Sehingga 1 Mei ini, 70 peratus daripada 1182 tenaga kerja di Forest City diisi oleh warga tempatan.
Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah itu meliputi pekerjaan di pelbagai sektor dalam projek mega berkenaan.
“Setakat ini, perjawatan secara lantikan terus di Forest City adalah seramai 1182 tenaga kerja. Sehingga 1 May 2017, Forest City telah memiliki 70% tenaga kerja yang terdiri dari warga tempatan yang merentasi pelbagai bidang dan pangkat.
“Misalnya, bagi bidang teknikal, bentuk pekerjaan yang dibuka adalah seperti penyelenggara, jurutera, jurureka, pegawai Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) serta eksekutif teknologi maklumat.
“Bagi bidang pengurusan pula, antara jawatan yang ditawarkan adalah eksekutif, pengurus, ketua jabatan, serta pengarah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merujuk ucapan Cheo Yee How (Dap-Pengkalan Rinting) yang bertanyakan sama ada pelabur asing hartanah terutamanya dari negara China membantu merangsang ekonomi Johor seterusnya membawa faedah kepada Bangsa Johor.
Tambah beliau, 40% daripada kontraktor dan pembekal yang terlibat dalam projek tersebut juga adalah dari syarikat tempatan termasuklah kontraktor dan pembekal Bumiputera.
Katanya lagi, projek Forest City akan mendatangkan manfaat pungutan pelbagai jenis cukai dan bayaran kepada Kerajaan.
“Berdasarkan rekod kelulusan Sijil Formula Unit Syer (SIFUS) bagi pembangunan Fasa 1 di Pulau 1 sahaja, terdapat 24,227 petak di atas sembilan hak milik induk yang menghasilkan cukai tanah berjumlah RM2.5 juta.
“Di samping cukai tanah, Kerajaan Negeri juga dijangka akan menerima hasil bayaran pendaftaran hak milik yang besar. Untuk Fasa 1 Pulau 1 ini sahaja, hasil yang akan diterima adalah kira-kira RM72 juta. Iaitu jumlah keseluruhan bagi bayaran sebanyak RM3,000 ke atas setiap satu daripada 24,227 petak dalam Fasa 1 ini.
Mohamed Khaled turut merujuk kepada dakwaan Tun Mahathir tentang kemasukan 700 ribu warganegara China ke Forest City dan meminta Cheo Yee How (DAP-Pengkalan Rinting) untuk mengira cukai dan hasil yang akan diperolehi Kerajaan Negeri.
“Kalau kita mengambil angka 700,000 tersebut sebagai fakta yang betul, cubalah Pengkalan Ringting kira sendiri anggaran hasil kerajaan negeri. 700,000 unit, dikali dengan sekurangnya RM3 ribu seunit, jadi berapa hasilnya?,” katanya.