Monday 8 May 2017

PROGRAM FUTURE HOME SASAR 280 RUMAH TAHUN INI


Program Future Home menyasarkan untuk membaiki dan membaik pulih 280 rumah bagi golongan yang memerlukan pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan, berkata lebih 7,000 Sukarelawan Darul Ta’zim akan terlibat dalam program berkenaan pada tahun ini.
“Kita berharap Program Future Home dapat memberi kesan positif bukan saja kepada penerima bantuan, tetapi Sukarelawan Darul Ta’zim,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Negeri Johor ke-13, di Kota Iskandar, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zaiton Ismail (BN – Sungai Balang) mengenai aktiviti-aktiviti yang menarik untuk golongan muda.
Zulkurnain berkata, pada tahun lalu, seramai 6,933 Sukarelawan Darul Ta’zim terlibat dalam dua program iaitu kecergasan dan kesukarelaan.
“Untuk aktiviti kesukarelaan saja, kita telah berjaya membantu 280 rumah di setiap 56 DUN di mana setiap rumah kita beri peruntukan sebanyak RM500,” katanya.
Mengulas lanjut, Zulkurnain berkata, berdasarkan data terkini, sebanyak 450 daripada 699 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sudah menubuhkan Sukarelawan Darul Ta’zim.
“Selain itu, kita sudah menubuhkan skuad Sukarelawan Darul Ta’zim di setiap sekolah pada awal tahun lalu. Kumpulan pertama membabitkan 56 sekolah di 56 DUN,” katanya.