Akhir-akhir ini, ucapan Menteri Besar Johor, YAB Dato Mohamed Khaled Nordin mendapat liputan meluas dan sering kali menggegarkan kubu pembangkang, khususnya DAP. Selepas Akmal Nasir yang menjadi cacing kepanasan dek ucapan beliau di Johor Bahru semasa Konvensyen BN akhir bulan lalu, kini ucapan Khaled Nordin di Pagoh menjadikan Lim Guan Eng pula panas telinga. Tanpa berfikir panjang, Ketua Menteri Pulau Pinang itu terus melatah dan menyelar kononnya dakwaan Khaled bersifat perkauman dan tidak berasaskan fakta.
Dalam ucapan beliau ketika Persidangan UMNO Bahagian Pagoh itu, Khaled menegaskan Johor akan terus menjadi negeri maju dengan mengekalkan nilai-nilai Islam tanpa terperangkap dengan agenda liberal yang dibawa oleh DAP. Beliau memberi amaran bahawa Johor bukan Pulan Pinang kedua dan Johor tidak akan menjadi Pulau Pinang Kedua.
Khaled menggariskan beberapa hujah bagi menyokong dakwaannya. Antaranya kerana banyak perkara di Pulau Pinang dilihat terlalu liberal sehingga menghakis nilai hidup beragama dan berbudaya. Malah, kebanyakan perkara, menurut Khaled, diukur hanya dengan wang ringgit.
Yang mencuit hati kita adalah jawapan melulu dari Guan Eng. Selain tidak menjawab soalan, jawapan beliau sebenarnya semakin membuktikan dan membenarkan kebenaran kata-kata Khaled.
Terdapat 6 kesilapan yang memalukan dalam jawapan melulu Guan Eng.
Pertama, dengan menyenaraikan peningkatan 84% peruntukan kewangan Kerajaan Negeri kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang, iaitu RM457 juta untuk tempoh 2008-2015, jelaslah bahawa di mata DAP, kayu ukur sebenar pembangunan dan usaha mempertahankan agama hanya disandarkan dan dinilai dengan melihat seberapa banyak jumlah wang ringgit yang ditaburkan. Guan Eng nampaknya berpendirian, semakin banyak wang diberikan maka semakin baiklah usaha memartabatkan kehidupan berbudaya dan beragama.
Kenyataan tersebut bukan sahaja tidak mematahkan alasan Khaled, malah menyerlahkan pemikiran materialistik Guan Eng yang kini seolah-olah mahu meletakkan harga dan ukuran ringgit pada semua perkara, termasuklah urusan agama.
Johor Sebagai Penang Kedua Idea Kit Siang
Kedua, kenyataan Khaled hanyalah rumusan kepada segala dakwaan yang pernah dibuat oleh DAP sendiri. Guan Eng lupa atau barangkali berlakon lupa bahawa idea mahu menjadikan ‘Johor sebagai Pulau Pinang Kedua’ adalah idea dan kenyataan asal oleh Lim Kit Siang pada 17 Jun 2017, yang turut dilaporkan oleh portal Malaysiakini; Kit Siang pushes for Johor as second 'Penang' in GE14. Pastinya Guan Eng tidak perlu diperkenalkan dengan siapa Kit Siang, melainkan kerana nafsu politik, kedua-dua beranak ini sudah tidak berhubung dan saling bertanya khabar.
Yang pastinya, kenyataan Khaled bukan rekaan atau dakwaan tidak berasas. Jawapan balas Guang Eng itu yang ibarat meludah ke langit. Atau lebih tepat meludah ke muka bapanya sendiri.
Ketiga, benarkah kebajikan orang Melayu dan Islam di Pulau Pinang benar-benar terjaga? Mari kita berikan beberapa fakta untuk Guan Eng hadam.
Pada 4 Mei 2016, melalui portal Malaysiakini, Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk mendakwa keseluruhan tanah milik orang Melayu di Pulau Pinang hanya tinggal 20.41% dan peratusan itu dipercayai semakin mengecil. Prof. Emeritus Datuk Hood Salleh pula mendakwa bahawa pembangunan dan pemodenan di Pulau Pinang dilaksanakan dengan begitu terburu-buru sehingga melenyapkan kewujudan perkampungan Melayu.
Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) Tan Sri Mohd Yussof Latiff, mendedahkan terdapat kajian yang membongkar bahawa kebanyakan orang Melayu telah pun kehilangan tempat tinggal kerana rumah mereka dibina di atas tanah milik orang bukan Melayu seperti di Kampung Jalan Pokok Asam, Kampung Binjai, Teluk Kumbar dan Bayan Lepas.
Pada masa yang sama, Edwin Michael yang merupakan Pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman menyelar tindakan kepimpinan DAP Pulau Pinang yang gemar menyalahkan BN dan UMNO di atas kemiskinan orang Melayu di Pulau Pinang. Beliau turut mengkritik penjualan tanah secara drastik dan pengurusan ekonomi yang tidak mapan melalui penulisan yang disiarkan Free Malaysia Today pada 18 November 2014.
Jadi, benarkah orang Melayu Islam di Pulau Pinang benar-benar terbela? Sehingga ke hari ini, apakah dasar intervensi khusus Pulau Pinang kepada orang India di sana?
Keempat, memandangkan Guang Eng melihat kesungguhan mempromosikan kehidupan seimbang, berbudaya dan beragama itu dari perspektif wang ringgit, ada baiknya kita menyemak peruntukan dan sumbangan Kerajaan Negeri Johor dalam perkara ini dengan menilai 10 fakta berikut.
Pertama, melalui pengenalan Agenda Besar Johor Islami, Kerajaan Negeri Johor tidak menjadikan pengembangan syiar Islam sebagai satu usaha statik dan bersifat sehala. Titik sentuhan Bajet Johor 2017 memperuntukkan bahawa inisiatif yang diambil mestilah holistik. Agenda Johor Islami ini menerima peruntukan keseluruhan mencecah RM470 juta.
Kedua, Johor telah memperkenalkan Tabung Waqf Rakyat Johor yang dilancarkan oleh Baginda Sultan Johor bagi pembinaan Hospital Pakar Waqf Johor yang mempunyai 280 katil di kawasan seluas 5.4 ekar serta pembinaan kemudahan awam yang lain seperti Dewan Serba guna Waqf Johor yang mempunyai kapasiti untuk 1,500 orang di atas tanah seluas 5.5 ekar.
Ketiga, Johor memperuntukkan sebanyak RM141.1 juta bagi pembinaan sekolah-sekolah agama Johor fasa 5 yang melibatkan pembinaan sebanyak 25 buah sekolah baru di seluruh negeri. Keempat, Johor mempunyai hampir 600 buah Sekolah Agama Johor. Kelima, inisiatif kenaikan gaji bulanan bagi 154 orang guru Tadika Islam selaras dengan gaji minimum yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Keenam, Johor memperuntukkan RM2.3 juta bagi Program Pendidikan Islam Digital oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) yang melibatkan 4 buah sekolah, yang tidak ada di Pulau Pinang.
Ketujuh, sebanyak RM2 juta diperuntukkan oleh Johor bagi Program Kesihatan Asnaf dengan memperkenalkan satu skim bantuan kesihatan yang baharu khas kepada pesakit jantung. Bantuan ini akan diurus secara kerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN), dan tidak ada di Pulau Pinang. Kelapan, terdapat sebanyak RM60 juta bantuan kesihatan yang lazim seperti pemakanan sihat, penyediaan kemudahan dialisis dan lain-lain rawatan perubatan pakar. Program sebegini juga tidak ada di Pulau Pinang.
Kesembilan, sebanyak RM26.5 juta diperuntukkan di bawah Program Pendidikan Asnaf dengan 9 Skim Bantuan Pendidikan di bawah MAINJ bagi meningkatkan akses dan kualiti pendidikan anak-anak asnaf dari peringkat rendah hingga pengajian tinggi yang melibatkan 70 ribu orang anak asnaf.
Kesepuluh dan terakhir, Johor memperuntukkan sebanyak RM22.02 juta bagi membina dan membaik pulih 11 buah masjid di seluruh Johor.
Terbaharu, sebagai fakta bonus, Kerajaan Negeri memperuntukkan subsidi sebanyak RM25.6 juta bagi membina Taman Perbadanan Islam Datin Halimah yang dijual pada harga RM139 ribu sahaja seunit dan Taman Perbadanan Islam Stulang Baru (PKJ A) yang dijual pada harga RM42 ribu sahaja seunit.
Tidak cukup dengan itu, Johor akan terus membina sehingga 60 ribu rumah mampu milik Johor menjelang 2020.
Jika benar Pulau Pinang serius dalam menjaga kebajikan orang Islam Melayu, Guan Eng harus tunjukkan berapa banyakkah rumah mampu milik berharga RM42 ribu yang telah dibina untuk orang Melayu dan orang Islam di sana.
Kepimpinan Berkesan
Kelima, Guan Eng mendakwa Johor kini ditadbir oleh pemimpin yang kurang berkesan lalu beliau menyatakan Johor akan lebih baik jika dipimpin oleh Muhyiddin Yassin dari Bersatu. Perkara ini amat menggelikan hati. Kenyataan tersebut nyata merupakan isyarat jelas Guan Eng bahawa DAP akan hanya menyokong calon Bersatu berbanding Salehuddin Ayub dari PAN yang kini khabarnya turut mengidamkan jawatan yang sama.
Lebih penting, Guan Eng terlupa menyemak sejarah. Muhyiddin Yassin pernah menjadi Menteri Besar Johor dari 1986 sehingga 1995, dan prestasi beliau adalah tidak baik dan berkesan daripada kepimpinan terkini.
Faktanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sendiri pernah menitahkan bahawa pembangunan negeri Johor amat berbeza jika dibandingkan dengan 10 atau 20 tahun lalu. Malah, Baginda pernah menyifatkan Muhyiddin sebagai sombong dan angkuh.
Faktanya, Anwar Ibrahim juga pernah mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin terlibat dalam usaha sama dengan syarikat dari negara luar untuk menukar status tanah di Johor. Dakwaan tersebut terkandung dalam fakta kes saman Stamford Holdings Sdn Bhd ke atas Muhyiddin dan rakan-rakannya dan ada dikeluarkan dalam blog Anwar Ibrahim sendiri pada Ogos 23, 2009. Sungguh menghairankan bagi seseorang yang mementingkan fakta seperti Guan Eng, sebaik sahaja Muhyiddin menyertai pembangkang, Lim Guan Eng menjadi orang pertama yang membuang fakta dan melupakan segala kritikan dari Ketua Umum PKR yang kini dinaungi mereka dalam Pakatan Harapan.
Kita tidak pasti di Pulau Pinang, tetapi di Johor, inilah yang dinamakan lidah bercabang.
Keenam, tidak puas dengan cerita peningkatan 84% peningkatan peruntukan kepada Majlis Agama, Guan Eng turut menyenaraikan seribu satu pencapaian Pulau Pinang yang kononnya lebih baik dari Johor. Berikut merupakan beberapa fakta lagi untuk dicerna oleh Guan Eng.
Guan perlu meneliti fakta-fakta berikut.
Faktanya, rizab negeri Johor kini melebihi RM3 bilion, iaitu hampir 2 kali ganda rizab Pulau Pinang. Faktanya, Johor mencatatkan kemasukan pelaburan dalam pembuatan tertinggi di Malaysia selama 4 tahun berturut-turut dari 2013-2016 dengan pelaburan berjumlah RM66.6 bilion, iaitu 6 kali lebih tinggi dari Pulau Pinang!
Faktanya, Johor mencatatkan agihan pendapatan kedua terbaik di Malaysia dengan bacaan pekali Gini 0.324. Faktanya, Johor berada di tangga kelima dalam Indeks Prestasi Alam Sekitar berbanding Pulau Pinang di tangga ke 14, iaitu kedudukan ketiga terakhir. Faktanya, Johor merupakan negeri pertama mempunyai Sistem Pemetaan Digital Jalan Kampung. Faktanya, Johor adalah negeri pertama membina taska OKU.
Faktanya, apabila ada EXCO Kerajaan Negeri Johor yang dituduh rasuah, mereka diarahkan bercuti dan meletak jawatan. Dan bukannya terus dibiar berkhidmat sekalipun sedang disiasat SPRM. Atau memarahi rakan EXCO yang lain yang membongkarkan salah laku tersebut.
Faktanya, di Johor, pendatang asing tidak dibenarkan menjaja. Di Pulau Pinang, penjaja Melayu yang dihalau dan dilayan seperti pendatang di negeri sendiri.
Terlajak kata.
Kali ini Guan Eng benar-benar terperangkap. Ibarat siapa makan cili dia terasa pedas. Selain meludah ke langit, Guan Eng yang benar- benar marah ini pastinya akan merah padam kerana telah menempelak bapanya sendiri. Lebih teruk, kenyataan dan jawapan beliau menunjukkan kepada semua sokongan DAP adalah kepada Bersatu dan bukannya PAN, sekalipun PAN amat-amat memerlukannya.
Jika inilah corak pemikiran Guan Eng, benarlah pendirian Khaled. Johor tidak seharusnya menjadi Pulau Pinang Kedua. Johor tidak akan menjadi Pulau Pinang Kedua.