Tuesday, 16 May 2017

PEMBANGKANG INGIN MELIHAT JOHOR GAGAL ?

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin hari ini menyelar peranan yang dimainkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti pembangkang yang hanya menggunakan platform persidangan dewan bagi mempamerkan ketidakmatangan serta ketidakmahuan melihat Johor berjaya.
Katanya, pembangkang seolah-olah tiada halatuju dan pendirian dalam perkara-perkara yang membabitkan dasar-dasar penting di negeri ini.
“Kita masih lagi tidak dapat melihat dan mendengar apakah halatuju dan pendirian pembangkang dalam pelbagai isu-isu dan dasar penting.
“Misalnya, apakah pelan dan rancangan mereka untuk membantu memantapkan pendidikan serta sekolah agama, pemerkasaan bahasa Melayu, galakan untuk orang Melayu tinggal di bandar, pembinaan projek mega yang memberikan lonjakan dan citra baru kepada Johor. Kesemua isu ini tidak menyaksikan wujudnya pendirian yang jelas dari pembangkang.
“Malah, saya tidak lihat seorang pun wakil pembangkang yang tampil dengan pelan alternatif yang konkrit, bagaimana untuk mereka menerus dan menguruskan projek hartanah mega di Johor seperti Forest City yang mereka kecam selama ini?,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Negeri Johor ke-13 di Kota Iskandar, hari ini.
Tambah beliau, kesemua itu tidak pernah dihujahkan, tetapi sebaliknya mereka mencari jalan untuk menggagalkan projek-projek pembangunan yang berlaku di Johor.
“Saya mahu tahu, adakah jika mereka memerintah, mereka akan menghalang ratusan ribu rakyat Malaysia untuk bekerja di Singapura? Dan saya juga mahu tahu, apakah pelan dan strategi mereka untuk memelihara dan meningkatkan jumlah rizab Melayu di Johor.
“Semua ini tidak pernah mereka hujahkan. Yang pernah kita dengar dalam sidang sebelum ini, pembangkang memang ada menyimpan hasrat untuk menutup sahaja Pengerang dan projek RAPID yang sedang rancak berjalan di sana,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan terdapat tiga golongan wakil rakyat yang terdapat dalam Dewan Negeri Johor.
“Pertama, mereka yang sentiasa merancang dan terus berusaha keras untuk memastikan Johor berjaya dan berkemajuan. Mereka inilah yang amat saya hargai dan raikan.
“Kedua, mereka yang tidak mengendahkan segala usaha baik tersebut dan tidak mahu pun terlibat sama dengan sebarang ikhtiar menjadikan Johor berjaya. Saya tidak ada komen untuk golongan ini.
“Dan yang ketiga, mereka yang bercakap sewenang-wenangnya, yang berpemikiran toksik, yang bukan sahaja tidak mahu bersama-sama menyumbang, sebaliknya, bersungguh-sungguh pula berusaha memburukkan segala usaha kita. Sehinggakan, adakalanya mereka kelihatan seolah-olah mahu melihat Johor ini gagal dan terkebelakang,” katanya.