Beberapa tahun belakangan ini, kita berhadapan dengan cabaran kesepaduan nasional yang semakin rapuh dan meluntur. Kelunturan ini berpunca daripada banyak faktor. Ada yang berkisar tentang perselisihan politik, kesenjangan status ekonomi, prejudis dan prasangka perkauman. Malah, kes kecurian yang jelas satu kes jenayah pun boleh dan pernah dijadikan isu perkauman.
Perkembangan ini menjelaskan bahawa cabaran paling utama Malaysia dekad ini, bukan semata-mata pada usaha memastikan kelestarian dan kebingkasan ekonominya. Akan tetapi, ia juga terletak pada usaha menangani polarisasi kaum dan mengukuhkan kesepaduan nasional yang semakin diancam pergeseran dan perselisihan.
Kita amat bertuah kerana sejarah pembangunan negara diasaskan dengan semangat permuafakatan. Malah, kemerdekaan negara yang kita kecapi pada tahun 1957 adalah hasil muafakat pemimpin antara kaum ketika itu yang berjiwa besar. Justeru, sikap muafakat ini perlu kita perteguh dan lestarikan pada setiap sanubari rakyat Malaysia.
Walau bagaimanapun, semangat muafakat tidak boleh dicapai melalui paksaan dan penguatkuasaan undang-undang. Ini kerana kesetiaan pada tanah air lahir daripada kepercayaan dan keyakinan terhadap negara dan masa depannya.
Oleh kerana itu, kita perlu menentukan pendekatan terbaik bagi menyemai benih muafakat di kalangan rakyat di negara. Ini bukan tugas yang mudah tetapi ini sahajalah satu-satunya jalan untuk Malaysia. Dan Johor ingin memimpin jalan ini dengan mengetengahkan lima pendekatan yang memberi makna pada agenda muafakat yang diperjuangkan.
Lima pendekatan muafakat;
Pertama, Muafakat bermakna penolakan kepada ‘Ektremisme’.
Kita mesti menolak ideologi yang menghalang kita meraikan perbezaan dan kemajmukan. Kita menolak sebarang fahaman yang ekstrem, radikal, sempit dan bercanggah dengan kepentingan dan perpaduan nasional. Di Johor, tiada tempat bagi mereka yang menyuntik dan menyebar kebencian pada kaum, agama, asal usul dan golongan tertentu. Tiada tempat juga bagi mereka yang menutup keterbukaan dan hanya menerima pandangan sendiri sebagai satu kebenaran.
Kedua, Muafakat mengiktiraf kerencaman budaya.
Kita menerima dan menghormati kepelbagaian budaya dan adat resam. Kita akur bahawa Malaysia memang sebuah negara yang berwajah majmuk dan kemajmukan ini adalah asas pembentukan Malaysia.
Ketiga, Muafakat mengajak kepada toleransi, tolak ansur dan pendekatan sederhana.
Malaysia percaya kepada kesaksamaan antara kaum. Adat bernegaranya matang dan bersusila tinggi. Yang lemah dibantu dan upayakan, yang terbuang dilindungi dan dibela, yang buntu dipimpin dengan jalan keluar yang bermaruah.
Tidak mengapa kita berbeza dan berlainan. Akan tetapi, amat penting untuk kita melakukan bertimbang rasa. Inilah falsafah sebenar muafakat. Kita percaya, tiada keamanan tanpa tolak ansur. Tiada kesejahteraan tanpa toleransi yang tinggi. Tiada kesepaduan nasional tanpa mengambil pendekatan yang sederhana.
Keempat, Muafakat adalah instrumen merekayasa sosial dan inklusiviti.
Sejak awal pentadbiran, saya sering menekankan tentang keperluan kita membangun berasaskan inklusiviti atau keterangkuman. Semua orang mesti terlibat dan mendapat manfaat. Tiada yang ketinggalan atau ditinggalkan. Melalui semangat muafakat, kita susun agenda dan membentuk kerjasama pelbagai pihak demi kebaikan. Kemiskinan umpamanya, akan kita basmi melalui usahasama pelbagai pihak.
Cerdik pandai bangsa menyumbang pemikiran dan idea. Pergerakan sivil sebagai pelaksana. Golongan hartawan menyalurkan sumbangan dan dana. Golongan profesional menyalurkan kepakaran teknikal. Pelajar universiti menjadi sukarelawan. Media menjadi platform menyebar luaskan maklumat dan hebahan.
Kelima, Muafakat adalah identiti Johor.
Kita mendambakan Johor menjadi sebuah masyarakat yang sangat bersatu padu. Kita percaya bahawa cara Johor, yang telah membolehkan kita memerintah dengan baik dan berkesan mesti dilestarikan melalui pembangunan ekonomi yang rancak, inklusif dan berketahanan.
Di Johor, apa jua masalah, ia tidak akan biarkan tanpa penyelesaian yang inklusif. Dan ini akan menjadi identiti Johor. Bila disebut Johor, pendekatannya ialah bermuafakat dan inklusif. Inilah jenama sebenar Johor. Sebuah negeri dan masyarakat yang saling mengukuh antara satu sama lain. Ibarat kuku dengan isi, ibarat aur dengan tebing. Tiada yang ditolak ke tepi, semuanya dibela sama penting.
Pelan Strategik Muafakat Johor
Bagi menzahirkan lima tafsiran muafakat ini dalam bentuk tindakan yang jelas, saya telah mengumumkan Penyediaan Pelan Strategik Muafakat Johor. Pelan strategik ini bertujuan memastikan persefahaman dan muafakat pelbagai kaum di negeri ini sentiasa berkekalan. Ia akan diletakkan pada enam landasan utama, iaitu, Permuafakatan Ekonomi, Permuafakatan Pendidikan, Permuafakatan Sosio Budaya, Permuafakatan Keharmonian dan Persefahaman Antara Penganut Agama, Permuafakatan Kesejahteraan dan Keselamatan Komuniti dan Permuafakatan Politik.
Pendekatan permufakatan secara holistik ini akan menyediakan satu ekosistem kehidupan bermasyarakat dan bernegara lebih bermakna khususnya di Johor. Malah, dalam politik sekalipun, permuafakatan akan menjadi penstabil agar ia dapat menghindari perseteruan yang merugikan.
Sesungguhnya, permuafakatan adalah asas penting bagi kita menentukan kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Ini kerana apalah erti kemajuan jika kita gagal menggapai kesepaduan nasional dan kesejahteraan yang sebenar. Marilah sama-sama kita menyuburkan muafakat kerana ia bukan tanggungjawab Kerajaan Negeri, atau tugas wakil rakyat mahupun guru semata-mata. Ini tugas kita semua dan percayalah, muafakat itu berkat, sepakat dan selamat.