Komitmen berterusan Kerajaan Negeri dengan membina lebih banyak Sekolah Agama di negeri ini berjaya mencapai hasrat menjadi sebuah negeri yang Islami.
Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata kejayaan itu juga menyumbang kepada hasrat melahirkan masyarakat Melayu Islam Johor yang sangat bersederhana.
“Melalui sistem pendidikan agama yang berusia lebih 100 tahun, ia menyaksikan sistem itu berjaya menyumbang kepada menjadikan Johor negeri yang Islami serta masyarakatnya yang bersederhana.
“Jika tidak bersederhana masyarakat akan bermasalah kerana ia mengajar untuk kita saling hormat-menghormati, bertoleransi dan membantu pihak yang susah tanpa mengira apa juga latar belakang.
“Maka, inilah sumbangan Kerajaan Negeri yang akan terus diberikan tumpuan dan menjadi agenda utama bagi memastikan negeri Johor akan terus menjadi negeri yang Islami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Kunci Bangunan Sekolah-sekolah Agama Negeri Johor bagi Parlimen Pulai di Sekolah Agama Taman Anggerik, semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri, Abdul Mutalip Abdul Rahim; Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Jumat dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Abd Razak Mohd Yusoff.
Beliau berkata hasrat menjadi sebuah negeri Islami bukan sekadar terletak apabila siapnya pembinaan sekolah agama, tetapi ia juga adalah selari dengan kehendak masyarakat.
“Kita ingin menyedarkan masyarakat terutama anak-anak kita yang beragama Islam supaya menjadi insan yang patuh, bertakwa dan terus kekal berada di jalan berlandaskan agama Islam.
“Maka, tidak mungkin kita dapat lakukannya kalau kita tidak mempunyai sistem pendidikan agama yang tersusun dan kemas seperti sekolah agama yang kita bina hari ini.
“Atas sebab itu kita akan memasuki fasa ke-5 pembinaan 30 buah sekolah agama
yang akan diserahkan dalam masa terdekat,” katanya.
Pada majlis tersebut, tiga buah sekolah di Parlimen Pulai menerima kunci bangunan sekolah masing-masing.
Ia melibatkan Sekolah Agama Taman Anggerik dengan kos pembinaan sebanyak RM4.499 juta, Sekolah Agama Bukit Mewah sebanyak RM3.832 juta dan Sekolah Agama Taman Impian Emas sebanyak RM7.681 juta.