Kerajaan Negeri mahu menjadikan Johor sebagai Hub Pendidikan Islam Antarabangsa sebagai langkah pengukuhan kecemerlangan pendidikan Islam di negeri ini.
Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata, Johor telah lama mendahului dalam pendidikan Islam di Malaysia dan rantau ini apabila mewujudkan sistem pendidikan agama yang yang teratur, kemas dan sistematik telah wujud hampir 100 tahun dahulu.
“Kerajaan Negeri kini sedang giat menyusun strategi dan memusatkan tenaga bagi mengangkat dan meletakkan negeri Johor sebagai hub pendidikan Islam antarabangsa.
“Pihak pentadbiran sedang dalam proses berunding dengan beberapa buah institusi pendidikan Islam di Turki dan Australia untuk datang ke Johor dan membuka sekolah pengajian Islam di sini.
“Kita ingin menjadikan Johor pusat perkembangan ilmu-ilmu Islam dan pusat pendidikan Islam terkemuka di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melancarkan merasmikan Pelancaran Bantuan Makanan Sihat Pelajar Sekolah Agama Negeri Johor dan Bangunan Sekolah Agama Al-Imtiyaz, Seri Kota Puteri, Masai di sini semalam. Katanya, pendidikan Islam di Johor bukan sekadar suatu legasi atau rutin yang perlu diteruskan sebaliknya perlu diangkat ke satu tahap yang jauh lebih baik. Sekolah agama kita mesti menjadi pilihan bukan sahaja pelajar terbaik dari Johor, tetapi juga dari seluruh Malaysia mahupun dari luar negara.
“Kita perlu berikhtiar menjadikan ia sistem pendidikan pilihan utama. Juga mengantarabangsakannya dengan membantu membangun kurikulum pendidikan Islam di Cambodia, di selatan Thailand dan di pelbagai negara lain berdasarkan kurikulum kita yang sistematik,” katanya.
Mengenai projek pembinaan sekolah agama, Mohamed Khaled, berkata Kerajaan Negeri akan meneruskan pembinaan 95 sekolah agama di seluruh negeri melalui syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ). Katanya, sebelum ini Kerajaan Negeri menggunakan kaedah penswastaan dalam membina sekolah agama.
“Dahulu ada pendekatan untuk bina sekolah melalui penswastaan, tetapi hari ini ada beberapa masalah yang Kerajaan Negeri cuba selesaikan, dan untuk itu kita berpendapat untuk peringkat-peringkat yang lain kita tidak akan teruskan secara penswastaan tetapi kita akan serahkan kepada KPRJ untuk membina sekolah-sekolah agama seperti yang saya katakan,” katanya.