BN Johor Konsisten Urus dan Majukan Johor Yang Majmuk dan Dinamik
Saya ingin menarik perhatian semua pembaca kepada penulisan Saudara Mahdzir Ibrahim bertajuk ‘UMNO Johor ‘Marginalized’ Rakan Komponennya’ yang disiarkan dalam portal tajukjohor.com bertarikh 9 Disember 2016.
Ternyata, minat dan kesungguhan penulis mengkaji hubungan antara UMNO dengan parti-parti komponen yang lain dalam perikatan Barisan Nasional khususnya di Johor, sangat jengkel dan cetek.
Apa yang diutarakan penulis sebenarnya adalah cerminan tentang apa yang sedang berlaku Pakatan Harapan (PH) di Malaysia.
DAP sebenarnya begitu berkeseorangan dengan mendominasi PH. PH yang sepatutnya dinaungi oleh beberapa parti politik pembangkang kelihatan seolah-olah hilang arah memandangkan DAP telah menjadi parti yang begitu dominan dalam PH.
Dan sebab itulah saya tidak hairan perkara-perkara berkaitan kebersamaan dan perpaduan antara parti-parti politik di pihak sebelah PH tidak pernah wujud atas nilai keikhlasan, dan menjadikan hubungan antara mereka sangat rapuh dan tidak konsisten.
Buktinya, dari Barisan Alternatif kepada Pakatan Rakyat, berubah pula lagi kepada Pakatan Harapan. Dengan bekerjasama dengan PPBM pula, selepas ini entah apa pula jenis pakatan yang akan dibentuk oleh pihak di sebelah sana.
Mereka masih lagi tercari-cari identiti dan ideologi yang tak muncul-muncul yang membuktikan mereka sendiri sebenarnya pun tak juga pasti apakah ideologi dan asas kewujudan mereka sendiri.
Kemajmukan Masyarakat Malaysia
Hakikat yang perlu diterima oleh penulis sebenarnya adalah kewujudan pelbagai bangsa di Malaysia seperti yang kita dapat lihat pada hari ini mempunyai sejarah, keunikan dan nilainya yang tersendiri. Berdasarkan sejarah, keunikan dan nilai-nilai inilah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang dinamik, kerana didasari oleh kekuatan kepelbagaian bangsanya yang majmuk dan bersatu-padu.
Kemajmukan dan kepelbagaian inilah yang perlu dirai serta diurus melalui kewujudan pelbagai parti politik yang mewakili kepentingan setiap kaum masing-masing, namun dapat duduk semeja membincangkan mengenainya, demi kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara dan bangsa.
Ini lantaran setiap kaum mempunyai isu, cabaran serta kepentingan yang berbeza-beza. Namun hala tuju dan matlamatnya tetap sama.
Di samping itu, setiap kaum di Malaysia juga mempunyai nilai, tradisi dan keunikannya yang tersendiri dalam banyak aspek kehidupan termasuklah soal kepercayaan untuk bebas beragama; soal masa depan dan hala tuju dalam bidang pendidikan; soal meneruskan adat, warisan dan budaya sebagai sebahagian cara kehidupan; dan turut merangkumi soal pengekalan identiti bangsa masing-masing melalui cara berkomunikasi, berbahasa, berpakaian dan upacara sambutan hari-hari kebesaran mahupun perayaan.
Semua perkara ini kita semua telah setuju untuk dikekalkan sejak pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara, dengan turut meletakkan jaminan perlindungan kepentingan kepada semua kaum, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dan Barisan Nasional (BN) ternyata mampu mengurus kemajmukan dan kepelbagaian ini dengan berkesan. Hasilnya, Malaysia tidak mungkin menjadi Malaysia seperti yang kita semua dapat lihat kemakmurannya pada hari ini, jika BN gagal mengurus tadbir negara dengan baik dan berkesan.