).
Kerajaan Negeri turut bersetuju untuk membaik pulih dewan orang ramai di Kampung Tengah dan menaik taraf dewan orang ramai di Kampung Dato’ Abdul Rahman Yassin, dengan peruntukan masing-masing RM300,000.
Bagi cadangan pembinaan bangunan dewan terbuka di Taman Kluang Barat dengan kos RM500,000 pula, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM250,000 dan selebihnya akan ditanggung oleh Majlis Perbandaran Kluang.
Sementara itu, mengenai kerja-kerja pembinaan Masjid Taman Sri Kluang dengan kos sebanyak RM5 juta yang akan mula dilaksanakan pada tahun ini, Kerajaan Pusat bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM2 juta serta sumbangan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebanyak RM2 juta.
Kerajaan Pusat juga telah meluluskan pembinaan Masjid Taman Delima dengan peruntukan sebanyak RM2.1 juta dan selebihnya iaitu RM1 juta akan diusahakan oleh Kerajaan Negeri.
Selain itu, usaha-usaha membaik pulih Masjid Kampung Bentong dan Masjid Ar-Rasyiddin di Ladang Bukit Benut juga akan dilaksanakan dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM100,000 serta pembinaan Surau Al-Kahfi dan Surau Ar-Raudah di Taman Sri Impian dengan peruntukan masing-masing RM300,000.
Tidak ketinggalan bagi masyarakat Cina, Kerajaan Negeri bersetuju untuk mengambil milik tanah ladang Revertex Kluang dengan kos sebanyak RM2.86 juta bagi mengatasi masalah penempatan semula 100 lot masyarakat Cina di Kampung Dato’ Abd Rahman Yassin.
Peruntukan sebanyak RM200,000 bagi pembinaan semula Tokong Koh Chin Jin di Jalan Haji Manan turut diluluskan.
Bagi masyarakat kaum India pula, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk pembinaan Rumah Berhala Sri Vel Murugan Allayam yang akan dijadikan sebagai pusat kebudayaan masyarakat India.
Turut diumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM500,000 daripada Kerajaan Negeri bagi projek merekabentuk dan membina balai raya dan gerai kabin di Kampung Paya serta pembinaan gerai ekonomi dan pusat pengumpulan produk Indusri Kecil dan Sederhana (IKS) dengan peruntukan sebanyak RM150,000.
Antara projek lain yang turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri ialah pembinaan Xtreme Park di Jalan Besar dengan peruntukan tambahan sebanyak RM500,000 dan pembinaan sebuah Klinik Waqaf An-Nur dan Pusat Dialisis oleh Johor Corporation yang akan mula dilaksanakan pada Jun tahun ini dengan kos lebih RM762,000.
Parlimen Kluang merupakan lokasi ketiga lawatan kerja Kerajaan Negeri pada tahun ini selepas Johor Bahru dan Kulai.

Monday, 16 January 2017

KERAJAAN SINGAPURA BERTINDAK "KEJAM" TERHADAP RAKYAT MALAYSIA

Tindakan Kerajaan Singapura memperkenalkan “Reciprocal Road Charge (RRC)”, yang akan dikuatkuasakan pada 15 Februari ini adalah satu tindakan yang melulu dan tidak munasabah.
Rakyat Malaysia, khususnya yang menetap di Johor Bahru dan berkerja di Singapura telah pun menanggung kos perjalanan keluar masuk ke Singapura sebanyak RM145.08 sehari, dengan penambahan caj baru pada 15 Februari ini, mereka terpaksa membayar sejumlah RM165.05 bagi perjalanan pergi dan balik ke Singapura.
Pergerakan Pemuda UMNO Johor sebulat suara membantah tindakan Kerajaan Singapura memperkenalkan caj timbal balik kepada kenderaan asing khususnya disasarkan kepada pemandu Malaysia, dan kami juga percaya tindakan mereka memperkenalkan caj seumpama ini adalah sebagai sebuah gesture provokasi.
Selama 44 tahun Kerajaan Singapura telah memperkenalkan caj VEP, dan kita di Malaysia tidak pula terlalu sensitif dan melatah dengan mengenakan caj timbal balik kepada mereka.
Pergerakan Pemuda UMNO Johor juga ingin mendesak Kerajaan Pusat untuk campur tangan dan berdialog bersama Kerajaan Singapura untuk mencapai satu kata sepakat di dalam mengakhiri episod sandiwara “Victim Playing” Kerajaan Singapura ini.
Hahasrin Hashim
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor.

Sunday, 15 January 2017

JOHOR TEKAD MEMPERKASA PENDIDIKAN AGAMA

Kerajaan Negeri bertekad menjadikan pendidikan agama sebagai sistem pelengkap yang akan memperkasa potensi insan di Johor.
Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata ini kerana sistem Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) merupakan antara sistem pendidikan agama moden yang paling lama dan tersusun di rantau ini.
“SAKJ adalah sistem pendidikan yang menyediakan pengetahuan asas agama atau perkara-perkara yang bersifat fardhu ‘ain yang wajib dipelajari dan dikuasai oleh setiap pelajar Islam.
“Ia bakal berusia 100 tahun menjelang tahun 2018 dan akan menjadi sebahagian daripada identiti, warisan dan kebanggaan masyarakat Johor,” katanya ketika berucap merasmikan bangunan Sekolah Agama Taman Scientex, dekat sini, semalam.
Tambah beliau, usaha Kerajaan Negeri meletakkan pendidikan agama pada kedudukan tertinggi adalah disebabkan beberapa perkara yang jelas dan kukuh.
Pertama, untuk menjadi bangsa dan negeri terbaik, Johor mesti dihuni oleh masyarakat terbaik.
“Dengan ilmu, manusia membina tamadun, menjelajah setiap ceruk rantau bumi sehinggalah meneroka angkasa lepas. Dengan ilmu juga, manusia mampu melakukan apa jua yang dicita-citakannya,” katanya.
Kedua, pendidikan agama adalah identiti penting dalam sejarah Negeri Johor dan ia menjadi dasar Kerajaan Negeri untuk mengukuh dan memajukan kualiti pendidikan agama di Johor.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan terus memberi keutamaan terhadap agenda pendidikan agama dan tidak akan sekali-kali dikompromi.
“Biar apa pun kedudukan dan keadaan ekonomi negara kita dan Negeri Johor ini, kesemua itu tidak akan pernah boleh menjadi alasan untuk kita membiarkan aspek pendidikan agama tergugat dan tergadai.
“Pendidikan agama adalah sesuatu yang mesti kita utamakan dan pertahankan. Pemikiran sebegini bukan sahaja mesti dipegang oleh pihak Kerajaan Negeri dan agensi-agensi terlibat, tetapi oleh semua anggota masyarakat kita di Johor,” katanya.
Ujar beliau lagi, pendidikan dan pendidikan agama bukan satu pilihan dan perkara yang boleh dikorbankan.
Malah, apabila status sosial dan kedudukan kewangan atau apa sahaja alasan lain yang boleh menjadi penyebab kepada pendidikan generasi muda terganggu, ia adalah satu tragedi yang besar dalam masyarakat.
Tambaah beliau, keciciran dan pengabaikan pendidikan adalah satu tragedi sosial yang mesti dielakkan, kerana tragedi itu jauh lebih besar dan mengerikan daripada tragedi bencana alam atau musibah lain dalam masyarakat.
“Kalau kita ditimpa bencana alam, kita boleh membina semula bangunan yang roboh, membaiki kembali prasarana yang rosak. Kita boleh membeli baharu segala keperluan. Kita boleh merawat semula mereka yang sakit dan tercedera.
“Namun, jika masyarakat kita dipenuhi oleh mereka yang terpesong akidahnya, yang bobrok akhlaknya, yang tidak telus, tidak beretika dan menolak kehidupan beragama, maka bukanlah ia adalah sesuatu yang jauh lebih sukar untuk dibina semula dan jauh lebih sukar untuk kita pulih dan rawatkan,” katanya.
Mohamed Khaled turut menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan 2017 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas anjuran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Sebanyak RM14.9 juta daripada sumber wang zakat akan diagihkan sebagai bantuan awal persekolahan pada tahun ini kepada pelajar kurang berkemampuan dan juga sumbangan Badan Kebajikan SAKJ.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Abd Mutalip Abd Rahim; Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Md Rofiki A. Shamsudin; Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Hasrin Kamal Hashim dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Dato’ Normala Abdul Samad.

SULTAN JOHOR BIDAS KOMEN TUN M TENTANG JOHOR

Sultan Johor bertitah baginda amat tersinggung dan terluka dengan kenyataan politik yang diputar belit oleh ahli politik tertentu terhadap pelaburan China di negeri itu.
Titah baginda sekiranya perkara itu dibiarkan, ia akan mengusir pelabur-pelabur di negeri tersebut.
Dalam satu temubual eksklusif, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar memetik nama Tun Dr Mahathir Mohamad kerana meletakkan kepentingan politik melebihi kepentingan rakyat Malaysia khususnya di Johor.
"Cukup-cukuplah. Setakat ini beta telah cuba mengawal diri daripada mengulas mengenai kontroversi membabitkan Forest City yang dibangkitkan Dr Mahathir dan penyokongnya.
"Namun Dr Mahathir sudah keterlaluan dengan memutarbelitkan isu ini. Beliau mendakwa kira-kira 700,000 rakyat China akan tinggal di JB dan taraf kewarganegaraan akan diberikan dan sebilangan besar tanah telah dijual kepada China.
"Beliau memberi gambaran bahawa Johor menyerahkan tanah kepada rakyat China malah membandingkan bagaimana kita menyerahkan Singapura kepada British," katanya dalam satu temubual di Istana Bukit Serene di sini.
Sultan Ibrahim berkata baginda tidak berniat untuk campur tangan dalam politik tetapi perlu menyatakan kebenaran kerana fakta mengenai isu tersebut telah diputar belit oleh mereka yang mempunyai niat tidak betul.
"Biar beta tanya kepada beliau - Forest City akan dibina dia atas tanah yang ditambak dan kebanyakannya ialah unit kondominium. Dalam bahasa mudah, unit tersebut adalah di udara. Ia unit strata.
"Saya ingin bertanya kepada Dr Mahathir jika pembeli warga asing ini dapat membawa balik apartmen itu ke negara mereka atau membawa seinci tanah yang telah ditambak ini.
"Mari kita lihat bilangan warga asing yang membeli hartanah di Singapura. Adakah rakyat Singapura di republik itu bimbang? Tidak, mereka tidak bimbang, tapi sebenarnya mereka mengalu-alukan ekspatriat mewah di sana.
"Di sini, kita ada Dr Mahathir yang mewujudkan rasa takut dengan menggunakan isu kaum, hanya untuk memenuhi motif politiknya. Beliau tidak bodoh, beliau hanya pentingkan diri dan bersifat oportunis," titah Sultan Ibrahim.
Lakaran artis menunjukkan bandar raya pintar, Forest City yang dibangunkan di atas empat pulau buatan.

Sultan Ibrahim mengulas mengenai beberapa kenyataan dalam blog Dr Mahathir yang mendakwa sejumlah besar tanah di Johor Baru dijual kepada warga asing tanpa sekatan dan wujud penghijrahan secara besar-besaran warga asing di bandar baharu itu.

Dr Mahathir dipetik sebagai berkata ribuan unit (kediaman) sudah siap dibina di Forest City yang dibangunkan syarikat berpangkalan di China dan telah dijual kepada rakyat China.
Forest City apabila ia siap sepenuhnya kelak akan terletak di atas empat pulau buatan manusia di Iskandar Malaysia yang dibangunkan Country Garden Pacific View.
Sultan Ibrahim berkata projek pembangunan campuran di Forest City bukan hanya untuk pelabur China tetapi sesiapa sahaja di seluruh dunia termasuk rakyat Johor.
"Projek ini akan meluaskan saiz tanah di Johor dan kedaulatannya," titah baginda.
Jelas baginda, kewujudan Forest City akan memberi impak besar termasuk pendapatan bagi kerajaan negeri dari segi cukai dan menyediakan kira-kira 200,000 peluang pekerjaan.
Sultan Ibrahim turut bertitah urusan tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukannya kerajaan Persekutuan.
Titahnya, SP Setia, sebuah syarikat dari Malaysia terlibat dalam pembinaan apartmen di Battersea Power Station di London dan kerajaan British turut mengalu-alukan projek dan pelaburan di bandar baharu itu.
"Adakah Dr Mahathir atau anak-anaknya memiliki hartanah di luar negara?," soal Sultan Ibrahim.
Baginda bertitah, ramai pelabur datang ke Forest City turut mendapat manfaat daripada program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang dilancarkan pada tahun 2002 semasa dibawah pentadbiran Dr Mahathir.
"Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai perdana menteri, beliau telah meminta rakyat Malaysia untuk pandang ke Timur tetapi sekarang beliau mengkritik apabila pelabur Malaysia datang ke sini untuk melabur," titahnya.
Sebagai perdana menteri, Sultan Ibrahim bertitah Dr Mahathir telah memberi banyak perhatian dan keutamaan dalam membangunkan Langkawi berbanding beberapa pulau lain di negara ini.
Titah baginda, Dr Mahathir sedang bermain politik ketakutan dan kaum yang tidak mempunyai tempat di Johor kerana saya tak percaya kepada politik kaum.
Beliau menghina pelabur hartanah China yang kaya. Mereka tidak terdesak untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia. Kebanyakan mereka mempunyai hartanah di negara lain, termasuk Australia dan United Kingdom.
"Mereka membeli hartanah di sini kerana mereka dapat melihat kepentingan strategik Johor.
"JB hanya beberapa minit dari Singapura dan Batam – dua negara berlainan.
"JB juga akan menjadi seperti Lembah Klang dengan hanya 90 minit perjalanan menggunakan keretapi laju sebaik sahaja Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Malaysia dan Singapura siap dibina," titahnya.
Sultan Ibrahim bertitah Johor Baru juga akan menjadi kota raya utama kedua di Malaysia selepas Kuala Lumpur, seperti New York-Los Angeles, Beijing-Shanghai dan Sydney-Melbourne.

Sumber: http://www.thestar.com.my/news/nation/2017/01/16/sultan-ibrahim-throws-former-premier-a-challenge/