Wednesday 7 December 2016

TIGA PERKARA YANG DITEKANKAN OLEH TMJ

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu tiga sektor utama iaitu keselamatan, jalinan perhubungan dan juga kewujudan peluang pekerjaaan diberi perhatian bagi memastikan Iskandar Malaysia terus berkembang pesat. Baginda bertitah, semua pihak sedar bahawa keselamatan adalah amat penting, lebih-lebih lagi persepsi mereka yang terbabit secara langsung dalam pembangunan Iskandar Malaysia.
 “Yang kedua ialah jalinan hubungan antara Malaysia dan Singapura sama ada membabitkan rangkaian jalan raya, pengangkutan rel atau pengangkutan air seperti feri.
 “Kewujudan peluang pekerjaan penting untuk meningkatkan lagi kemahiran, pada masa sama dapat mewujudkan lebih banyak pusat latihan,” katanya.
Baginda bertitah demikian  pada majlis pelancaran Logo dan Rekabentuk Fastrackcity di Studio Pinewood Iskandar Malaysia, di sini hari ini. Titah baginda, matlamat kearah kejayaan pertumbuhan di Iskandar Malaysia akan Berjaya sekiranya sepenuh tenaga serta fokus diberikan terhadap tiga sektor berkenaan.
“Untuk mencapai kejayaan itu kita harus mengikuti pelan sedia ada selain berdisplin dan terus bersemangat untuk mencapai kemajuan Iskandar Malaysia,” katanya.
Turut hadir ialah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ismail Karim, Pengerusi Fastrack Iskandar Sdn Bhd, Berry Kan dan Ketua Pegawai Eksekutif Irda, Datuk Ismail Ibrahim.
Sementara itu Perdana Menteri dalam ucapannya berkata, projek Fastrackcity yang bakal dibangunkan di negeri ini akan menjadi pemangkin penting kepada pembangunan industri permotoran negara. Katanya, Fastrackcity atau bandar sukan permotoran bersepadu yang dibangunkan di Gerbang Nusajaya akan turut memberi impak positif kepada pelbagai perkara.
“Projek itu bukan sahaja akan merancakkan lagi pembangunan hartanah, malah turut mewujudkan peluang perniagaan serta pekerjaan dalam sektor pelancongan di Iskandar Malaysia.
 “Dianggarkan kira-kira 1,200 peluang pekerjaan dapat diwujudkan menerusi pembangunan Fastrackcity selain dapat menarik kemasukan hampir 350,000 pelancong ke negara ini,” katanya.
Projek Fastrackcity yang dibangunkan atas keluasan tanah lebih 120 hektar itu turut merangkumi pembinaan litar antarabangsa gred 1 sepanjang 4.45 kilometer dan akan disiapkan pada tahun 2019. Selain dilengkapi pelbagai trek bertaraf antarabangsa, Fastrackcity juga menyediakan kemudahan tempat letak kereta bercirikan sistem keselamatan auto vault dan galeri merangkumi pameran automotif, gerai makanan dan peruncitan.
Projek berkenaan dibangunkan dengan kerjasama FASTrack Autosports (Iskandar) Sdn Bhd dan UEM Land Berhad.