Tuesday, 16 May 2017

53 ATLET DARI JOHOR UNTUK SUKAN SEA 2017

 
Johor bakal menghantar seramai 53 atlet bagi menyertai kontinjen negara dalam Sukan SEA 2017 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, atlet yang terlibat akan mewakili 23 jenis acara sukan yang dipertandingkan dalam temasya dwi-tahunan itu.
Ujarnya, kesemua atlet yang terpilih telah melalui proses pemilihan atlet menerusi program khas Kita Juara yang dianjurkan Majlis Sukan Negara (MSN) negeri.
“Program khas itu dibuat bagi memastikan atlet yang terpilih memiliki kualiti terbaik dan mampu menyumbang pingat dalam kejohanan tersebut. Program Juara Kita telah bermula sejak 2015 dan melibatkan tiga fasa pelaksanaan bermula September 2015 hingga Ogos tahun ini.
“Antara lapan kriteria yang dilihat menerusi tiga fasa program Kita Juara ini adalah atlet berkenaan merupakan pemenang pingat Sukan SEA 2015, Sukan Asia, Sukan Remaja Asia, kedudukan 16 terbaik dunia, lapan terbaik Asia dan lima terbaik Sukan SEA,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Adam Sumiru (BN-Tanjung Puteri) mengenai perkembangan kontinjen negeri bagi menghadapi Sukan SEA tahun ini pada persidangan Dewan Negeri Johor di Kota Iskandar, hari ini.
Antara sukan yang melibatkan atlet negeri Johor dalam temasya sukan paling berprestij di rantau ini termasuklah lompat tinggi, menembak, olahraga, pelayaran, ragbi, menembak dan bola jaring.