Thursday, 24 November 2016

25 BUAH SEKOLAH AGAMA BAKAL DIBINA TAHUN DEPAN

Sebanyak 25 buah Sekolah Agama Johor bakal dibina di negeri itu, membabitkan peruntukan dana permulaan sebanyak RM8 juta.
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan itu adalah sebahagian daripada perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM320.32 juta yang diperuntukkan bagi pembangunan syiar Islam. Pembinaan baru itu melibatkan pembinaan enam buah sekolah, masing-masing di Kulai dan Johor Bahru, Kluang (empat), masing-masing tiga di Tangkak dan Pontian dan satu di Batu Pahat.
Ketika memberitahu perkara itu pada sesi pembentangan Bajet Johor 2017, Mohamed Khaled turut mengumumkan kenaikan gaji bulanan dari RM800 kepada RM1,000 kepada 154 orang guru Tadika Islam. Bagi meningkatkan mutu pengajaran matapelajaran Islam secara moden, sebanyak RM2.3 juta disediakan melalui Program Pendidikan Islam Digital (JPID) di beberapa buah sekolah di Johor.
Mengenai Tabung Waqaf Rakyat Johor yang dilancarkan baru-baru ini, Mohamed Khaled berkata, sehingga kini sejumlah RM12 juta berjaya dikumpul.
“Pemerkasaan instrumen wakaf ini membolehkan agenda Johor Islami dilaksanakan dengan lebih meluas dan lebih inovatif.
“Ini termasuklah melalui pembinaan Hospital Pakar Waqf Johor di Bandar Baru Uda, Dewan Serbaguna Waqf Johor di Jalan Datin Halimah dan Skim Wakaf Saham Larkin Sentral.
“Dengan penerimaan sebanyak RM12 juta hasil sumbangan pelbagai pihak, ia dapat membantu menjayakan pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang dirancang, di samping menggalakkan budaya wakaf di kalangan masyarakat Johor,” katanya.
Johor turut mengumumkan penubuhan skim bantuan kesihatan bagi golongan asnaf di kalangan pesakit jantung, dengan peruntukan berjumlah RM2 juta.
Skim itu dijangka memberi manfaat kepada 1,000 pesakit dari golongan itu.
“Selain itu, bantuan kesihatan yang lazim seperti pemakanan sihat dan rawatan dialisis  akan diteruskan dengan perbelanjaan keseluruhan RM60 juta.
Usaha meningkatkan akses dan kualiti pendidikan anak-anak Asnaf Zakat melalui Program Pendidikan Asnaf dari peringkat rendah hingga pengajian tinggi juga akan diteruskan melalui sembilan Skim Bantuan Pendidikan di bawah Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
“Ia merangkumi bantuan pakaian sekolah, makanan sihat, yuran sekolah, pengangkutan, dermasiswa luar negara, pinjaman pendidikan luar negara, tambang ke pusat pengajian tinggi dan yuran pendaftaran di IPT.
“Keseluruhan skim itu melibatkan peruntukan sebanyak RM26.5 juta, dan bakal memberi manfaat kepada lebih 70,000 anak asnaf,” katanya.

Mohamed Khaled juga mengumumkan peruntukan RM22.02 juta bagi pembinaan dan membaik pulih 11 buah masjid di Batu Pahat, Segamat, Tangkak, Muar, Johor Bahru, Pontian dan Kulai.