Wednesday 10 August 2016

PESAKIT KANSER JOHOR BAKAL TERBELA

 Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam berkenan melancarkan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor bagi membantu pesakit kanser di negeri ini.
Bersama baginda berangkat ke majlis, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.
Dalam titah ucapan baginda, Raja Zarith Sofiah bertitah perasmian yayasan itu merupakan titik permulaan kerja bagi yayasan tersebut untuk membantu dan menyokong mereka yang mengidap penyakit kanser, terutamanya mereka yang kurang berkemampuan.
“Walaupun Almarhum Tunku Laksamana Johor (Almarhum Tunku Abdul Jalil) tidak bersama kita, yayasan ini dapat jadikan impian Almarhum satu kenyataan,” titah baginda yang menahan sebak, sambil mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tampil menyalurkan sumbangan kepada yayasan tersebut.
“Pelancaran ini bukan hanya untuk memberi bantuan kewangan kepada para pesakit kanser namun ia juga adalah untuk memberi harapan kepada masa depan mereka. Ia bertujuan memberitahu mereka bahawa kita akan memberi sokongan kepada mereka serta memahami beban dan kesusahan yang mereka hadapi.”
Titah baginda lagi, baginda bersama putera-putera dan puteri akan terus melawat pesakit-pesakit kanser, sepertimana yang dikehendaki oleh Almarhum Tunku Jalil.
“Almarhum selalu melawat pesakit kanser. Oleh itu, saya dan putera puteri saya berazam untuk meneruskan kunjungan lawatan sedemikian bagi pihak Almarhum, kerana itulah yang diharapkan kami lakukan secara berterusan. Kami akan memastikan impian Almarhum menjadi kenyataan, dan warisannya akan tetap hidup selamanya.”
Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Khaleeda Bustamam, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris, Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar dan para kerabat diraja Johor.
Hadir sama, Menteri Besar Dato’ Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Kerajaan Negeri, merangkap anggota Lembaga Pengarah Yayasan Datuk Ismail Karim, barisan pengerusi-pengerusi jawatankuasa Kerajaan Negeri Johor dan ketua-ketua jabatan kerajaan.
Sultan Ibrahim pada majlis itu turut berkenan menerima cek sumbangan bernilai RM550,000 daripada kerajaan negeri Johor dan syarikat berkaitan kerajaan negeri untuk tabung yayasan.
Daripada jumlah itu, RM250,000 disampaikan oleh Mohamed Khaled bagi pihak kerajaan negeri Johor, RM200,000 oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) Abd Razak Mohd Yusoff bagi pihak KPRJ dan RM100,000 oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Johor Holdings Sdn Bhd (YPJ) Elias Hasran bagi pihak YPJ.
Ismail dalam ucapan beliau pula berkata, yayasan terbabit diilhamkan sendiri oleh Almarhum Tunku Abdul Jalil sewaktu hayatnya sebelum diperbadankan pada 26 Jun tahun lepas.
“Semenjak ditubuhkan, yayasan ini sudah mengumpul dana, namun, demi memastikan kelangsungannya, sumbangan daripada masyarakat terutama pihak korporat amat diharapkan,” katanya dengan berharap penubuhan yayasan itu diberkati Allah S.W.T.
Almarhum Tunku Abdul Jalil, anakanda keempat Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah, telah mangkat pada 5 Disember tahun lepas akibat kanser hati di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.