Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi menempatkan penduduk dari lapan buah kampung yang terbabit dengan pembinaan Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) adalah komitmen Kerajaan Negeri bagi memastikan orang Melayu dapat terus bermastautin di kawasan bandar. Projek PPR ini membabitkan 2,932 keluarga serta membabitkan kos berjumlah RM302 juta untuk membina 2,720 unit pangsapuri kos rendah.
Apa yang menariknya, Rumah yang ditawarkan kepada mereka yang terlibat dengan penyusunan semula itu adalah pada kadar harga RM35,000 seunit (bagi pemegang tol) dan RM50,000 seunit bagi penyewa beli. Harga ini jelas lebih rendah dari kos pembinaan dan nilaian tanah mengikut harga pasaran semasa yang mampu mencecah RM140,000 seunit.
Antara kampung-kampung yang terlibat dengan projek PPR ini adalah Kampung Desa Jaya, Kampung Desa Melayu, Kampung Desa Makmur, Kampung Tengah & Bunga Raya, Kampung Toksiak, Kampung Bekantik, Kampung Datuk Hajah Hasnah dan Kampung Bakar Batu. Dengan terlaksananya projek ni maka tiada sebarang pengusiran, walaupun jumlah penduduk yang terlibat adalah besar.
Kejayaan projek ini adalah hasil usaha pelbagai pihak khususnya wakil rakyat di kawasan Johor Bahru yang sentiasa memperjuangkan hak penduduk kampung. Ditambah dengan kerjasama yang baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat. Ini kerana daripada peruntukan RM302 juta itu, sebanyak RM202 juta adalah dalam bentuk gran, manakala baki sebanyak RM100 juta berbentuk pinjaman Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri.
Peruntukan tersebut akan dibayar secara ansuran sebanyak RM10 juta setahun hingga selesai. Setakat ini Kerajaan Negeri telah membayar selama dua tahun. Dan bagi pemilik yang berdepan kesukaran untuk mendapatkan pinjaman, Kerajaan Negeri telah menyediakan Skim Sewa Beli dimana seramai 94 orang telah layak menerima Skim itu.
Kepimpinan Umno bahagian juga akan mengesan golongan kurang berkemampuan dan asnaf untuk dibantu melalui program bantuan sewa rumah dibawah Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Kerjasama baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat yang di amalkan oleh Kerajaan Johor bagi memastikan rakyat terbela seharusnya di jadikan contoh oleh negeri lain untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat.