UMNO mesti melakukan satu transformasi yang radikal dalam agenda orang Melayu, termasuk membina ketahanan ekonomi, mewujudkan kebolehsaingan dan kesiapsiagaan mendepani cabaran abad ke-21.
Perwakilan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata sudah sampai masanya, UMNO bangkit menawarkan satu tawaran baharu kepada orang Melayu, dinamakan sebagai Agenda Melayu Maju, sekali gus memberi harapan baharu kepada orang Melayu.
Ayub, yang juga Pengerusi Media Sosial UMNO Johor, berkata orang Melayu kini berhadapan dengan cabaran yang sangat luar biasa antaranya gelombang globalisasi, kemodenan dan kecanggihan dunia digital.
“Isu sebenar orang Melayu hari ini, adalah kesiapsiagaan dan kebolehsaingan untuk berfungsi dan berjaya dalam kehidupan abad ke-21 serta bagaimana orang Melayu boleh hidup dengan sejahtera dan berjaya dengan persekitaran Malaysia yang semakin berubah ini.
“UMNO mesti menjawab masalah sebenar orang Melayu abad ke-21 ini dengan baik kerana UMNO adalah kekuatan politik orang Melayu,” katanya semasa membahaskanusul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 hari ini.
Ayub, yang mewakili UMNO Bahagian Sekijang, berkata Agenda Melayu Maju mesti mengemukakan satu bentuk pemaktuban yang lebih konkrit, lebih pragmatik dan pastinya lebih lengkap, iltizam UMNO untuk menjawab segala isu orang Melayu abad ke-21.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor itu berkata UMNO Johor menggariskan tujuh elemen yang harus terkandung dalam agenda itu, antaranya termasuk membina ketahanan ekonomi orang Melayu dalam era globalisasi dan memberikan pendidikan berkualiti berteraskan kemahiran.
Untuk menjadikannya satu realiti, UMNO Johor mencadangkan satu kumpulan pakar dan golongan profesional dibentuk bagi memperhalusi dan merangka Agenda Melayu Maju ini.
“Agenda Melayu Maju itu juga akan menjadi tawaran baharu UMNO kepada orang Melayu, terutamanya menjelang pilihan raya umum akan datang. Biar orang Melayu menilai sendiri apa yang kita rancang dan mahu lakukan dengan masa depan orang Melayu,” kata Ayub.
Agenda ini akan membuktikan bahawa UMNO adalah sebuah gerakan politik yang mengutamakan pencerahan kepada bangsa dan bukannya sekadar berpolitik membuta tuli, dengan nostalgia, retorik dan emosi.