Wednesday, 14 December 2016

LAFAZ SUMPAH YANG di-PERTUAN AGONG

ARTIKEL YANG MENERANGKAN KENAPA "KAMI" DIGUNA PAKAI DALAM LAFAZ SUMPAH YDP AGONG

Jadual Keempat
[Perkara 37]
Sumpah Jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong

BAHAGIAN I
SUMPAH BAGI YANG DI-PERTUAN AGONG


Kami .......................................................... ibni .............................................. Yang di-Pertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkan:
Wallahi: Wabillahi: Watallahi:
maka dengan lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan yang telah disahkan dan dimasyurkan dan akan disah dan dimasyurkan di masa hadapan ini. Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri.


BAHAGIAN II
SUMPAH BAGI TIMBALAN YANG DI-PERTUAN AGONG


Kami ..................................................... ibni ....................................... yang telah dilantik menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkan:
Wallahi: Wabillahi: Watallahi:
dan dengan lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguh dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan tanggungan Kami yang telah ditetapkan dan yang akan ditetapkan pada suatu masa ke suatu masa yang ke hadapan ini oleh undang-undang dan Perlembagaan Negeri Malaysia.


BAHAGIAN III
TERJEMAHAN DALAM BAHASA INGGERIS

We .......................................................... ibni ................................................... Yang di-Pertuan Agong of Malaysia do hereby swear:
Wallahi: Wabillahi: Watallahi:
and by virtue of that oath do solemnly and truly declare that We shall justly and faithfully perform (carry out) our duties in the administration of Malaysia in accordance with its laws and Constitution which have been promulgated or which may be promulgated from time to time in the future. Further We do solemnly and truly declare that We shall at all time protect the Religion of Islam and uphold the rules of law and order in the Country.
We ..................................................... ibni ...................................................... being elected to be the Timbalan Yang di-Pertuan Agong of Malaysia do hereby swear:
Wallahi: Wabillahi: Watallahi:
and by virtue of that oath do solemly and truly declare that We shall faithfully perform (carry out) our duties as Timbalan Yang di-Pertuan Agong as laid down and may from time to time be laid down by the laws and the Constitution of Malaysia.


Jadual Kelima
[Perkara 38(1)]
Majlis Raja-Raja
1. Tertakluk kepada peruntukan yang berikut dalam Jadual ini, Majlis Raja-Raja hendaklah terdiri daripada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Yang di-Pertua-Yang di-Pertua bagi Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja.
2. Tempat Duli Yang Maha Mulia Raja mana-mana Negeri atau tempat Yang di-Pertua Negeri mana-mana Negeri sebagai anggota Majlis Raja-Raja boleh dalam apa-apa hal yang dalamnya Perlembagaan Negeri itu memperuntukkan sedemikian diambil oleh mana-mana orang yang diperuntukkan oleh Perlembagaan itu.
3. Majlis Raja-Raja hendaklah mempunyai suatu Mohor Besar Raja-Raja, yang hendaklah disimpan dalam jagaan seseorang yang dilantik oleh Majlis itu.
4. Orang yang dilantik di bawah seksyen 3 hendaklah dikenali sebagai Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, hendaklah bertindak sebagai setiausaha Majlis Raja-Raja dan hendaklah memegang jawatannya selama diperkenankan oleh Majlis itu.
5. Majoriti anggota Majlis Raja-Raja hendaklah membentuk kuorum dan, tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini, Majlis itu boleh menentukan tatacaranya sendiri.
6. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hendaklah memanggil mesyuarat Majlis Raja-Raja apabila dikehendaki berbuat demikian oleh Yang di-Pertuan Agong atau tidak kurang daripda tiga orang anggota Majlis itu dan, dengan tidak dikehendaki berbuat demikian, tidak lewat daripada empat minggu sebelum habis tempoh jawatan Yang di-Pertuan Agong dan apabila berlaku kekosongan dalam jawatan itu atau dalam jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
7. Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja tidaklah boleh menjadi anggota Majlis Raja-raja bagi maksud apa-apa prosiding yang berhubungan dengan pemilihan atau pemecatan Yang di-Pertuan Agong atau pemilihan Timbalan Yang di-Pertuan Agong atau yang berhubungan semata-mata dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja atau dengan perbuatan, amalan atau upacara agama.
8. Dalam apa-apa hal jika Majlis Raja-Raja tidak sebulat suara, Majlis Raja-Raja hendaklah mengambil keputusannya mengikut majoriti anggota yang mengundi, tertakluk bagaimanapun kepada peruntukan Jadual Ketiga.
9. Apa-apa persetujuan, perlantikan atau nasihat Majlis Raja-Raja yang dikehendaki di bawah Perlembagaan ini hendaklah ditandai dengan Mohor Besar Raja-Raja; dan jika, dalam hal apa-apa perlantikan yang dicadangkan, majoriti anggota Majlis itu telah menunjukkan, melalui surat yang ditujukan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, bahawa mereka menyokong perlantikan itu, maka Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hendaklah menandai sedemikian nasihat Majlis itu dengan tidak memanggilnya bermesyuarat.


credit kepada : NIZAM RASHID

KEKAL - RAYUAN ANWAR IBRAHIM DITOLAK

Rayuan Semakan Kehakiman Ditolak, Anwar Ibrahim Kekal Dipenjara
Mahkamah Persekutuan pagi tadi telah menolak permohonan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim untuk menyemak semula keputusan kehakiman kesalahan liwatnya. Justeru, hukuman penjara yang dikenakan sebelum ini kekal. Dengan keputusan itu Anwar Ibrahim dijangka akan terus dipenjara sehingga pertengahan 2018.

Sementara itu, kelibat penyokong-penyokong Anwar Ibrahim di perkarangan Mahkamah Persekutuan pagi ini amat mengecewakan. Tidak ramai yang menghadirkan diri seolah-olah sudah mengetahui keputusan yang bakal diterima. Apapun aura Anwar Ibrahim nampak semakin pudar, tidak seperti beberapa tahun lepas.

Ini sekaligus akan memberi kelebihan kepada Tun M untuk menguasai pembangkang pada PRU yang akan datang. Kerana seperti yang kita tahu Tun M sudah pun melakukan perjanjian bersama beberapa pemimpin bengkang. 

Adakah ini sememangnya sudah dirancang?

Wednesday, 7 December 2016

TIGA PERKARA YANG DITEKANKAN OLEH TMJ

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu tiga sektor utama iaitu keselamatan, jalinan perhubungan dan juga kewujudan peluang pekerjaaan diberi perhatian bagi memastikan Iskandar Malaysia terus berkembang pesat. Baginda bertitah, semua pihak sedar bahawa keselamatan adalah amat penting, lebih-lebih lagi persepsi mereka yang terbabit secara langsung dalam pembangunan Iskandar Malaysia.
 “Yang kedua ialah jalinan hubungan antara Malaysia dan Singapura sama ada membabitkan rangkaian jalan raya, pengangkutan rel atau pengangkutan air seperti feri.
 “Kewujudan peluang pekerjaan penting untuk meningkatkan lagi kemahiran, pada masa sama dapat mewujudkan lebih banyak pusat latihan,” katanya.
Baginda bertitah demikian  pada majlis pelancaran Logo dan Rekabentuk Fastrackcity di Studio Pinewood Iskandar Malaysia, di sini hari ini. Titah baginda, matlamat kearah kejayaan pertumbuhan di Iskandar Malaysia akan Berjaya sekiranya sepenuh tenaga serta fokus diberikan terhadap tiga sektor berkenaan.
“Untuk mencapai kejayaan itu kita harus mengikuti pelan sedia ada selain berdisplin dan terus bersemangat untuk mencapai kemajuan Iskandar Malaysia,” katanya.
Turut hadir ialah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ismail Karim, Pengerusi Fastrack Iskandar Sdn Bhd, Berry Kan dan Ketua Pegawai Eksekutif Irda, Datuk Ismail Ibrahim.
Sementara itu Perdana Menteri dalam ucapannya berkata, projek Fastrackcity yang bakal dibangunkan di negeri ini akan menjadi pemangkin penting kepada pembangunan industri permotoran negara. Katanya, Fastrackcity atau bandar sukan permotoran bersepadu yang dibangunkan di Gerbang Nusajaya akan turut memberi impak positif kepada pelbagai perkara.
“Projek itu bukan sahaja akan merancakkan lagi pembangunan hartanah, malah turut mewujudkan peluang perniagaan serta pekerjaan dalam sektor pelancongan di Iskandar Malaysia.
 “Dianggarkan kira-kira 1,200 peluang pekerjaan dapat diwujudkan menerusi pembangunan Fastrackcity selain dapat menarik kemasukan hampir 350,000 pelancong ke negara ini,” katanya.
Projek Fastrackcity yang dibangunkan atas keluasan tanah lebih 120 hektar itu turut merangkumi pembinaan litar antarabangsa gred 1 sepanjang 4.45 kilometer dan akan disiapkan pada tahun 2019. Selain dilengkapi pelbagai trek bertaraf antarabangsa, Fastrackcity juga menyediakan kemudahan tempat letak kereta bercirikan sistem keselamatan auto vault dan galeri merangkumi pameran automotif, gerai makanan dan peruncitan.
Projek berkenaan dibangunkan dengan kerjasama FASTrack Autosports (Iskandar) Sdn Bhd dan UEM Land Berhad.

Tuesday, 6 December 2016

DAKWAAN TUN M TERHADAP JOHOR TIDAK MASUK AKAL

Dakwaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa lebih 700,000 warga China akan dibawa masuk ke Forest City adalah tidak masuk akal, kata Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, ia hanya hasutan untuk menakut-nakutkan rakyat Johor dan mahu melihat Johor gagal dalam mencapai cita-citanya.
Mohamed Khaled menarik perhatian bahawa projek Forest City memakan masa kira-kira 30 tahun, dan antara perkara yang menjadi tarikan pelaburan ke Johor adalah kos perniagaan dan sara hidup yang rendah berbanding Singapura dan Kuala Lumpur, misalnya.
“Lepas 30 tahun mungkin akan ada 700,000 warga asing di Johor tetapi mustahil semuanya adalah warga China,” katanya kepada pemberita selepas menutup Sukan Muafakat 2016 Kawasan Rukun Tetangga Zon Air Biru, di sini, semalam.
Dr Mahathir sebelum ini mendakwa warga China berkenaan akan diberi kad pengenalan bagi membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya umum akan datang.
Mohamed Khaled seterusnya berkata beliau yakin rakyat Johor akan berfikir secara logik, dan mengingatkan mereka agar tidak mudah terikut-ikut dengan dakyah yang tidak masuk akal.
Menurutnya, Dr Mahathir tidak memahami cara Johor, dan tidak mahu melihat Johor berkembang maju.
“Kita di Johor tidak mahu sekadar menjadi ‘laman belakang’ Singapura, kita mahu membangun atas usaha kita, kemampuan kita, kekuatan dan kedudukan Johor itu sendiri,” tegas menteri besar itu.
Katanya, Forest City merangkumi pembangunan kawasan perdagangan, pelancongan, perhotelan, kediaman, perkhidmatan dan sebagainya.
Forest City, dengan keluasan lebih 1,386.05 hektar, dibina atas empat pulau buatan manusia di Iskandar Malaysia.
“Pemasaran bagi kediaman di Forest City tidak tertumpu di negara China sahaja malah di Australia, Timur Tengah dan pelbagai negara lain dan yang ditawarkan hanya 10,000 unit,” katanya.
Beliau berkata pembelian hartanah oleh warga China dilakukan atas dasar pelaburan selain memenuhi keperluan mendapatkan tempat tinggal sementara terutama pada musim sejuk.
“Dulu semasa Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) jadi perdana menteri, Pak Lah wujudkan pembangunan mengikut wilayah…ini adalah idea dari Pak Lah dan ia tidak boleh dinafikan, semasa zaman Tun Dr Mahathir perkara ini langsung tidak ada,” kata Mohamed Khaled. – Bernama

ISKANDAR MALAYSIA TERUS BERJAYA TARIK PELABURAN

 Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini menyatakan keyakinan dengan kemampuan Iskandar Malaysia apabila terus berjaya menarik pelaburan melepasi jangkaan selepas tempoh 10 tahun penubuhan wilayah ekonomi itu.
Beliau berkata, pelaburan komited terkumpul telah mencecah RM221 bilion, berbanding sasaran sebanyak RM215 bilion untuk tahun ini.
“Kerajaan Pusat telah membuat pelaburan sebanyak RM20 bilion, tetapi mendapat pulangan pelaburan sebanyak RM221 bilion.
“Ini menjadikan ia sebagai suatu pencapaian memberangsangkan yang memberi 10 kali ganda pulangan pelaburan,” katanya ketika menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Iskandar Malaysia (IM10), di Kompleks Sukan Educity, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.
Najib yang dalam rangka lawatan kerjanya ke negeri Johor turut berkata pelaburan di wilayah itu juga telah berjaya mewujudkan hampir 700,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor perkhidmatan seperti logistik, kreatif, pelancongan dan pendidikan.
Malah, golongan M40 telah meningkat sebanyak 7.9 peratus, manakala golongan B40 pula menurun sebanyak 7.7 peratus.
Dalam pada itu, beliau juga berkata tahap daya saing Iskandar Malaysia bukan sahaja untuk menarik pelaburan bernilai tinggi tetapi untuk membawa kesejahteraan rakyat.
“Pelbagai inisiatif diperkenalkan antaranya kemudahan Bas Iskandar Malaysia, Lebuhraya Pesisir Pantai sepanjang 14.6 kilometer yang tidak dikenakan tol serta pembersihan Sungai Segget.
“Malah, usaha penyediaan perumahan rakyat terus diberi perhatian dengan pembinaan 14,000 unit rumah mampu milik telah siap dibina bagi mencapai sasaran pembinaan sebanyak 50,000 unit,” katanya.
Tambahnya lagi, inisiatif untuk menjadikan Iskandar Puteri sebagai hab Perkhidmatan Perniagaan Global atau Global Business Services (GBS) juga mampu menarik pelaburan sebanyak RM6.5 bilion dan mewujudkan 14,000 peluang pekerjaan menjelang 2020.
Dalam majlis tersebut, beliau turut mengumumkan kelulusan peruntukan daripada Kerajaan Pusat sebanyak RM5 juta bagi pembinaan baru Masjid Taman Bayu Damai, Pengerang.
Manakala RM500 ribu serta tambahan RM2 juta pula diperuntukkan bagi Tabung Dana dengan kerjasama Khazanah Nasional untuk usahawan kreatif di Kilang Bateri.

TMJ MAHU TIGA SEKTOR DIBERI KEUTAMAAN

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu tiga sektor utama iaitu keselamatan, jalinan perhubungan dan juga kewujudan peluang pekerjaaan diberi perhatian bagi memastikan Iskandar Malaysia terus berkembang pesat. Baginda bertitah, semua pihak sedar bahawa keselamatan adalah amat penting, lebih-lebih lagi persepsi mereka yang terbabit secara langsung dalam pembangunan Iskandar Malaysia.
 “Yang kedua ialah jalinan hubungan antara Malaysia dan Singapura sama ada membabitkan rangkaian jalan raya, pengangkutan rel atau pengangkutan air seperti feri.
 “Kewujudan peluang pekerjaan penting untuk meningkatkan lagi kemahiran, pada masa sama dapat mewujudkan lebih banyak pusat latihan,” katanya.
Baginda bertitah demikian  pada majlis pelancaran Logo dan Rekabentuk Fastrackcity di Studio Pinewood Iskandar Malaysia, di sini hari ini. Titah baginda, matlamat kearah kejayaan pertumbuhan di Iskandar Malaysia akan Berjaya sekiranya sepenuh tenaga serta fokus diberikan terhadap tiga sektor berkenaan.
“Untuk mencapai kejayaan itu kita harus mengikuti pelan sedia ada selain berdisplin dan terus bersemangat untuk mencapai kemajuan Iskandar Malaysia,” katanya.
Turut hadir ialah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ismail Karim, Pengerusi Fastrack Iskandar Sdn Bhd, Berry Kan dan Ketua Pegawai Eksekutif Irda, Datuk Ismail Ibrahim.
Sementara itu Perdana Menteri dalam ucapannya berkata, projek Fastrackcity yang bakal dibangunkan di negeri ini akan menjadi pemangkin penting kepada pembangunan industri permotoran negara. Katanya, Fastrackcity atau bandar sukan permotoran bersepadu yang dibangunkan di Gerbang Nusajaya akan turut memberi impak positif kepada pelbagai perkara.
“Projek itu bukan sahaja akan merancakkan lagi pembangunan hartanah, malah turut mewujudkan peluang perniagaan serta pekerjaan dalam sektor pelancongan di Iskandar Malaysia.
 “Dianggarkan kira-kira 1,200 peluang pekerjaan dapat diwujudkan menerusi pembangunan Fastrackcity selain dapat menarik kemasukan hampir 350,000 pelancong ke negara ini,” katanya.
Projek Fastrackcity yang dibangunkan atas keluasan tanah lebih 120 hektar itu turut merangkumi pembinaan litar antarabangsa gred 1 sepanjang 4.45 kilometer dan akan disiapkan pada tahun 2019. Selain dilengkapi pelbagai trek bertaraf antarabangsa, Fastrackcity juga menyediakan kemudahan tempat letak kereta bercirikan sistem keselamatan auto vault dan galeri merangkumi pameran automotif, gerai makanan dan peruncitan.
Projek berkenaan dibangunkan dengan kerjasama FASTrack Autosports (Iskandar) Sdn Bhd dan UEM Land Berhad.

ISKANDAR MALAYSIA BAKAL ADA "FASTRACKCITY"

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini menyempurnakan Majlis Pelancaran Reka Bentuk Pembangunan Fastrackcity yang berlangsung di Pinewood Iskandar Malaysia Studio, di sini sebentar tadi.
Turut berangkat, Pengerusi Fastrack Iskandar, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Hadir sama ialah Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ismail Karim; Pengarah Fastrack Iskandar Sdn. Bhd., Barry Kan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.
Fastrackcity yang bakal dibangunkan itu merupakan bandar sukan permotoran Asia terulung dengan litar antarabangsa gred A sepanjang 4.45 kilometer yang direka pereka litar terkenal, Hermann Tilke.
Pembangunan litar bebas cukai yang dijangka siap pada 2019 itu dibangunkan oleh Fastrack Iskandar Sdn. Bhd. dan UEM Land Berhad.

DUA LAGI PUSAT SUKAN BERTARAF ANTARABANGSA DIBINA DI JOHOR

 Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini menyempurnakan Majlis Pelancaran Arena Larkin dan Stadium Olahraga Mount Austin di sini, dalam rangka lawatan kerjanya selama dua hari ke Negeri Johor.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata pembinaan kedua-dua kemudahan sukan yang berstatus antarabangsa itu berjaya membuktikan Johor sudah mencapai ekonomi berkuasa besar. Beliau berkata, kemajuan pesat yang dicapai Johor membolehkan dua anak syarikat kerajaan negeri iaitu Johor Corporation (JCorp) dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) mampu membangunkan kemudahan tersebut.
“Biasanya saya melancarkan satu projek sahaja atau sebuah stadium, tetapi hari ini saya melancarkan projek yang melibatkan empat buah stadium iaitu projek Arena Larkin bernilai RM350 juta dan pembinaan Stadium Olahraga Mount Austin bernilai RM89 juta yang bakal dibangunkan oleh dua badan korporat milik Kerajaan Negeri.
“Saya membuat kesimpulan bahawa semua ini dapat dilaksanakan kerana Johor sudah membangun dengan pesat dan menjadi kuasa ekonomi yang besar.
“Jika sesebuah negeri tidak maju ekonominya dan tidak ada kuasa pembelinya dan tidak ada potensi nilai tanahnya, tidak mungkin projek seperti ini dapat dilaksanakan,” katanya ketika berucap melancarkan Arena Larkin dan Stadium Olahraga Mount Austin di tempat letak kenderaan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Ismail Karim; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kasim; Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Abd Razak Mohd Yusoff serta barisan Exco Kerajaan Negeri yang lain.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata pembinaan kemudahan-kemudahan sukan ini juga sebagai persediaan Johor yang bakal menjadi tuan rumah Sukan Malaysia  (SUKMA) pada 2020 nanti.
“Johor berazam untuk memberikan satu penganjuran dan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa dan secara tidak langsung, kita harap aspek kemudahan yang baik seperti ini akan menjadi penyumbang kepada peningkatan prestasi dan pencapaian semua para atlet kelak,” katanya.
Tambah beliau, melalui pembangunan kemudahan ini juga, diharapkan proses pencarian bakat dan potensi baharu dalam bidang sukan dapat terus dipertingkatkan. Menteri Besar juga mahu masyarakat melihat pembinaan kedua-dua projek ini sebagai satu pelaburan dan bukannya perbelanjaan.
“Ini kerana pertama, apabila komuniti lengkap dengan segala kemudahan, termasuklah dalam aspek sukan, ia akan menjadi salah satu faktor menarik orang luar untuk datang ke Johor.
“Kedua, kemudahan seperti ini adalah satu pelaburan kerana ia akan memberi lonjakan dalam usaha melahirkan masyarakat yang sihat. Ia boleh dianggap sebagai satu strategi tidak langsung untuk mengurangkan perbelanjaan dan kos perubatan atau penjagaan kesihatan,” tambahnya.
Arena Larkin yang bakal dibangunkan JCorp menerusi anak syarikat dalam kumpulan, Johor Land Berhad (JLand) melibatkan kawasan seluas 104 ekar itu merangkumi pembinaan Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan projek menaik taraf Kolam Renang MBJB menjadi Pusat Akuatik Negeri Johor  yang dilengkapi dengan pelbagai fasiliti.
Pusat tersebut akan diubah suai agar mesra pengguna termasuk untuk memudahkan pergerakan orang kelainan upaya (OKU). Projek pembangunan Arena Larkin dijangka siap pada 2020. Selain itu, Stadium Tan Dri Haji Hassan Yunos juga bakal dinaik taraf dengan beberapa penambahan iaitu pemasangan skor digital, penambahbaikan sistem lampu limpah serta penggantian baharu tempat duduk pemain dan penonton.
Projek yang menelan belanja sebanyak RM36 juta ini dijangka siap penghujung tahun hadapan. Sementara itu, pembinaan Stadium Olahraga Mount Austin bakal dilengkapi dengan prasarana sukan seperti trek lumba, padang latihan, padang futsal dan gymnasium bertaraf dunia. Stadium yang berkapasiti 5,000 orang ini akan turut memberi kemudahan sukan berkumpulan seperti ragbi dan juga bola sepak.
Projek ini juga turut dilengkapi pembinaan pusat kecemerlangan sukan, klinik, hostel dan pelbagai kemudahan sokongan lain bagi membolehkan pembangunan sukan dijalankan dengan teratur, berpusat dan lancar, selain sebagai satu usaha bersepadu dalam memperkasa dan merakyatkan pembangunan sukan Negeri Johor.

Monday, 5 December 2016

REKOD TERCIPTA DI PENGERANG

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak merasmikan pemasangan Turus Pemecahan Propilena Tertinggi dan Terberat Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) sempena lawatan kerja dua hari Perdana Menteri itu ke Johor mulai hari ini.

Turus tersebut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records kerana ketinggiannya 121.30 meter dan seberat seribu 808.6 tan.

Turus pemecahan propilena berfungsi untuk memecahkan gas LPG dan nafta menjadi gas etilena dan propilena.

Hadir sama ialah Menteri Besar Johor, Dato' Mohamed Khaled Nordin serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Datuk Wan Zukiflee Wan Ariffin.

PIC bernilai $27 billion USD atau RM108 billion di kawasan seluas 6,242 ekar dijangka siap pada suku pertama 2019.

Projek itu kini sudah mencapai 48 peratus dan berjalan lancar mengikut jadual.

Sumber : Jauhar

BR1M DAH BOLEH KEMAS KINI

Seperti apa yang telah dibentangkan dalam Baget 2017, Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM) untuk 2017 telah dinaikkan setinggi RM1200. Sesiapa yang layak menerima BRIM dan belum berdaftar,tarikh pendaftaran adalah pada 5 Disember 2016 hingga 31 Disember 2016.Untuk mendapat Borang Permohonan BRIM 2017 , sila klik link berikut : https://ebr1m.hasil.gov.my

Syarat Kelayakan Permohonan BRIM 2017
-Warganegara Malaysia yang berumur 21 Tahun dan ke atas.
-Pendapatan isi rumah tidak melebihi RM4,000 sebulan.
-Bagi kategori bujang, gaji mestilah tidak melebihi RM2,000 sebulan.
-Penerima Baucar Buku 1 Malaysia (BB1M)adalah tidak layak menerima BRIM.


Kadar Bayaran BRIM 2017 Bantuan Rakyat 1 Malaysia
-Kategori Isirumah Bawah RM1,000 (e-Kasih) :RM1200
-Kategori Isirumah Bawah RM3,000 :RM1200
-Kategori Isirumah RM3,001 hingga RM4,000 :RM900
-Kategori BRIM Individu Bujang :RM 450


Jadual Pembayaran BRIM 2017 Bantuan Rakyat 1Malaysia
Pendapatan Isirumah Bawah RM1,000 (e-Kasih)
-Ansuran Pertama : RM400 pada Januari 2017
-Ansuran Kedua : RM400 pada Mei 2017
-Ansuran Ketiga : RM400 pada September 2017


Pendapatan Isirumah Bawah RM3,000
-Ansuran Pertama : RM400 pada Januari 2017
-Ansuran Kedua : RM400 pada Mei 2017
-Ansuran Ketiga : RM400 pada September 2017


Kategori Isirumah RM3,001 hingga RM4,000
-Ansuran Pertama : RM300 pada Januari 2017
-Ansuran Kedua : RM300 pada Mei 2017
-Ansuran Ketiga : RM300 pada September 2017

Kategori BRIM Individu Bujang
-RM 450 pada Januari 2017

*Kongsikan untuk rakan-rakan anda*

Saturday, 3 December 2016

PAU2016 - PEMUDA JOHOR GESA KEMENTERIAN PEMBANGUNAN USAHAWAN DIWUJUDKAN SEMULA

Pemuda UMNO Johor hari ini menggesa agar Kementerian Pembangunan Usahawan diwujudkan semula.
Menurut Ketua Pemuda UMNO Johor, Hahasrin Hashim, pewujudan semula kementerian itu akan membantu menguruskan keperluan usahawan dengan lebih baik.
“Di peringkat negeri, bila tiada kementerian pembangunan usahawan kebanyakan usahawan ini menjadi terbiar dan merata-rata tempat.
“Kerajaan Negeri Johor telah mengambil inisiatif menubuhkan sendiri satu Pusat Pembangunan Usahawan (EDC) untuk memainkan peranan oleh kementerian itu dan telah berjaya melaksanakan pelbagai agenda keusahawanan negeri.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Perhimpunan Agung UMNO 2016.
Tambah beliau, dalam usaha menangani kesenjangan ekonomi, pendekatan baru seperti ekonomi merdeka perlu digiatkan sebaiknya.
“Di Negeri Johor, pendekatan itu amat ditekankan dan kita dapat lihat hasil yang amat memberangsangkan melalui jenama terkenal seperti Lanun dan Kilang Bateri telah berjaya dibangunkan untuk orang Melayu.
“Tumpuan juga harus diberi kepada pembangunan usahawan digital, terutamanya kepada peningkatan kemahiran yang berkaitan pembangunan aplikasi, rekaan program dan pentadbiran sistem,” katanya.

Friday, 2 December 2016

PAU2016 - UMNO JOHOR CADANG AGAR AGENDA MELAYU MAJU DIUTAMAKAN

UMNO mesti melakukan satu transformasi yang radikal dalam agenda orang Melayu, termasuk membina ketahanan ekonomi, mewujudkan kebolehsaingan dan kesiapsiagaan mendepani cabaran abad ke-21.
Perwakilan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata sudah sampai masanya, UMNO  bangkit menawarkan satu tawaran baharu kepada orang Melayu, dinamakan sebagai Agenda Melayu Maju, sekali gus memberi harapan baharu kepada orang Melayu.
Ayub, yang juga Pengerusi Media Sosial UMNO Johor, berkata orang Melayu kini berhadapan dengan cabaran yang sangat luar biasa antaranya gelombang globalisasi, kemodenan dan kecanggihan dunia digital.
“Isu sebenar orang Melayu hari ini, adalah kesiapsiagaan dan kebolehsaingan untuk berfungsi dan berjaya dalam kehidupan abad ke-21 serta bagaimana orang Melayu boleh hidup dengan sejahtera dan berjaya dengan persekitaran Malaysia yang semakin berubah ini.
“UMNO mesti menjawab masalah sebenar orang Melayu abad ke-21 ini dengan baik kerana UMNO adalah kekuatan politik orang Melayu,” katanya semasa membahaskanusul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 hari ini.
Ayub, yang mewakili UMNO Bahagian Sekijang, berkata Agenda Melayu Maju mesti mengemukakan satu bentuk pemaktuban yang lebih konkrit, lebih pragmatik dan pastinya lebih lengkap, iltizam UMNO untuk menjawab segala isu orang Melayu abad ke-21.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor itu berkata  UMNO Johor menggariskan tujuh elemen yang harus terkandung dalam agenda itu, antaranya termasuk membina ketahanan ekonomi orang Melayu dalam era globalisasi dan memberikan pendidikan berkualiti berteraskan kemahiran.
Untuk menjadikannya satu realiti, UMNO Johor mencadangkan satu kumpulan pakar dan golongan profesional dibentuk bagi memperhalusi dan merangka Agenda Melayu Maju ini.
“Agenda Melayu Maju itu juga akan menjadi tawaran baharu UMNO kepada orang Melayu, terutamanya menjelang pilihan raya umum akan datang. Biar orang Melayu menilai sendiri apa yang kita rancang dan mahu lakukan dengan masa depan orang Melayu,” kata Ayub.
Agenda ini akan membuktikan bahawa UMNO adalah sebuah gerakan politik yang mengutamakan pencerahan kepada bangsa dan bukannya sekadar berpolitik membuta tuli, dengan nostalgia, retorik dan emosi.

Thursday, 1 December 2016

PAU 2016 - PERBAHASAN WAKIL JOHOR : DATUK AYUB RAHMAT

Saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih atas peluang kepada Johor untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Presiden.

Menjadi wakil pembahas dari Johor memberikan saya seribu satu rasa. Rasa bertuah, rasa berterima kasih dan rasa bangga. Namun, dalam semua ini, wujud satu rasa yang tidak dapat saya gambarkan dengan perkataan.

Kerana, pada kami di Johor, biarpun UMNO Johor itu sering dipandang sinis, dilihat berbeza dan dianggap tidak sehaluan, satu perkara yang termaktub dan pasti, UMNO Johor akan kekal setia berkorban untuk UMNO keseluruhannya, dulu, kini dan insyaAllah, pada masa akan datang.
Walaupun ini bermakna kami perlu memenangkan UMNO dengan bersaing dengan parti lain yang dipimpin oleh bekas Timbalan Presiden UMNO sendiri.

Perhimpunan Agung UMNO pada tahun ini mempunyai beberapa unsur yang menjadikannya amat signifikan dan kritikal.

Pertama, inilah perhimpunan terbesar kita sebelum melangkah menghadapi pilihanraya paling getir pada tahun hadapan. Setiap perkara yang kita putuskan di sini, di pentas ini, akan pastinya memberikan kesan besar kepada kelangsungan UMNO dan kepercayaan orang Melayu.
Kedua, tahun ini menyaksikan sudah genap 70 tahun usia UMNO.

Dan dalam tempoh 70 tahun itu jugalah, kita menyeru orang Melayu, untuk menyayangi UMNO, berkhidmat pada UMNO, memberi pada UMNO dan bersetia dengan UMNO. 

Saya menegaskan bahawa sebenarnya bukan orang Melayu yang terhutang budi dengan UMNO. UMNO yang terhutang budi dengan   orang Melayu.


UMNO itu wujud kerana orang Melayu. UMNO berjaya memimpin Malaysia kerana orang Melayu.
Dan jangan sesekali kita lupa, UMNO tidak akan berada pada kedudukan kuasa sebegini lama jika tidak kerana orang Melayu.

Jadi, sudah tiba masanya untuk UMNO berhenti meminta orang Melayu memberi sumpah setia pada UMNO. Malah sudah tiba masanya untuk UMNO berhenti mengenang-ngenang apa yang telah UMNO berikan kepada orang Melayu.

Tetapi, telah tiba masanya UMNO yang berterima kasih dengan sokongan orang melayu selama ini. UMNO tidak boleh berjaya tanpa orang Melayu. Tidak, dan tidak sama sekali.

Kerana itu UMNO Johor percaya, sudah sampai masanya, UMNO  tampil memperbaharui tawaran dan pemberiannya kepada orang Melayu.

Menawarkan naratif baharu. Menawarkan agenda baharu. Menawarkan keterujaaan dan harapan baharu kepada orang Melayu.

Mengapa?

Kerana, orang Melayu kini berhadapan dengan cabaran yang sangat luar biasa. Dampak gelombang globalisasi, kemodenan dan kecanggihan dunia digital.

Cabaran besar orang Melayu bukan lagi tentang hak dan ketuanan. Isu sebenar orang Melayu hari ini, adalah kesiapsiagaan dan kebolehsaingan untuk berfungsi dan berjaya dalam kehidupan abad ke-21.
Dan bagaimana orang Melayu boleh hidup dengan sejahtera dan berjaya dalam persekitaran Malaysia yang semakin berubah ini.

Inilah yang UMNO harus perjuangkan untuk orang Melayu. Dan UMNO mesti menjawab masalah sebenar orang Melayu abad ke 21 ini dengan baik.  Kerana UMNO adalah kekuatan politik utama orang Melayu.

Jika UMNO sebagai parti politik terbesar dan terpenting orang Melayu gagal menjawab masalah sebenar orang Melayu, siapa lagi yang harus melakukannya?

Orang Melayu memerlukan kuasa politik untuk menggerakkan usaha mewujudkan kebolehsaingan ini. Orang Melayu memerlukan kuasa politik untuk melonjakkan agenda baharu yang selari dengan tuntutan semasa. UMNO Johor menganjurkan, setelah 70 tahun, telah tiba waktunya UMNO mengemukakan satu tawaran baru kepada orang Melayu. A New Deal to the Malays.

Apakah Tawaran Baru atau the New Deal tersebut?

Johor mencadangkan agar UMNO memimpin usaha menyemak semula Agenda Melayu.
UMNO mesti melakukan satu transfromasi yang radikal dalam agenda orang Melayu. Agenda Memajukan Melayu secara radikal, yang bukan sekadar menghidupkan Melayu. Agenda yang Johor namakan Agenda Melayu Maju.

Apakah yang kami maksudkan dengan Tawaran Baharu ini?

Ia adalah satu semakan radikal dan menyeluruh kepada Agenda Melayu secara keseluruhannya.
Dan dalam Tawaran Baharu ini, kita mesti mengemukakan satu bentuk pemaktuban yang lebih konkrit, lebih pragmatik dan pastinya lebih lengkap, iltizam UMNO untuk menjawab segala isu orang Melayu abad ke-21.

Kita jadikan Tawaran Baharu ini sebagai Agenda UMNO Untuk Abad ke 21. Biar ia menjadi suatu dokumen bertulis yang menawarkan definisi, panduan dan rujukan kepada semua orang, tentang apakah itu Agenda Melayu Maju atau Melayu Abad ke 21. Apakah halatujunya? Apakah sasaran dan strateginya?

Biar semua persoalan besar dan kritikal ini kita jawab dalam Tawaran Baharu ini. Dengan bertulis, dengan kemas, dengan tersusun dan ditawarkan dengan terbuka dan jelas. Ini kerana, selama ini sasaran dan jujukan kita sangat ‘ad hoc’? Kita melakar pelbagai strategi tetapi ia tidak menjawab masalah sebenar orang Melayu. 

Maka, tidak hairannya, Agenda Melayu sering sahaja ditafsir secara semberono dan berubah-ubah mengikut selera mereka yang memegang jawatan dan kementerian. Jadi, perkara ini mesti diubah. UMNO mesti tampil memberikan Tawaran Baharu ini kepada semua orang Melayu.

Apakah itu Agenda Melayu Maju? Pada kami, ia mestilah berkisar tentang bagaimana UMNO, antaranya:

Pertama, dapat membina ketahanan ekonomi orang Melayu dalam era globalisasi.
Kedua memastikan orang Melayu menikmati kesejahteraan hidup yang bermutu dengan citra moden.
Ketiga, menjadikan Malaysia lebih Islami namun sederhana dan global.
Keempat, memberikan pendidikan berkualiti, berteraskan kemahiran yang sesuai dengan abad ke 21 untuk semua.
Kelima, menguruskan Kerajaan dengan amanah dan berdasarkan amalan terbaik.
Dan akhirnya, menjadikan orang Melayu sebagai masyarakat terbaik!
Maka, bagi menjayakannya usaha menginstitusikan Transformasi Radikal Agenda Melayu ini,  saya ingin mencadangkan, eloklah jika dibentuk sekumpulan khas yang terdiri daripada individu-individu Melayu unggul.

Yang mempunyai kepakaran, kebitaraan dan kebijaksanaan yang pelbagai. Lalu kita amanahkan mereka ini untuk memperhalusi, merangka dan menulis Agenda Melayu Maju ini. Setelah begitu ramai pemikir ulung yang UMNO lahirkan sepanjang 7 dekad ini, pastilah ada minda-minda terbaik anak Melayu yang boleh menyumbang dan menulis dengan kemas Tawaran Baru UMNO  kepada orang Melayu ini. Biar mereka mengusulkan kepada UMNO.

Dan, dalam tempoh 6 bulan dari sekarang misalnya, diadakan suatu mesyuarat atau perhimpunan khas UMNO untuk kita membentangkan dan melancarkan Transformasi Agenda Melayu Maju ini.
Kita perbahaskan. Kita luluskan dan kita persembahkan kepada orang Melayu. Inilah janji UMNO pada Melayu untuk mendepani abad ke 21.

Setidak-tidaknya, Agenda Melayu Maju ini akan membantu kita dari beberapa segi.
Pertama, ia adalah cara UMNO berterima kasih kepada orang Melayu dengan menunjukkan kesungguhan kita merubah nasib orang Melayu dengan mengambil kira secara serius tuntutan zaman.
Kedua, ia akan mengelakkan Agenda Melayu itu dimanipulasi dan ditafsir sesuka hati sehingga membawa kepada ketirisan, penyelewengan atau apa-apa sahaja yang boleh mencalarkan imej orang Melayu.
Ketiga, Agenda Melayu Maju ini akan menjadi Tawaran Baharu UMNO kepada orang Melayu, terutamanya menjelang PRU yang akan datang. Biar orang Melayu menilai sendiri apa yang kita rancang dan mahu lakukan dengan masa depan orang Melayu.
Keempat, Tawaran Baharu ini akan membuktikan bahawa UMNO adalah sebuah gerakan politik yang mengutamakan pencerahan kepada bangsa. Bukannya sekadar berpolitik membuta tuli, dengan nostalgia dan emosi.

Berdasarkan segala yang saya bentangkan ini, mewakili UMNO Johor, kami ingin sekali lagi menegaskan. Bahawa amat penting untuk UMNO memberikan satu Tawaran Baharu atau the new deal kepada orang Melayu. Agar, melalui Tawaran Baharu ini, satu Agenda Melayu Maju dapat kita hasilkan, demi kebaikan semua orang Melayu.

Saya harap perkara ini akan mendapat perhatian kepimpinan parti.

Wednesday, 30 November 2016

PAU 2016 - UCAPAN WAKIL PEMUDA UMNO JOHOR : MOHD HELMI BUANG

Pada hari ini, sekali lagi Allah-Hu Ta’ala, dengan izinnya telah menghimpunkan kita semua, dalam satu majlis yang dirahmati hendaknya.

Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pergerakan Pemuda  UMNO Negeri Johor, atas kepercayaan dan peluang yang diberikan kepada saya bagi mewakili Pemuda UMNO Negeri Johor.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada para perwakilan yang hadir pada hari ini. Kehadiran perwakilan pada pagi ini membuktikan semangat parti UMNO masih mekar di dalam diri para perwakilan

Dikesempatan yang diberikan ini, saya akan usaha sehabis daya bagi membawa agenda besar Pemuda UMNO negeri Johor.

Hari ini kita berkumpul bagi menjayakan majlis yang keramat ini. Keramat dalam erti kata lain bermaksud sebuah majlis yang membawa kepada seribu makna, baik buruk kita bahaskan dan bincangkan disini. Hari ini juga adalah hari dimana permuafakatan antara pemimpin dan mereka yang dipimpin diraikan. Jurang yang diatas dan dibawah dirapatkan. Maka, pada hari ini jugalah pemimpin yang berada di atas dapat mendengar secara terus denyut nadi, keluh kesah dan rintihan rakyat khususnya anak muda yang sedang berhadapan dengan survival kehidupan pada ketika ini.

Pertamanya, saya menyambut baik ucapan dasar pemuda yang diamanatkan oleh YB Ketua Pemuda dan secara peribadi saya merasakan amanat tersebut perlu disambut oleh kesemua lapisan kepimpinan Pemuda UMNO baik di peringkat negeri, bahagian mahupun cawangan.

Saya juga ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada YB Ketua Pemuda yang juga merupakan salah seorang ahli Menteri Kabinet kerana  telah menjadi sebahagian usaha untuk memacu pembangunan negara agar Malaysia terus berada di landasan yang tepat ke arah negara berpendapatan tinggi.

Namun, saya menyeru perwakilan pada hari ini untuk tidak terlena dan asyik dengan terma “negara berpendapatan tinggi”. Apa guna menjadi negara berpendapatan tinggi jika rakyat terus dihimpit oleh tekanan kos sara hidup yang juga tinggi? Apa guna menjadi negara berpendapatan tinggi jika hasil kekayaan & kemakmuran negara hanya dinikmati oleh 1% populasi keseluruhan rakyat Malaysia? Jurang ekonomi ini hanya akan mencetuskan polarisasi kaum dan kesulitan kepada semua. Malaysia tidak boleh menjadi negara yang mempunyai jurang antara mereka yang kaya dengan kelas pekerja dan kelas menegah bawah yang begitu lebar.
Tuan Pengerusi Tetap

Oleh itu, pada hari ini saya ingin menegaskan dan mencadangkan suatu anjakan paradigma politik dilakukan. Anjakan ini saya gelarkan sebagai “Anjakan Politik Budaya Tinggi”. “Anjakan Politik Budaya Tinggi” merupakan sebuah anjakan kearah budaya politik baharu yang berasaskan kemuafakatan, kematangan & siasah politik yang sebenar yang berlandaskan kepada roh perjuangan UMNO itu sendiri.

*ANJAKAN PERTAMA : KEMUAFAKATAN ASAS PERPADUAN*

Soal kemuafakatan. Suka untuk saya mengajak para perwakilan untuk menyelusuri dan menjadikan suri tauladan terhadap gagasan dan konsep besar yang telah dibawa oleh YAB Pengerusi Perhubungan UMNO Johor bilamana beliau mengariskan peri pentingnya pemuafakatan sepertimana Gagasan Muafakat Johor yang telah menjadi asas kepada pentadbiran kerajaan negeri Johor pada hari ini.

Melalui Gagasan Muafakat Johor, YAB Pengerusi Perhubungan UMNO Johor telah menggariskan kepentingan untuk UMNO menjadi sebuah keluarga yang besar bagi yang sentiasa memanyungi penghuninya ahli keluarganya. Sebagai sebuah keluarga yang besar pastinya wujud sedikit persengketaan, pergeseran, cuit mencuit antara ahli keluarganya. Namun, kita harus menangani persengkataan dan pergeseran tersebut secara  berhemah agar permasalahan itu tidak mampu menganggu gugat kesejahteraan dan keharmonian keluarga.

Lantaran itu, saya ingin menyeru perwakilan pada hari ini untuk menghayati kembali falsafah perjuangan UMNO itu sendiri. Rentetan sejarah menceritakan bagaimana para pendiri bangsa kita yang terdahulu telah menubuhkan pergerakan politik pertama orang Melayu melalui UMNO di Istana Besar Johor Bahru. Pada ketika itu, agenda besarnya adalah untuk menjadikan  negara ini sebagai sebuah negara yang mandiri, merdeka dan ulung.

Namun pada hari ini, UMNO seharusnya menjadi sebuah parti yang bukan sahaja menjadikan Malaysia sebuah negara ulung, namun agendanya perlu lebih besar dari itu, iaitu melahirkan masyarakat yang berbudaya dan kaya dengan identiti sosial.

Tanggungjawab melahirkan masyarakat yang berbudaya itu harus menjadi keutamaan UMNO kini. Kita tidak lagi boleh berdolak dalih dalam menjayakan usaha ini.

Permuafakatan ini juga harus diterjemahkan dengan tindakan dan perbuatan.  Yang muda harus menghormati yang tua, yang tua pula harus memberi ruang dan peluang serta tunjuk ajar kepada yang muda. Itulah resepi keluarga bahagia.

Dikesempatan ini juga, saya ingin mengajak para perwakilan untuk bersama bergerak seiring sebagai sebuah parti. Menjadikan UMNO dan ahlinya sebagai tauladan kepada masyarakat.

Pada kepimpinan atasan, rajin-rajinlah turun ke lapangan, lihatlah sendiri survival kehidupan anak muda, rasailah jerih perih kesukaran bagi anak muda meneruskan kelangsungan hidup. Marilah kita utamakan keperluan masyarakat, lunaskanlah dengan penuh rasa tanggungjawab dan ikhlas. Jayakanlah harapan kami pada kalian pemimpin di atas sana.
Tuan Pengerusi Tetap

Polisi dan dasar yang dicaknakan harus bukan sahaja menyelesaikan permasalahan kerajaan, tetapi ianya juga harus dapat menyelesaikan permasalahan rakyat. Lebih memburukkan, kita selama ini telah dibelenggu oleh sistem kebajikan yang tidak menyelesaikan permasalahan rakyat.

Sebagai contoh, rasionalisasi subsidi adalah langkah fiskal bagi menyelesaikan masalah kerajaan namun ianya gagal menyelesaikan masalah rakyat. Rasionalisasi subsidi ini telah meringankan beban perbelanjaan kerajaan, namun bebanan ini dipindah kepada rakyat marhaen kesan daripada  kenaikan harga barang.

Maka, saya menggesa kepimpinan pada hari ini untuk lebih cakna dengan keperluan dan kehendak rakyat terutamanya orang muda. Bukakanlah peluang kerjaya kepada kami, bantulah kami bagi memulakan perniagaan, tingkatkanlah lagi kuota pemilikan belia dalam memiliki rumah mampu milik dan luaskan lagi senarai “zero-rated” GST bagi barang-barang keperluan asas yang lain.

Umum mengetahui, kewujudan GST akan menurunkan harga barangan bagi barang-barang tertentu terutamanya barang keperluan harian. Namun perkara ini tidak berlaku dan mengundang kemarahan khalayak. Sikap peniaga yang tamak dan mementingkan diri sendiri menjadi punca dasar ini kurang berkesan. langkah yang drastik perlu ditangani oleh pihak berkuasa. Jika isu kekurangan penguatkuasa di lapangan, kerajaan memerintah harus peka dan menambah bilangan penguatkuasa atau menubuhkan pasukan sukarelawan khas yang boleh membantu masyarakat. Pasukan ini boleh terdiri daripada NGO atau kawasan rukun tertangga yang pada zahirnya sebuah badan yang paling hampir dengan khalayak.

*ANJAKAN KEDUA : MENDASARI BUDAYA POLITIK MATANG*

Dalam usaha untuk menjadikan UMNO terus kekal relevan, UMNO harus menunjukkan kematangannya dengan menjadi lebih inklusif.

UMNO tidak seharusnya menjadi parti yang begitu eksklusif dan tertutup kepada golongan-golongan tertentu sahaja. Budaya cantas mencatas dan 'warlord' harus dihentikan serta merta bagi memastikan UMNO terus menjadi pilihan golongan muda kini yang lebih progresif dan berani dalam menzahirkan idea-idea mereka.

Justeru, sudah tiba masanya suatu ruang khusus disediakan untuk anak muda ini berpartisipasi bersama UMNO dan bersama-sama memacu wadah perjuangan parti keramat ini.

Oleh itu, tanggungjawab pemimpin pelapis yang saya gelarkan sebagai 'second layer leadership' amat penting. Dalam dunia pasca modenisme ini amat penting untuk kita mendapatkan sokongan anak muda tidak kira dengan apa cara sekalipun. Tanggungjawab ini haruslah digalas sebaik mungkin oleh 'second layer leadership ini'.

Politik feudalism dalam kalangan 'second layer leadership' tidak harus lagi berlaku. Ini kerana UMNO bukanlah sebuah parti elit yang hanya diwakili oleh golongan bangsawan. Sebaliknya, UMNO adalah parti rakyat yang diwakili oleh suara akar umbi.

Oleh itu, politik feudalism dalam kerangka UMNO haruslah dimansuhkan. Politik feudalism dalam konteks ini adalah amalan kronisme & nepotism. Ianya harus bersifat demokratik dan bebas serta benar-benar mewakili suara akar umbi.

*ANJAKAN KETIGA : SIASAH POLITIK SEBENAR*

Memetik kata-kata filusuf Prof Syed Naqiub Al-Attas yang menyatakan  bahawa pendefinisian Melayu itu tidak seharusnya disempitkan dalam kerangka etnik semata-mata. Ianya harus menjangkaui kepada aspek ketamadunan Melayu.

Maka, jika kita melihat Melayu itu sebagai sebuah ketamadunan, sudah semestinya kita akan dapat memahami falsafah sebenar perjuangan UMNO. Sudah semestinya kita dapat bersama-sama bergandingan bahu untuk melahirkan Malaysia Ulung dengan masyarakat yang berbudaya.

UMNO perlu memperlengkapkan ahlinya dengan ilmu pengetahuan dan sentiasa bermuhasabah terhadap asas idelogikal UMNO agar ianya tidak lari dari landasan sebenar perjuangannya. Inilah kunci dan rahsia bagi pembentukan sahsiah politik tinggi.

Asas ideologikal dan siasah politik tinggi UMNO ini juga harus dizahirkan dalam pentadbiran kerajaan kini.

Suka untuk saya menyeru kepada barisan kepimpinan bahawa sudah sampai masanya kita memandang serius agenda parti menguasai kerajaan. Agenda ini adalah kunci kepada banyak penyelesaian masalah. Bukan niat saya ingin menafikan peranan dan sumbangan yang diberikan oleh kakitangan awam/kerajaan. Namun, dasar dan polisi yang mendirikan negara ini haruslah datangnya dari parti keramat, UMNO itu sendiri.

Untuk pengetahuan barisan kepimpinan, sudah menjadi suatu rahsia umum bahawa, terlalu banyak 'little napoleons' dalam sektor awam dan belum lagi saya mengambil contoh bagaimana isu rasionalisasi subsidi dan kenaikan harga barang tidak dibahaskan secara konstruktif dalam parti kita.

Kita membiarkan kakitangan awam, penasihat dan konsultan untuk memberi cadangan mengenai isu-isu tersebut tanpa perbincangan terlebih dahulu bersama ahli-ahli parti. Adakah ahli-ahli parti hari ini hanya berperanan bila berlakunya pemilihan parti semata-semata? Adakah ahli-ahli UMNO hanya sekadar menjadi jentera pilihanraya bagi memenangkan kerajaan pada hari ini?
Yang Berbahagia Pengerusi Tetap

Suka untuk saya akhiri perbahasan saya pada hari ini dengan memetik nukilan kata yang telah diamanatkan oleh YAB Pengerusi Perhubungan UMNO Johor:-
“Orang Melayu mendambakan pemikiran besar dan berani dari UMNO. Jika tiada pemikiran besar dan berani, tentang masa depan bangsa Melayu, maka UMNO tersasar dari misi utamanya untuk membawa kebaikan kepada bangsa Melayu.”

Masa akan berlalu pergi meninggalkan kita, kelalaian kita akan membinasakan umat Melayu. kelalaian kita akan melenyapkan landasan yang kita bina berpuluh tahun ini. Pilihan Raya menjadi penentu nasib kita. Ahli UMNO perlu menyiapkan diri berhadapan dengan Pilihan Raya 14 akan datang. Melayu perlu bersedia menerima perubahan. suka atau tidak, kita sedang berhadapan dengan perubahan. Perubahan yang belum tentu menyebelahi nasib kita. marilah kita meleraikan persengketaan yang ada. kita tidak mahu bahawa kita adalah generasi yang akan dipersalahkan pada masa hadapan.

UMNO perlukan wajah-wajah baru yang bersemangat, yang beridealisma, yang berani membicarakan idea. Keyakinan anak muda diluar sana ketika ini kian terhakis mengikut arus masa. mereka memberontak kerana idea kian terhalang.

Akhir kata, saya amat mendambakan Anjakan-Anjakan yang saya lontarkan sebentar tadi dapat dizahir dan dimurnikan. Suara kecil ini mungkin hanya dipandang sepi, namun apa yang saya utarakan sebenarnya, bertujuan menjawab permasalahan sebenar UMNO, yang wajar UMNO perjuangkan.

Saya juga sedar bahawa ini merupakan medan terbaik untuk UMNO membahaskan luah rasa, isi hati dengan tulus dan ikhlas.

Insha Allah, Pemuda UMNO Johor akan melakukan usaha kerja dengan lebih terancang selepas ini untuk menyebar luaskan agenda besar ini.  Agar ianya didukung sepenuh jiwa oleh seluruh orang Melayu insyallah.

Akhirnya, sekali lagi saya berterima kasih atas peluang dan ruang yang telah diberikan. Dan saya tingalkan sidang perwakilan dengan serangkap pantun:-

Dari Johor Terbang Ke Bandung;
Membawa Cinta Pada Si Sunda;
Luahan Rasa Yang Telah Dikandung;
Akhirnya Diluahkan Jua.

Saya berharap, kasih kita, cinta kita, ikhlas dan sayang kita pada bangsa Melayu, pada agama Islam dan pada tanahair ini akan terus subur!

Hidup Melayu...!!!
Hidup UMNO...!!!
Hidup Pemuda...!!!