Tuesday, 3 May 2016

ATLET LOMPAT TINGGI JOHOR DAPAT UCAPAN TAHNIAH DARI SULTAN JOHOR

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengucapkan tahniah kepada Nauraj Singh Randhawa, atlet kelahiran negeri ini yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil Ogos ini.

Baginda bertitah, kejayaan tersebut adalah hasil usaha pemenang pingat emas acara lompat tinggi Sukan SEA 2013 itu yang berlatih gigih selama tiga bulan di Australia sehingga berjaya melepasi ketinggian 2.29 meter, sekali gus melayakkannya beraksi di Rio.

“Rekod ini membuktikan anda adalah pelompat tinggi terbaik di negara ini dan kedua terbaik di dunia. Johor sangat berbangga dengan anda! Beraksilah dengan penuh keyakinan dan lakukanlah yang terbaik. Kami doakan yang terbaik untuk anda di Sukan Olimpik,” demikian titah Sultan Johor dalam akaun Facebook rasmi baginda.

Nauraj Singh, 24, memahat sejarah muncul atlet lompat tinggi pertama Malaysia berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik secara merit sejak sukan tersebut diperkenalkan di negara ini pada 1906.

Had kelayakan ke Olimpik adalah 2.29 meter dan Selasa lalu atlet itu melepasi ketinggian tersebut dalam Kejohanan Olahraga Singapura di Stadium Nasional, sekali gus memecah rekod kebangsaan.

Beliau memadam rekod lama milik Lee Hup Wei iaitu 2.27m yang dilakukan dalam kejohanan Terbuka China di Beijing pada 2008.