Friday 22 July 2016

KERAJAAN JOHOR INGIN KONGSI LIMPAHAN PROJEK HSR BERSAMA RAKYAT

 Kerajaan Negeri Johor mahu sebahagian limpahan projek-projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) dikongsi bersama rakyat negeri ini terutama pengendalian kerja selenggaraan dan operasi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor, Datuk Hasni Mohamad berharap pengisian jawatan dalam bahagian operasi dan kerja penyelenggaraan sepanjang laluan HSR di Johor diberi kepada rakyat negeri ini.
Tiga stesen transit HSR dijangka dibina di Johor iaitu Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.
“Semua maklum HSR adalah projek mega yang memberi impak besar kepada sistem pengangkutan awam negara dan ia juga memberi kesan kepada penjanaan ekonomi serta peluang pekerjaan,” katanya, memetik laporan Berita Harian.
“Pada peringkat Johor, projek ini melakar satu profil baharu kepada rakyat negeri ini. Ini akan lebih bermakna sekiranya lebih ramai rakyat Johor dilibatkan dalam projek berkenaan,” katanya.
HSR Kuala Lumpur-Singapura yang dijangka beroperasi pada 2026 membabitkan pembinaan landasan berkembar sepanjang 350 kilometer dan lapan stesen, tujuh daripadanya di Malaysia, selain penggunaan rel berteknologi termaju dunia dengan standard keselamatan bertaraf global.
Hasni yakin kerajaan persekutuan tidak akan mengetepikan pembabitan rakyat Johor, termasuk syarikat milik rakyat negeri ini dalam melaksanakan projek HSR walaupun ia mungkin tidak membabitkan aspek berkaitan pembinaan landasan kerana ia memerlukan kepakaran dan teknologi tinggi.
Katanya, pembabitan rakyat tempatan dalam pembinaan landasan transit Aliran Ringan (LRT) dan Projek Landasan berkembar boleh dijadikan contoh untuk projek HSR.
 Apabila siap kelak, HSR ini dijangka akan menjadi pilihan pengguna untuk ke Kuala Lumpur kerana masa yang perjalanan yang singkat dan harga lebih jimat berbanding menggunakan kapal terbang. Secara tidak langsung ini akan menambahkan ekonomi Ngeri Johor serta rakyat Johor di beberapa kawasan yang terlibat.