Penantian 12 Tahun Johor untuk meraih emas pertama sukan berbasikal pada Sukan Malaysia (SUKMA) berakhir semalam, apabila Muhammad Shah Firdaus Shahrom memenangi acara 200 meter pecut.
Memetik laporan Berita Harian, pada aksi penentu pingat emas itu, Muhmmad Shah terlebih dahulu melintas garisan penamat pada kedua-dua perlumbaan penentuan juara bagi mengenepikan pelumba Selangor, Mohamad Shariz Efendi Mohd Shahrin.
Gangsa pula diraih oleh Muhammad Fadhil Mohd Zonis dari Selangor selepas mengatasi seorang lagi wakil Johor, Muhammad Khairil Nizam Rasol.
“Apa yang berbeza adalah saya terpaksa mengerah lebih banyak kudrat kerana terpaksa berdepan tiupan angin selain keadaan jalan yang agak kasar berbanding permukaan dalam veledrom.
“Detik ini yang saya tunggu-tunggu selepas Johor terpaksa menunggu 12 tahun untuk meraih emas dalam sukan berbasikal. Di Perlis, saya tidak berada pada tahap terbaik kerana cedera tangan tetapi kali ini saya kembali membalas dendam kekecewaan itu.