Tuan-tuan dan Puan-puan,
Saya mengambil kesempatan pada pagi yang damai dan baik ini, untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2017.
Marilah kita menyambut fajar 2017 ini dengan merafakkan rasa tawaduk kita yang mendalam kepada Allah SWT kerana dengan ihsan dan redhaNya jua, kita boleh menyambut tahun baru dalam keadaan yang sejahtera.
Jangan sesekali kita lupa, bahawa, dalam segala kejayaan mahupun musibah, dalam segala kesalahan mahupun kebaikan, kasih sayang Allah sentiasa mengatasi kemurkaan-Nya.
Jadi, marilah kita menjadi bangsa yang benar-benar bersyukur. Bangsa yang tidak kufur kepada nikmat. Bangsa yang sentiasa berkongsi dan bersedia memberi, demi keunggulan agama dan kebaikan manusiawi.
Malah, marilah kita terus memohon perlindungan, ihsan dan pengampunan dari Allah SWT, kerana hanya Dialah tempat kita berserah dan bernaung dalam kesulitan dan hanya pada Dia kita memohon jalan pencerahan.
Kepada semua masyarakat Johor yang kini sedang terkesan dengan banjir khususnya, saya ingin menyampaikan salam dan ingatan ikhlas kepada semua mangsa dan ahli keluarga.
Sesungguhnya ini adalah keadaan yang sukar dan menuntut kesabaran yang tinggi. Namun ingatlah, betapa semua ini adalah dugaan untuk menguji keimanan kita semua. Kerana, tidak kita dinamakan orang yang beriman, melainkan akan ditimpakan ke atas kita ujian dan dugaan.
Percayalah, tidak ada ujian dan dugaan yang lebih besar dari apa yang mampu untuk kita hadapi dan harungi.
Jadi, saya ingin menyatakan di sini, yang di pihak Kerajaan Negeri, kita sedang berusaha sedaya upaya untuk membantu kesemua mangsa dengan sebaik dan sesegera yang mungkin. Kita akan pastikan yang segala keperluan dan kebajikan mangsa akan diberikan keutamaan. Dan alhamdulillah, situasi sekarang berada dalam keadaan yang terkawal.
Pada masa yang sama, janganlah kita semua yang bernasib baik di sini, berhenti menitip doa dan ingatan kepada saudara kita yang sedang diuji.
Ambillah ruang dan kesempatan yang ada untuk mendoakan agar mereka diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian ini dengan sabar dan redha. Dan marilah kita terus berdoa, agar semuanya selamat, dilindungi dan segara pulih seperti sedia kala, insyaAllah.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Dalam amanat saya tahun lepas, saya telah menganjurkan kita semua untuk mendukung Gagasan Johor Berkemajuan. Asprasi kita ialah agar segala usaha, segala perhatian, segala ikhtiar, hendaklah kita juruskan untuk melahirkan masyarakat terbaik. Bukan sekadar sebuah negeri yang maju.
Pada tahun ini, saya ingin mengajak sekalian yang hadir dan seluruh rakyat Johor, untuk menggiatkan usaha menterjemahkan Gagasan Johor Berkemajuan ini.
Saya mempunyai sebab kenapa kita mesti menggandakan usaha menjelmakan cita-cita Johor Berkemajuan ini dengan lebih agresif.
Pertama kerana persekitaran Malaysia dan dunia senantiasa berubah dengan deras sekali.
Kini, segalanya sangat tidak menentu. Pertumbuhan ekonomi global tidak menunjukkan petanda yang memberangsangkan. Malah pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menghadapi cabaran yang tersendiri.
Kadar pengganguran dijangka akan terus meningkat. Para pelabur rata-ratanya mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ untuk melakukan pelaburan baharu dengan rancak.
Kos sara hidup juga terus menjadi enigma kehidupan harian masyarakat kita yang semakin merunsingkan. Pembangunan pesat beberapa ekonomi serantau seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, Kemboja dan Filipina sedikit sebanyak menjadikan Malaysia kurang kompetitif.
Kesemua ini memberi tekanan dan cabaran kepada kita, kerana Johor adalah sebahagian dari sistem ekonomi global ini.
Justeru kita mesti memposisikan Johor sebagai daerah ekonomi yang fleksibel, produktif dan berdaya saing. Hanya dengan membangunkan ekonomi Johor secara besar-besaran dan radikal, akan membolehkan kita kekal relevan dalam persaingan serantau dan global.
Kedua, kita mesti menggandakan usaha menjayakan Johor Berkemajuan kerana Johor adakah milik kita semua. Kita adalah sebahagian daripadanya.
Saya sangat yakin, dalam sanubari setiap kita, ada rasa kepunyaan dan kecintaan yang mendalam terhadap Johor. Maka, terjemahkan ia. Lahirkan dan tunjukkan kecintaan tersebut. Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab, suara dan hak ke atas negeri ini. Kerana Johor itu adalah kita, dan kita semua adalah Johor.
Ketiga, pembangunan Johor mestilah berdasarkan pelan yang strategik.
Kita tidak boleh terus beretorik. Kita mesti menetapkan sasaran yang jelas, yang mesti boleh diukur berlandaskan prestasi dan pencapaian.
Dan Johor Berkemajuan adalah pelan Johor untuk membangun. Di bawah gagasan ini, terkandung pelbagai dasar dan pelan khusus, yang dengan jelas melakarkan perjalanan pembangunan Johor.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Menggagaskan Johor Berkemajuan tanpa turut mengemukan jalan dan rumus untuk melaksanakannya sangat tidak memadai.
Justeru, sebagai panduan mendepani tahun 2017, hari ini saya ingin menganjurkan empat jalan penting bagi menjayakan Johor Berkemajuan.
Pertama, ia mestilah dijayakan oleh TEAM Johor. Kedua, inovasi dan teknologi mesti menjadi katalis pelaksanaannya. Ketiga, ekonomi Johor mesti digiatkan, termasuk menganjaknya kepada ekonomi digital. Dan keempat, segalanya mesti berdasarkan prestasi dan prestasi. Biar saya jelaskan satu persatu.
Pertama, TEAM Johor. Jika kita imbas kembali, sejak tiga tahun lepas, segala dasar dan strategi pertumbuhan ekonomi kita telah memperlihat agregat dan angka yang positif. Johor adalah ekonomi paling dinamik di Malaysia selepas Kuala Lumpur.
Defisit telah diuruskan dengan berkesan. Pendapatan dan simpanan Kerajaan telah menokok dengan signifikan. Perbelanjaan dilakukan dengan berhemah, terurus serta berorientasikan pencapaian. Dan kita dapat lihat di seluruh Johor, kehidupan semakin baik dan sejahtera.
Semua pencapaian ini bukan pencapaian saya. Saya tidak mungkin mampu melakukannya bersendirian. Ia adalah pencapaian TEAM Johor.
Saya terhutang budi serta amat berterima kasih kepada TEAM Johor, terutamanya seluruh penjawat awam dan rakyat Johor yang mendukung aspirasi kepimpinan saya.
Tuan-tuan semua adalah tulang belakang kuat yang mendukung saya selama ini. Kepada semua rakyat Negeri Johor, kata-kata tidak akan pernah memadai untuk menzahirkan rasa terima kasih saya. Sesungguhnya, kerja keras, kegigihan, kebingkasan dan pengorbanan rakyat Johor adalah faktor utama yang telah menjadikan Johor antara negeri paling progresif di Malaysia.
Inilah sebenarnya yang saya maksudkan TEAM Johor. TEAM Johor itu adalah kita semua. Kita yang mengambil tanggungjawab terhadap Johor. Yang ada rasa kepunyaan kepada Johor. Yang mahukan Johor menjadi masyarakat terbaik dan negeri yang berjaya.
TEAM Johor tidak mengenal kedudukan, status sosial dan taraf pendidikan. Walau di mana sekalipun kita bekerja dan menetap, selagi kita menyumbang kepada kebaikan Johor dan masyarakatnya, kita adalah TEAM Johor. Kita satu pasukan.
Maka, selaku TEAM Johor, semua pihak mesti berfikir, bertindak dan menjiwai tanggungjawab masing-masing terhadap negeri ini. Bukan sekadar mendiami dan menerima manfaat darinya.
TEAM Johor mesti menjadi sebahagaian penyelesaian kepada segala macam masalah di Johor.
Saya ambil contoh isu jenayah. Benar, Kerajaan mempunyai peranan yang besar, menyediakan lebih banyak anggota keselamatan dan penguatkuasa di lapangan. Serta aset dan teknologi yang lebih canggih. Tetapi itu hanyalah sebahagaian dari penyelesaiannya.
Sedangkan, kejayaan menangani jenayah turut disumbangkan oleh para ibu bapa yang memainkan peranan dengan baik dalam mengukuhkan institusi keluarga. Guru memainkan peranan memastikan sekolah berfungsi sebagai institusi yang berkesan dalam melahirkan generasi bersahsiah tinggi. Sektor perniagaan berperanan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan, mengurangkan pengganguran.
Kesemua mereka ini adalah TEAM Johor yang telah memainkan peranan mereka dengan tersendiri. TEAM Johor adalah cara kita mengiktiraf sumbangan pelbagai pihak terhadap Johor dan masyarakatnya.
Justeru itu, gagasan Johor Berkemajuan mestilah dijayakan dengan semangat TEAM Johor ini. Pasukan Johor yang diikat dengan nilai dan muafakat.
Johor Berkemajuan tidak boleh berjaya jika hanya Kerajaan sahaja yang berperanan. Semangat TEAM Johor mesti digelorakan. Agar semua bergandingan untuk membangunkan Johor.
Kerana melalui TEAM Johor ini sahajalah, rakyat dan masyarakat akan bangkit menjadi pendukung, pencipta, penggerak dan pemain dalam setiap detik pembaharuan dan nadi pembangunan Johor.
Dan hanya dengan semangat TEAM Johor inilah, kita akan dapat mengurangkan sikap bergantung sepenuhnya kepada pemerintah.
Jadi, mulai hari ini, dan saat ini, kita mesti menyemarakkan semangat, amalan dan budaya ini muafakat ini atas nama TEAM Johor.
Kita semua adalah pemain dalam TEAM Johor. Saya adalah TEAM Johor. Tuan-tuan dan Puan-puan adalah TEAM Johor. Semua yang di luar sana, yang pernah kita lihat dan yang tidak pernah akan kita lihat, tetapi gigih membantu Johor dan masyarakatnya, adalah Team Johor.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Kedua, kita mesti menjayakan Johor Berkemajuan ini dengan mengiatkan inovasi dan memanfaatkan teknologi dan sains.
Kita akan gagal sebagai sebuah Kerajaan, sebuah masyarakat, dan sebuah bangsa jika kita gagal memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi dalam melaksanakan mandat kita.
Penyelesaian hampir semua masalah lingkungan kita adalah pada sains dan teknologi, bukannya politik. Di luar sana, terlalu banyak sains, tetapi sangat kurang dimanfaatkan. Di luar sana terlalu banyak teknologi, tetapi gagal kita gunakan untuk memajukan bangsa.
Sebabnya ialah kerana kita tidak berfikir secara saintifik. Kita malas berfikir dan kadang-kadang berhenti berfikir. Kita memisahkan sains dari dasar kita. Kita menjauhkan teknologi sebagai instrumen terbaik memajukan masyarakat.
Ini semua akan berakhir. Saya sangat komited dalam menjadikan Kerajaan Negeri dan sistemnya, berorentasikan saintifik. Menggunakan sains dan teknologi, untuk merangsang inovasi. Membuah pelbagai dasar dan penyelesaian terbaik kepada pelbagai masalah Johor yang semakin kompleks.
Saya percaya, transformasi paling penting yang mesti kita laksanakan sebagai permulaan, ialah melakukan anjakan ke arah Kerajaan Digital. Sistem Kerajaan Johor kita mesti dipacu sepenuhnya dengan terknologi termaju.
Kerana amatlah janggal bila sekitaran kita sangat deras berubah kerana dampak sains dan teknologi, Kerajaan dan sistemnya masih lagi dengan birokrasi dan pendekatan tanpa teknologi.
Maka pada kesempatan ini, ingin saya kongsikan empat elemen besar yang akan menjadi teras transformasi Kerajaan Negeri Johor dalam beberapa tahun akan datang.
Pertama, penggunaan media sosial dengan radikal. Pada 2017 ini sahaja, dianggarkan bahawa separuh dari pengguna media sosial dunia adalah mereka yang tinggal di Asia Pacific. Manakala, menjelang tahun 2050, lebih 5 billion penduduk dunia akan menggunakan media sosial secara intensif dalam kehidupan seharian mereka.
Angka ini mewakili lebih dua pertiga dari jumlah penduduk dunia. Dan di Malaysia sendiri, pengguna media sosial sudah meliputi hampir 80 peratus penduduk Malaysia. Jadi, Kerajaan Negeri Johor dan sistemnya mestilah dipacu oleh media sosial.
Tiada lagi alasan maklumat tidak sampai. Tiada lagi cerita kita tidak mendapat maklumbalas. Tiada lagi penafian bahawa sukar untuk menjadi inklusif.
Media sosial adalah instrumen Kerajaan berinteraksi dengan semua rakyat Johor. Berinteraksi dengan pantas, dengan tepat, dengan sahih dan dengan telus.
Kedua, memanfaatkan pelbagai ‘mobile technology’. Zaman ini adalah zaman generasi tanpa wayar. Kita sedang melalui apa yang dipanggil revolusi tanpa wayar.
Menjelang tahun 2020, pertumbuhan ‘wireless traffic’ meningkat sebanyak 8000 kali ganda dari tahun 2010. Menjelang 2020 juga, disasarkan bahawa tidak akan ada lagi tranksaksi tunai di negara seperti Belanda dan negara-negara Skandanavia.
Malah bank komersial di Malaysia sedang mengurangkan secara drastik perkhidmatan kaunter dan menggalakkan penggunaan aplikasi ‘mobile’.
Lihat sahaja dalam industri penerbangan. Kita bukan sahaja boleh membeli tiket secara ‘online’, tetapi memilih makanan dan tempat duduk serta perkhidmatan hiburan dalam penerbangan pun boleh dilakukan secara ‘online’.
Malah, mencari jodoh dan pasangan sudah menggunakan pelbagai ‘mobile technology’. Lihat sahaja bagaimana ‘mobile technology’ merubah landskap pengangkutan awam dengan selama-lamanya. Sekarang kehadiran aplikasi seperti Uber, GrabCar dan Bla Bla Car telah menjadi lumrah.
Jadi, sebagai Kerajaan, perkhidmatan yang ditawarkan mestilah selari dengan perkembangan ‘consumerisation of public services’ ini. Ini adalah era Kerajaan mendekati rakyat secara besar-besaran, melalui teknologi dan bukan sebaliknya.
Ketiga, ‘cloud computing’. Beberapa hari lepas, seorang Profesor Pengajian Melayu memberitahu saya bahawa khazanah manuskrip Melayu banyak sekali yang rosak dan musnah. Antara puncanya ialah kerana cuaca kita yang lembap dan panas. Lalu beliau menyarankan kita membangunkan sistem warisan digital.
Pengajaran dari ini ialah proses penyimpanan dan penstoran data juga telah mengalami kedinamikan baharu yang tersendiri.
Data-data Kerajaan kini sudah tidak lagi disimpan dalam bilik-bilik data fizikal. Ia mesti didigitalkan. Dan disimpan dalam di dalam fail maya yang dikenali sebagai ‘cloud’.
Kita sudah berada dalam era yang menyaksikan Kerajaan dan perusahaan besar menggunakan ‘open clouds’ sebagai platform menyimpan dan berkongsi maklumat. Dan perkara ini akan terus menjadi trend dan amalan yang semakin meluas.
Pada tahun 2020, dianggarkan perniagaan teknologi ‘cloud’ akan mencecah USD 241 billion. Dan seseorang individu dipercayai akan memiliki kapasiti sekurang-kurangnya sebanyak 5200 GB data digital yang hampir separuh darinya akan tersimpan di dalam ‘clouds’.
Kesemua ini, bermakna Kerajaan dan sistemnya mesti memanfaatkan sepenuhnya teknologi ‘cloud’ memandangkan luar biasanya jumlah data milikan Kerajaan.
Keempat dan terakhir, ialah ‘analytics’ dan ‘big data’. Dengan begitu banyak sekali data dan maklumat yang terhasil di persada maya, maka ia perlu dimanfaatkan untuk kita menggubal dasar terbaik bagi rakyat.
Kita tidak boleh membiarkan sahaja segala maklumat di persada maya ini. Ia mesti dimanfaatkan untuk mencari penyelesaian kepada pelbagai masalah masyarakat.
Masalah bekalan air, masalah pengangkutan awam, masalah kebanjiran pekerja asing, masalah kecukupan makanan, kesemua ini boleh dianalisis dan diselesaikan menggunakan ‘big data’.
Kerana, melalui segala data yang lengkap ini, kita berupaya membangunkan algoritma yang sesuai untuk memberikan makna kepada semua maklumat yang dimiliki oleh Kerajaan. Sekaligus membolehkan kita memahami sentimen sebenar yang mendasari sesuatu isu.
Hanya dengan tafsiran data secara saintifik, kita boleh memahami kehendak rakyat dengan lebih baik. Seterusnya berupaya merangka dasar dan program yang sesuai dengan keperluan mereka.
Saya percaya kita memerlukan lonjakan dalam transformsi kearah Kerajaan Digital ini. Saya menyarankan agar sebuah Jawatankuasa Pemandu Kerajaan Digital ditubuhkan di peringkat Kerajaan Negeri bagi melaksanakan anjakan ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Perkara ketiga yang ingin saya utarakan pada pagi ini ialah menjayakan Johor Berkemajuan melalui lonjakan agresif pertumbuhan ekonomi Johor.
Tanpa pertumbuhan ekonomi yang mampan, Johor Berkemajuan hanya akan menjadi retorik politik.
Kerana itulah tahun lepas, kita telah melancarkan Pelan Pertumbuhan Strategik Negeri Johor (PPSJ). Ia akan menjadi halatuju dan panduan pertumbuhan ekonomi kita. Ia adalah pelan kita untuk mendemokrasikan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Johor.
Dan untuk tahun 2017, kita akan merancakkan perlaksanaan PPSJ ini secara besar-besaran. Secara agresif. Bagi memastikan setiap daerah dan pelusuk Johor ini dibangunkan potensi ekonominya berdasarkan kebitaraan setempat.
Saya sangat berharap semua penjawat awam dan seluruh agensi Kerajaan Negeri akan berusaha keras memastikan PPSJ ini dijayakan dengan sebaik mungkin.
Jangan sesekali kita berfikiran sehala dan stereotaip. Kita mesti menjadi ‘intrapreneurs’. Yakni, bertindak dan berfikir seperti seorang usahawan dalam sistem Kerajaan dan agensinya. Dan menjadi pencetus pendekatan inovatif dan luar kelaziman. Menjadi pelopor pemikiran luar lingkungan.
Di sebalik fokus kita membangunkan PPSJ dan mendemokrasikan pembangunan secara lebih adil dan terangkum ini, saya ingin menegaskan tentang satu lagi cabaran ekonomi Johor.
Sedar atau tidak, kita kini sedang berada dalam era ekonomi digital. Ekonomi yang pemangkinnya ialah teknologi perkomputeran digital. Ada yang menggelarnya ‘Internet-Economy’, ada jua yang memanggilnya ‘Web-Economy’.
Jadi, Johor harus bersedia mengurus, membangun, mengintegrasi dan mengukur ekonomi ini. Khususnya dalam mengharmonikannya dengan pelbagai sektor ekonomi tradisional yang kita bangunkan selama ini.
Yakinlah, dalam sedikit masa lagi, ekonomi digital akan menjadi mendominasi landskap ekonomi Johor dan Malaysia. Biar saya jelaskan kenapa ini akan berlaku.
Pertama, kerana ekonomi digital bukan sekadar perniagaan di internet. Ia tidak berhenti hanya dengan memasarkan barangan secara ‘online’. Ia adalah perihal kesalinghubungan dan pendekatan terkini dalam perniagaan global. Ia membuka ruang dan peluang untuk setiap sektor ekonomi, setiap syarikat, setiap individu, untuk menghasil dan memasarkan produk, perkhidmatan dan kebolehan mereka ke senaterio dunia dengan cakupan terluas dan terpantas.
Kedua, ia menawarkan peluang yang bersifat global tanpa had dan batas. Generasi kita hari ini begitu terbuka minda dan pemikirannya. Mereka tinggal, belajar dan bekerja di pelbagai negara. Mereka menolak segala sekatan dan halangan pekerjaan yang merimaskan seperti permit dan prosedur-prosedur yang anti-produktif. Mereka mahu meneroka bidang perniagaan dan sumber pendapatan dengan cara yang baharu, cara mereka sendiri. Malah, mereka mahu mencipta pekerjaan sendiri.
Ketiga ekonomi digital ini adalah salah satu cara terbaik untuk Johor memasarkan segala potensi ekonominya kepada dunia – ‘Johor for the World’. Tidak ada cara lain untuk kita memasarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kita menembusi pasaran global. Segala macam perabot yang terhasil di Muar, keindahan Pulau Aur, produk-produk Lanun Johor, kesemuanya boleh ditawarkan secara global dampak ekonomi digital ini.
Jadi rancangan ekonomi dan pembangunan kita mesti mengambil kira semua ini. Kerana inilah sebenarnya ‘the real economy’ dalam sedikit masa lagi.
Selari dengan kepentingan ekonomi digital ini kepada masa depan Johor, maka saya menyarankan satu Jawatankuasa Pemandu Ekonomi Masa Hadapan (Special Committee on the Economics of the Future) ditubuhkan.
Agar, kita dapat merangka strategi terpandu dan melakukan persediaan untuk beranjak kepada ekonomi masa hadapan yang beroreintasikan digital dan idea.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Kita berada dalam kurun ke 21. Ciri utama sistem Kerajaan dalam abad ini ialah pertanggungjawaban. Kita mesti menjadi entiti yang ‘accountable’. Kerana kita dipilih oleh rakyat. Kita mesti menunaikan mandat yang diberikan dengan pertanggungjawaban.
Dan cara terbaik untuk memastikan pertanggubjawaban itu menjadi budaya, ialah dengan mengukur prestasi perlaksanaan dasar. Kita mesti ada sasaran. Kita mesti mengukur pencapaian. Kita mesti boleh mempunyai indikator sama ada pencapaian kita, sararan kita, sesuai dan selari dengan amalan terbaik antarabangsa.
Kerana ini jugalah saya menyarankan, jika Johor Berkemajuan itu ingin diterjemahkan dengan berhasil, maka ia harus bersandarkan pengukuran prestasi. Hanya dengan pendekatan sedemikian, kita akan menjadi objektif. Kita tahu dimana defisit yang harus kita tampung dalam keberkesanan dasar-dasar kita.
Oleh itu, pada tahun ini juga, Johor akan memperkenalkan secara berperingkat, konsep kepimpinan berprestasi. Semua Pengawai Kanan Awam Negeri dan pelbagai agensinya mesti mengikut jejak langkah semua Exco, iaitu mempunyai Indeks Prestasi yang khusus dan tersendiri.
Kita tidak lagi boleh menghampakan rakyat dengan pelbagai janji dan komitmen, tetapi gagal melaksanakannya secara berkesan. Kita mesti meningkatkan kecekapan Kerajaan berdasarkan prestasi. Tanpa prestasi, kita akan tersasar. Tanpa prestasi, kita tidak boleh membuktikan kepada rakyat bahawa mandat mereka telah kita lunaskan.
Dengan meletakkan dan mencapai prestasi yang baik, kita dapat meyakinkan rakyat untuk terus memberikan mandat kepada kita untuk memerintah.
Percayalah, hanya dengan prestasi dan pencapaian, kita akan boleh melonjakkan keberkesanan Kerajaan dengan secara transformatif.
Bayangkan Malaysia hanya mempunyai 30 juta penduduk, tetapi mempunyai penjawat awam seramai 1.2 juta orang. Sedangkan United Kingdom, dengan jumlah penduduk seramai 68 juta, hanya mempunyai 400 ribu orang penjawat awam. Itupun jumlah ini akan dikurangkan kepada sekitar 200 ribu. Ini semuanya berlaku kerana adanya indeks prestasi dan kepimpinan berdasarkan prestasi.
Jadi, telah tibanya kita mengambil pendekatan drastik. Iaitu memastikan Kerajaan dan segala sistemnya beroperasi dan dinilai berdasarkan prestasi.
Saya meminta jasa baik Setiausaha Kerajaan Negeri untuk memimpin usaha membangunkan indeks prestasi ini.
Lakukanlah dengan berperingkat-peringkat. Lakukan dengan hasrat untuk memajukan pentadbiran awam negeri Johor, bukan menghukum sesiapa.
Lakukanlah kerana kita mahu budaya kerja penjawat awam menjadi lebih objektif. Membuahkan dapatan dan natijah yang benar-benar diharapkan.
Dan kita juga mahu Johor menjadi contoh terbaik perkhidmatan awam dengan tatakelola yang bersandarkan ukuran yang objektif.
Saya percaya, dengan membudayakan indeks prestasi ini, kita akan menjadikan Kerajaan dan Negeri ini lebih baik dan berkemajuan.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Hari ini, seperti kebanyakan ucapan saya yang lepas, saya terus membuat seruan. Marilah kita melakukan lebih banyak kebaikan dan sumbangan kepada Johor dan masyarakatnya.
Pada tahun ini, saya akan terus membuka ruang seluas-luasnya untuk rakyat menyumbang dalam apa jua cara. Dengan ilmu mereka, dengan idea, dengan keringat, dengan masa, dengan sumbangan kewangan. Dan yang lebih penting, mulai hari ini, Johor akan bergerak sebagai TEAM Johor.
Saya mempunyai satu permintaan kepada semua rakyat Johor. Saya amat mengharapkan, kepada mereka yang mempunyai pandangan jauh, yang berfikiran ‘entrepreneurial’, yang mementingkan masyarakat, dan sesiapa jua. Majulah ke hadapan. Bantu saya dan pentadbiran saya dengan masa, fikiran, idea, keringat dan apa jua yang mampu anda sumbangkan.
Jika ada idea besar dan kecil, yang kalian rasa dapat membantu menjayakan Johor yang Berkemajuan, yang boleh membantu sekolah kita berfungsi dengan lebih baik, yang akan mengurangkan jenayah, yang akan melestarikan desa, yang akan menjadikan seluruh Johor mempunyai jalur lebar yang lancar, yang akan menjadikan pemuda-pemudi kita berdikari, yang akan menjadikan masjid kita lebih berperanan, maka tampillah. Kongsi dan ceritakan idea besar anda.
Beritahu saya, wakil saya, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri dan penjawat awam lain. Beritahu kami apa yang kalian ingin lakukan dan kita akan melakukannya bersama. Kerana anda semua sekarang adalah TEAM Johor.
Saya ingin memulakan tahun baru 2017 dengan mengukuh dan menggelorakan semangat TEAM Johor ini demi menjayakan Johor yang Berkemajuan.
Mengungkap kata-kata Presiden Amerika Syarikat ke-26, Theodore Roosevelt, “Satu-satunya rahsia tunggal terpenting dalam formula sesuatu kejayaan, adalah keupayaan membina persefahaman dengan orang lain”.
Sementara menurut falsafah Confucius, “Barang siapa yang mengkehendaki kebaikan kepada orang lain, sesungguhnya dia telah melakukan kebaikan kepada dirinya”.
Tuan-tuan dan puan-Puan,
Suatu hari nanti, bila kita telah pergi, kita tidak ingin diingati dan disebut-sebut sebagai orang yang bangga dan leka menghimpun segala macam pujian dan pengiktirafan. Kita tidak mengimpikan kemegahan sementara dan gelaran kenamaan seperti itu.
Kita hanya ingin melakukan perkara yang betul untuk Johor. Dan perkara yang betul tersebut bukan sekadar berkisar tentang menguruskan defisit, atau menjana pertumbuhan yang mencukupi, atau menjadikan Johor lebih moden dan kosmopolitan.
Perkara betul yang kita maksudkan adalah tentang melakukan sesuatu yang lebih bermakna, yang mampu mengubah masyarakat Johor kepada sebuah masyarakat terbaik.
Saya percaya, kini kita sedang berada di ambang suatu cetusan idea besar yang amat bermakna. Mencipta masa depan terbaik untuk Johor melalui semangat besar TEAM Johor. InsyaAllah.
Terima kasih, dan selamat Tahun Baru 2017.