Wednesday, 26 April 2017

KHALED NORDIN ARKITEK BANGSA MELAYU MODEN

DOKTOR Falsafah adalah anugerah tertinggi universiti kepada individu yang benar-benar layak menerimanya. Ia merupakan suatu pengiktirafan dan penghormatan dalam dunia pendidikan sama ada di dalam atau luar negara.

Dalam tempoh empat tahun, Yang Amat Berhormat Dato’ Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Johor telah menerima tiga pengiktirafan dari Universiti Binary (2014), Universiti Teknologi Malaysia (2015) dan Universiti HELP (April 2017).


Pengiktirafan ini diberi atas segala transformasi yang Khaled perkenalkan semenjak menyandang jawatan Menteri Pembangunan Koperasi dan Usahawan (2004-2008) lagi. Banyak idea-idea bernas yang dicetuskan beliau bagi menimbulkan minat dan melahirkan masyarakat usahawan yang berdaya saing.


Atas jasa dan sumbangan beliau terhadap institusi pengajian tinggi negara ketika menjawat jawatan Menteri Pengajian Tinggi (2008-2013)  pada tahun 2015 Khaled menerima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan sempena Majlis Konvokesyen UTM kali ke-55.


Antara sumbangannya ialah memperkasa Pelan Strategik Pendidikan Negara, menambah baik peranan IPT dan meningkatkan kualiti serta kecekapan dalam pelbagai aspek dari pengurusan, penyelidikan hingga pengambilan pelajar. Beliau juga adalah pencetus penubuhan Majlis Profesor Negara.


Nyata pengalaman sebagai menteri kabinet banyak membantu Khaled mentadbir negeri Johor. Sebagai Menteri Besar adalah menjadi tanggungjawabnya menentukan pencapaian ekonomi negeri sentiasa berada pada paras yang diharapkan.


Beliau sentiasa mencetuskan idea bernas dalam menyediakan berbagai peluang  melahirkan masyarakat usahawan di kalangan bangsa Johor.


Justeru pada 23 April lalu, atas kejayaan melaksanakan ekosistem mesra keusahawanan dengan melahirkan  ramai usahawan perusahaan kecil dan sederhana, Universiti HELP menganugerahkan Khaled Nordin Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Ekonomi.


Seharusnya Bangsa Johor berasa bangga dengan pengiktirafan akademik yang diterima  Menteri Besar Johor ini.


Seorang ketua yang sentiasa memikirkan tentang kemajuan negeri dan rakyatnya. Dalam pada dia merentas onak, duri dan jatuh bangun seorang pemimpin yang tajam pemikirannya, Khaled boleh dianggap sebagai seorang ikon yang boleh diberi jolokan sebagai Arkitek Bangsa Melayu Moden.
Justeru sebagai bangsa yang setia kepada raja, marilah kita sama-sama membantu dan berganding bahu sebagai Team Johor dalam mengekalkan pentadbiran yang sedia ada agar Gagasan Johor Berkemajuan dapat kita laksanakan dengan jayanya.


TUN MUTAHIR