Wednesday, 30 November 2016

PAU 2016 - UCAPAN WAKIL PEMUDA UMNO JOHOR : MOHD HELMI BUANG

Pada hari ini, sekali lagi Allah-Hu Ta’ala, dengan izinnya telah menghimpunkan kita semua, dalam satu majlis yang dirahmati hendaknya.

Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pergerakan Pemuda  UMNO Negeri Johor, atas kepercayaan dan peluang yang diberikan kepada saya bagi mewakili Pemuda UMNO Negeri Johor.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada para perwakilan yang hadir pada hari ini. Kehadiran perwakilan pada pagi ini membuktikan semangat parti UMNO masih mekar di dalam diri para perwakilan

Dikesempatan yang diberikan ini, saya akan usaha sehabis daya bagi membawa agenda besar Pemuda UMNO negeri Johor.

Hari ini kita berkumpul bagi menjayakan majlis yang keramat ini. Keramat dalam erti kata lain bermaksud sebuah majlis yang membawa kepada seribu makna, baik buruk kita bahaskan dan bincangkan disini. Hari ini juga adalah hari dimana permuafakatan antara pemimpin dan mereka yang dipimpin diraikan. Jurang yang diatas dan dibawah dirapatkan. Maka, pada hari ini jugalah pemimpin yang berada di atas dapat mendengar secara terus denyut nadi, keluh kesah dan rintihan rakyat khususnya anak muda yang sedang berhadapan dengan survival kehidupan pada ketika ini.

Pertamanya, saya menyambut baik ucapan dasar pemuda yang diamanatkan oleh YB Ketua Pemuda dan secara peribadi saya merasakan amanat tersebut perlu disambut oleh kesemua lapisan kepimpinan Pemuda UMNO baik di peringkat negeri, bahagian mahupun cawangan.

Saya juga ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada YB Ketua Pemuda yang juga merupakan salah seorang ahli Menteri Kabinet kerana  telah menjadi sebahagian usaha untuk memacu pembangunan negara agar Malaysia terus berada di landasan yang tepat ke arah negara berpendapatan tinggi.

Namun, saya menyeru perwakilan pada hari ini untuk tidak terlena dan asyik dengan terma “negara berpendapatan tinggi”. Apa guna menjadi negara berpendapatan tinggi jika rakyat terus dihimpit oleh tekanan kos sara hidup yang juga tinggi? Apa guna menjadi negara berpendapatan tinggi jika hasil kekayaan & kemakmuran negara hanya dinikmati oleh 1% populasi keseluruhan rakyat Malaysia? Jurang ekonomi ini hanya akan mencetuskan polarisasi kaum dan kesulitan kepada semua. Malaysia tidak boleh menjadi negara yang mempunyai jurang antara mereka yang kaya dengan kelas pekerja dan kelas menegah bawah yang begitu lebar.
Tuan Pengerusi Tetap

Oleh itu, pada hari ini saya ingin menegaskan dan mencadangkan suatu anjakan paradigma politik dilakukan. Anjakan ini saya gelarkan sebagai “Anjakan Politik Budaya Tinggi”. “Anjakan Politik Budaya Tinggi” merupakan sebuah anjakan kearah budaya politik baharu yang berasaskan kemuafakatan, kematangan & siasah politik yang sebenar yang berlandaskan kepada roh perjuangan UMNO itu sendiri.

*ANJAKAN PERTAMA : KEMUAFAKATAN ASAS PERPADUAN*

Soal kemuafakatan. Suka untuk saya mengajak para perwakilan untuk menyelusuri dan menjadikan suri tauladan terhadap gagasan dan konsep besar yang telah dibawa oleh YAB Pengerusi Perhubungan UMNO Johor bilamana beliau mengariskan peri pentingnya pemuafakatan sepertimana Gagasan Muafakat Johor yang telah menjadi asas kepada pentadbiran kerajaan negeri Johor pada hari ini.

Melalui Gagasan Muafakat Johor, YAB Pengerusi Perhubungan UMNO Johor telah menggariskan kepentingan untuk UMNO menjadi sebuah keluarga yang besar bagi yang sentiasa memanyungi penghuninya ahli keluarganya. Sebagai sebuah keluarga yang besar pastinya wujud sedikit persengketaan, pergeseran, cuit mencuit antara ahli keluarganya. Namun, kita harus menangani persengkataan dan pergeseran tersebut secara  berhemah agar permasalahan itu tidak mampu menganggu gugat kesejahteraan dan keharmonian keluarga.

Lantaran itu, saya ingin menyeru perwakilan pada hari ini untuk menghayati kembali falsafah perjuangan UMNO itu sendiri. Rentetan sejarah menceritakan bagaimana para pendiri bangsa kita yang terdahulu telah menubuhkan pergerakan politik pertama orang Melayu melalui UMNO di Istana Besar Johor Bahru. Pada ketika itu, agenda besarnya adalah untuk menjadikan  negara ini sebagai sebuah negara yang mandiri, merdeka dan ulung.

Namun pada hari ini, UMNO seharusnya menjadi sebuah parti yang bukan sahaja menjadikan Malaysia sebuah negara ulung, namun agendanya perlu lebih besar dari itu, iaitu melahirkan masyarakat yang berbudaya dan kaya dengan identiti sosial.

Tanggungjawab melahirkan masyarakat yang berbudaya itu harus menjadi keutamaan UMNO kini. Kita tidak lagi boleh berdolak dalih dalam menjayakan usaha ini.

Permuafakatan ini juga harus diterjemahkan dengan tindakan dan perbuatan.  Yang muda harus menghormati yang tua, yang tua pula harus memberi ruang dan peluang serta tunjuk ajar kepada yang muda. Itulah resepi keluarga bahagia.

Dikesempatan ini juga, saya ingin mengajak para perwakilan untuk bersama bergerak seiring sebagai sebuah parti. Menjadikan UMNO dan ahlinya sebagai tauladan kepada masyarakat.

Pada kepimpinan atasan, rajin-rajinlah turun ke lapangan, lihatlah sendiri survival kehidupan anak muda, rasailah jerih perih kesukaran bagi anak muda meneruskan kelangsungan hidup. Marilah kita utamakan keperluan masyarakat, lunaskanlah dengan penuh rasa tanggungjawab dan ikhlas. Jayakanlah harapan kami pada kalian pemimpin di atas sana.
Tuan Pengerusi Tetap

Polisi dan dasar yang dicaknakan harus bukan sahaja menyelesaikan permasalahan kerajaan, tetapi ianya juga harus dapat menyelesaikan permasalahan rakyat. Lebih memburukkan, kita selama ini telah dibelenggu oleh sistem kebajikan yang tidak menyelesaikan permasalahan rakyat.

Sebagai contoh, rasionalisasi subsidi adalah langkah fiskal bagi menyelesaikan masalah kerajaan namun ianya gagal menyelesaikan masalah rakyat. Rasionalisasi subsidi ini telah meringankan beban perbelanjaan kerajaan, namun bebanan ini dipindah kepada rakyat marhaen kesan daripada  kenaikan harga barang.

Maka, saya menggesa kepimpinan pada hari ini untuk lebih cakna dengan keperluan dan kehendak rakyat terutamanya orang muda. Bukakanlah peluang kerjaya kepada kami, bantulah kami bagi memulakan perniagaan, tingkatkanlah lagi kuota pemilikan belia dalam memiliki rumah mampu milik dan luaskan lagi senarai “zero-rated” GST bagi barang-barang keperluan asas yang lain.

Umum mengetahui, kewujudan GST akan menurunkan harga barangan bagi barang-barang tertentu terutamanya barang keperluan harian. Namun perkara ini tidak berlaku dan mengundang kemarahan khalayak. Sikap peniaga yang tamak dan mementingkan diri sendiri menjadi punca dasar ini kurang berkesan. langkah yang drastik perlu ditangani oleh pihak berkuasa. Jika isu kekurangan penguatkuasa di lapangan, kerajaan memerintah harus peka dan menambah bilangan penguatkuasa atau menubuhkan pasukan sukarelawan khas yang boleh membantu masyarakat. Pasukan ini boleh terdiri daripada NGO atau kawasan rukun tertangga yang pada zahirnya sebuah badan yang paling hampir dengan khalayak.

*ANJAKAN KEDUA : MENDASARI BUDAYA POLITIK MATANG*

Dalam usaha untuk menjadikan UMNO terus kekal relevan, UMNO harus menunjukkan kematangannya dengan menjadi lebih inklusif.

UMNO tidak seharusnya menjadi parti yang begitu eksklusif dan tertutup kepada golongan-golongan tertentu sahaja. Budaya cantas mencatas dan 'warlord' harus dihentikan serta merta bagi memastikan UMNO terus menjadi pilihan golongan muda kini yang lebih progresif dan berani dalam menzahirkan idea-idea mereka.

Justeru, sudah tiba masanya suatu ruang khusus disediakan untuk anak muda ini berpartisipasi bersama UMNO dan bersama-sama memacu wadah perjuangan parti keramat ini.

Oleh itu, tanggungjawab pemimpin pelapis yang saya gelarkan sebagai 'second layer leadership' amat penting. Dalam dunia pasca modenisme ini amat penting untuk kita mendapatkan sokongan anak muda tidak kira dengan apa cara sekalipun. Tanggungjawab ini haruslah digalas sebaik mungkin oleh 'second layer leadership ini'.

Politik feudalism dalam kalangan 'second layer leadership' tidak harus lagi berlaku. Ini kerana UMNO bukanlah sebuah parti elit yang hanya diwakili oleh golongan bangsawan. Sebaliknya, UMNO adalah parti rakyat yang diwakili oleh suara akar umbi.

Oleh itu, politik feudalism dalam kerangka UMNO haruslah dimansuhkan. Politik feudalism dalam konteks ini adalah amalan kronisme & nepotism. Ianya harus bersifat demokratik dan bebas serta benar-benar mewakili suara akar umbi.

*ANJAKAN KETIGA : SIASAH POLITIK SEBENAR*

Memetik kata-kata filusuf Prof Syed Naqiub Al-Attas yang menyatakan  bahawa pendefinisian Melayu itu tidak seharusnya disempitkan dalam kerangka etnik semata-mata. Ianya harus menjangkaui kepada aspek ketamadunan Melayu.

Maka, jika kita melihat Melayu itu sebagai sebuah ketamadunan, sudah semestinya kita akan dapat memahami falsafah sebenar perjuangan UMNO. Sudah semestinya kita dapat bersama-sama bergandingan bahu untuk melahirkan Malaysia Ulung dengan masyarakat yang berbudaya.

UMNO perlu memperlengkapkan ahlinya dengan ilmu pengetahuan dan sentiasa bermuhasabah terhadap asas idelogikal UMNO agar ianya tidak lari dari landasan sebenar perjuangannya. Inilah kunci dan rahsia bagi pembentukan sahsiah politik tinggi.

Asas ideologikal dan siasah politik tinggi UMNO ini juga harus dizahirkan dalam pentadbiran kerajaan kini.

Suka untuk saya menyeru kepada barisan kepimpinan bahawa sudah sampai masanya kita memandang serius agenda parti menguasai kerajaan. Agenda ini adalah kunci kepada banyak penyelesaian masalah. Bukan niat saya ingin menafikan peranan dan sumbangan yang diberikan oleh kakitangan awam/kerajaan. Namun, dasar dan polisi yang mendirikan negara ini haruslah datangnya dari parti keramat, UMNO itu sendiri.

Untuk pengetahuan barisan kepimpinan, sudah menjadi suatu rahsia umum bahawa, terlalu banyak 'little napoleons' dalam sektor awam dan belum lagi saya mengambil contoh bagaimana isu rasionalisasi subsidi dan kenaikan harga barang tidak dibahaskan secara konstruktif dalam parti kita.

Kita membiarkan kakitangan awam, penasihat dan konsultan untuk memberi cadangan mengenai isu-isu tersebut tanpa perbincangan terlebih dahulu bersama ahli-ahli parti. Adakah ahli-ahli parti hari ini hanya berperanan bila berlakunya pemilihan parti semata-semata? Adakah ahli-ahli UMNO hanya sekadar menjadi jentera pilihanraya bagi memenangkan kerajaan pada hari ini?
Yang Berbahagia Pengerusi Tetap

Suka untuk saya akhiri perbahasan saya pada hari ini dengan memetik nukilan kata yang telah diamanatkan oleh YAB Pengerusi Perhubungan UMNO Johor:-
“Orang Melayu mendambakan pemikiran besar dan berani dari UMNO. Jika tiada pemikiran besar dan berani, tentang masa depan bangsa Melayu, maka UMNO tersasar dari misi utamanya untuk membawa kebaikan kepada bangsa Melayu.”

Masa akan berlalu pergi meninggalkan kita, kelalaian kita akan membinasakan umat Melayu. kelalaian kita akan melenyapkan landasan yang kita bina berpuluh tahun ini. Pilihan Raya menjadi penentu nasib kita. Ahli UMNO perlu menyiapkan diri berhadapan dengan Pilihan Raya 14 akan datang. Melayu perlu bersedia menerima perubahan. suka atau tidak, kita sedang berhadapan dengan perubahan. Perubahan yang belum tentu menyebelahi nasib kita. marilah kita meleraikan persengketaan yang ada. kita tidak mahu bahawa kita adalah generasi yang akan dipersalahkan pada masa hadapan.

UMNO perlukan wajah-wajah baru yang bersemangat, yang beridealisma, yang berani membicarakan idea. Keyakinan anak muda diluar sana ketika ini kian terhakis mengikut arus masa. mereka memberontak kerana idea kian terhalang.

Akhir kata, saya amat mendambakan Anjakan-Anjakan yang saya lontarkan sebentar tadi dapat dizahir dan dimurnikan. Suara kecil ini mungkin hanya dipandang sepi, namun apa yang saya utarakan sebenarnya, bertujuan menjawab permasalahan sebenar UMNO, yang wajar UMNO perjuangkan.

Saya juga sedar bahawa ini merupakan medan terbaik untuk UMNO membahaskan luah rasa, isi hati dengan tulus dan ikhlas.

Insha Allah, Pemuda UMNO Johor akan melakukan usaha kerja dengan lebih terancang selepas ini untuk menyebar luaskan agenda besar ini.  Agar ianya didukung sepenuh jiwa oleh seluruh orang Melayu insyallah.

Akhirnya, sekali lagi saya berterima kasih atas peluang dan ruang yang telah diberikan. Dan saya tingalkan sidang perwakilan dengan serangkap pantun:-

Dari Johor Terbang Ke Bandung;
Membawa Cinta Pada Si Sunda;
Luahan Rasa Yang Telah Dikandung;
Akhirnya Diluahkan Jua.

Saya berharap, kasih kita, cinta kita, ikhlas dan sayang kita pada bangsa Melayu, pada agama Islam dan pada tanahair ini akan terus subur!

Hidup Melayu...!!!
Hidup UMNO...!!!
Hidup Pemuda...!!!