Kerajaan Negeri bertekad menjadikan pendidikan agama sebagai sistem pelengkap yang akan memperkasa potensi insan di Johor.
Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata ini kerana sistem Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) merupakan antara sistem pendidikan agama moden yang paling lama dan tersusun di rantau ini.
“SAKJ adalah sistem pendidikan yang menyediakan pengetahuan asas agama atau perkara-perkara yang bersifat fardhu ‘ain yang wajib dipelajari dan dikuasai oleh setiap pelajar Islam.
“Ia bakal berusia 100 tahun menjelang tahun 2018 dan akan menjadi sebahagian daripada identiti, warisan dan kebanggaan masyarakat Johor,” katanya ketika berucap merasmikan bangunan Sekolah Agama Taman Scientex, dekat sini, semalam.
Tambah beliau, usaha Kerajaan Negeri meletakkan pendidikan agama pada kedudukan tertinggi adalah disebabkan beberapa perkara yang jelas dan kukuh.
Pertama, untuk menjadi bangsa dan negeri terbaik, Johor mesti dihuni oleh masyarakat terbaik.
“Dengan ilmu, manusia membina tamadun, menjelajah setiap ceruk rantau bumi sehinggalah meneroka angkasa lepas. Dengan ilmu juga, manusia mampu melakukan apa jua yang dicita-citakannya,” katanya.
Kedua, pendidikan agama adalah identiti penting dalam sejarah Negeri Johor dan ia menjadi dasar Kerajaan Negeri untuk mengukuh dan memajukan kualiti pendidikan agama di Johor.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan terus memberi keutamaan terhadap agenda pendidikan agama dan tidak akan sekali-kali dikompromi.
“Biar apa pun kedudukan dan keadaan ekonomi negara kita dan Negeri Johor ini, kesemua itu tidak akan pernah boleh menjadi alasan untuk kita membiarkan aspek pendidikan agama tergugat dan tergadai.
“Pendidikan agama adalah sesuatu yang mesti kita utamakan dan pertahankan. Pemikiran sebegini bukan sahaja mesti dipegang oleh pihak Kerajaan Negeri dan agensi-agensi terlibat, tetapi oleh semua anggota masyarakat kita di Johor,” katanya.
Ujar beliau lagi, pendidikan dan pendidikan agama bukan satu pilihan dan perkara yang boleh dikorbankan.
Malah, apabila status sosial dan kedudukan kewangan atau apa sahaja alasan lain yang boleh menjadi penyebab kepada pendidikan generasi muda terganggu, ia adalah satu tragedi yang besar dalam masyarakat.
Tambaah beliau, keciciran dan pengabaikan pendidikan adalah satu tragedi sosial yang mesti dielakkan, kerana tragedi itu jauh lebih besar dan mengerikan daripada tragedi bencana alam atau musibah lain dalam masyarakat.
“Kalau kita ditimpa bencana alam, kita boleh membina semula bangunan yang roboh, membaiki kembali prasarana yang rosak. Kita boleh membeli baharu segala keperluan. Kita boleh merawat semula mereka yang sakit dan tercedera.
“Namun, jika masyarakat kita dipenuhi oleh mereka yang terpesong akidahnya, yang bobrok akhlaknya, yang tidak telus, tidak beretika dan menolak kehidupan beragama, maka bukanlah ia adalah sesuatu yang jauh lebih sukar untuk dibina semula dan jauh lebih sukar untuk kita pulih dan rawatkan,” katanya.
Mohamed Khaled turut menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan 2017 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas anjuran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Sebanyak RM14.9 juta daripada sumber wang zakat akan diagihkan sebagai bantuan awal persekolahan pada tahun ini kepada pelajar kurang berkemampuan dan juga sumbangan Badan Kebajikan SAKJ.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Abd Mutalip Abd Rahim; Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Md Rofiki A. Shamsudin; Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Hasrin Kamal Hashim dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Dato’ Normala Abdul Samad.