Saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih atas peluang kepada Johor untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Presiden.
Menjadi wakil pembahas dari Johor memberikan saya seribu satu rasa. Rasa bertuah, rasa berterima kasih dan rasa bangga. Namun, dalam semua ini, wujud satu rasa yang tidak dapat saya gambarkan dengan perkataan.
Kerana, pada kami di Johor, biarpun UMNO Johor itu sering dipandang sinis, dilihat berbeza dan dianggap tidak sehaluan, satu perkara yang termaktub dan pasti, UMNO Johor akan kekal setia berkorban untuk UMNO keseluruhannya, dulu, kini dan insyaAllah, pada masa akan datang.
Walaupun ini bermakna kami perlu memenangkan UMNO dengan bersaing dengan parti lain yang dipimpin oleh bekas Timbalan Presiden UMNO sendiri.
Perhimpunan Agung UMNO pada tahun ini mempunyai beberapa unsur yang menjadikannya amat signifikan dan kritikal.
Pertama, inilah perhimpunan terbesar kita sebelum melangkah menghadapi pilihanraya paling getir pada tahun hadapan. Setiap perkara yang kita putuskan di sini, di pentas ini, akan pastinya memberikan kesan besar kepada kelangsungan UMNO dan kepercayaan orang Melayu.
Kedua, tahun ini menyaksikan sudah genap 70 tahun usia UMNO.
Dan dalam tempoh 70 tahun itu jugalah, kita menyeru orang Melayu, untuk menyayangi UMNO, berkhidmat pada UMNO, memberi pada UMNO dan bersetia dengan UMNO.
Saya menegaskan bahawa sebenarnya bukan orang Melayu yang terhutang budi dengan UMNO. UMNO yang terhutang budi dengan orang Melayu.
UMNO itu wujud kerana orang Melayu. UMNO berjaya memimpin Malaysia kerana orang Melayu.
Dan jangan sesekali kita lupa, UMNO tidak akan berada pada kedudukan kuasa sebegini lama jika tidak kerana orang Melayu.
Jadi, sudah tiba masanya untuk UMNO berhenti meminta orang Melayu memberi sumpah setia pada UMNO. Malah sudah tiba masanya untuk UMNO berhenti mengenang-ngenang apa yang telah UMNO berikan kepada orang Melayu.
Tetapi, telah tiba masanya UMNO yang berterima kasih dengan sokongan orang melayu selama ini. UMNO tidak boleh berjaya tanpa orang Melayu. Tidak, dan tidak sama sekali.
Kerana itu UMNO Johor percaya, sudah sampai masanya, UMNO tampil memperbaharui tawaran dan pemberiannya kepada orang Melayu.
Menawarkan naratif baharu. Menawarkan agenda baharu. Menawarkan keterujaaan dan harapan baharu kepada orang Melayu.
Mengapa?
Kerana, orang Melayu kini berhadapan dengan cabaran yang sangat luar biasa. Dampak gelombang globalisasi, kemodenan dan kecanggihan dunia digital.
Cabaran besar orang Melayu bukan lagi tentang hak dan ketuanan. Isu sebenar orang Melayu hari ini, adalah kesiapsiagaan dan kebolehsaingan untuk berfungsi dan berjaya dalam kehidupan abad ke-21.
Dan bagaimana orang Melayu boleh hidup dengan sejahtera dan berjaya dalam persekitaran Malaysia yang semakin berubah ini.
Inilah yang UMNO harus perjuangkan untuk orang Melayu. Dan UMNO mesti menjawab masalah sebenar orang Melayu abad ke 21 ini dengan baik. Kerana UMNO adalah kekuatan politik utama orang Melayu.
Jika UMNO sebagai parti politik terbesar dan terpenting orang Melayu gagal menjawab masalah sebenar orang Melayu, siapa lagi yang harus melakukannya?
Orang Melayu memerlukan kuasa politik untuk menggerakkan usaha mewujudkan kebolehsaingan ini. Orang Melayu memerlukan kuasa politik untuk melonjakkan agenda baharu yang selari dengan tuntutan semasa. UMNO Johor menganjurkan, setelah 70 tahun, telah tiba waktunya UMNO mengemukakan satu tawaran baru kepada orang Melayu. A New Deal to the Malays.
Apakah Tawaran Baru atau the New Deal tersebut?
Johor mencadangkan agar UMNO memimpin usaha menyemak semula Agenda Melayu.
UMNO mesti melakukan satu transfromasi yang radikal dalam agenda orang Melayu. Agenda Memajukan Melayu secara radikal, yang bukan sekadar menghidupkan Melayu. Agenda yang Johor namakan Agenda Melayu Maju.
Apakah yang kami maksudkan dengan Tawaran Baharu ini?
Ia adalah satu semakan radikal dan menyeluruh kepada Agenda Melayu secara keseluruhannya.
Dan dalam Tawaran Baharu ini, kita mesti mengemukakan satu bentuk pemaktuban yang lebih konkrit, lebih pragmatik dan pastinya lebih lengkap, iltizam UMNO untuk menjawab segala isu orang Melayu abad ke-21.
Kita jadikan Tawaran Baharu ini sebagai Agenda UMNO Untuk Abad ke 21. Biar ia menjadi suatu dokumen bertulis yang menawarkan definisi, panduan dan rujukan kepada semua orang, tentang apakah itu Agenda Melayu Maju atau Melayu Abad ke 21. Apakah halatujunya? Apakah sasaran dan strateginya?
Biar semua persoalan besar dan kritikal ini kita jawab dalam Tawaran Baharu ini. Dengan bertulis, dengan kemas, dengan tersusun dan ditawarkan dengan terbuka dan jelas. Ini kerana, selama ini sasaran dan jujukan kita sangat ‘ad hoc’? Kita melakar pelbagai strategi tetapi ia tidak menjawab masalah sebenar orang Melayu.
Maka, tidak hairannya, Agenda Melayu sering sahaja ditafsir secara semberono dan berubah-ubah mengikut selera mereka yang memegang jawatan dan kementerian. Jadi, perkara ini mesti diubah. UMNO mesti tampil memberikan Tawaran Baharu ini kepada semua orang Melayu.
Apakah itu Agenda Melayu Maju? Pada kami, ia mestilah berkisar tentang bagaimana UMNO, antaranya:
Pertama, dapat membina ketahanan ekonomi orang Melayu dalam era globalisasi.
Kedua memastikan orang Melayu menikmati kesejahteraan hidup yang bermutu dengan citra moden.
Ketiga, menjadikan Malaysia lebih Islami namun sederhana dan global.
Keempat, memberikan pendidikan berkualiti, berteraskan kemahiran yang sesuai dengan abad ke 21 untuk semua.
Kelima, menguruskan Kerajaan dengan amanah dan berdasarkan amalan terbaik.
Dan akhirnya, menjadikan orang Melayu sebagai masyarakat terbaik!
Maka, bagi menjayakannya usaha menginstitusikan Transformasi Radikal Agenda Melayu ini, saya ingin mencadangkan, eloklah jika dibentuk sekumpulan khas yang terdiri daripada individu-individu Melayu unggul.
Yang mempunyai kepakaran, kebitaraan dan kebijaksanaan yang pelbagai. Lalu kita amanahkan mereka ini untuk memperhalusi, merangka dan menulis Agenda Melayu Maju ini. Setelah begitu ramai pemikir ulung yang UMNO lahirkan sepanjang 7 dekad ini, pastilah ada minda-minda terbaik anak Melayu yang boleh menyumbang dan menulis dengan kemas Tawaran Baru UMNO kepada orang Melayu ini. Biar mereka mengusulkan kepada UMNO.
Dan, dalam tempoh 6 bulan dari sekarang misalnya, diadakan suatu mesyuarat atau perhimpunan khas UMNO untuk kita membentangkan dan melancarkan Transformasi Agenda Melayu Maju ini.
Kita perbahaskan. Kita luluskan dan kita persembahkan kepada orang Melayu. Inilah janji UMNO pada Melayu untuk mendepani abad ke 21.
Setidak-tidaknya, Agenda Melayu Maju ini akan membantu kita dari beberapa segi.
Pertama, ia adalah cara UMNO berterima kasih kepada orang Melayu dengan menunjukkan kesungguhan kita merubah nasib orang Melayu dengan mengambil kira secara serius tuntutan zaman.
Kedua, ia akan mengelakkan Agenda Melayu itu dimanipulasi dan ditafsir sesuka hati sehingga membawa kepada ketirisan, penyelewengan atau apa-apa sahaja yang boleh mencalarkan imej orang Melayu.
Ketiga, Agenda Melayu Maju ini akan menjadi Tawaran Baharu UMNO kepada orang Melayu, terutamanya menjelang PRU yang akan datang. Biar orang Melayu menilai sendiri apa yang kita rancang dan mahu lakukan dengan masa depan orang Melayu.
Keempat, Tawaran Baharu ini akan membuktikan bahawa UMNO adalah sebuah gerakan politik yang mengutamakan pencerahan kepada bangsa. Bukannya sekadar berpolitik membuta tuli, dengan nostalgia dan emosi.
Berdasarkan segala yang saya bentangkan ini, mewakili UMNO Johor, kami ingin sekali lagi menegaskan. Bahawa amat penting untuk UMNO memberikan satu Tawaran Baharu atau the new deal kepada orang Melayu. Agar, melalui Tawaran Baharu ini, satu Agenda Melayu Maju dapat kita hasilkan, demi kebaikan semua orang Melayu.
Saya harap perkara ini akan mendapat perhatian kepimpinan parti.