Demi menjaga dan memelihara budaya warisan yang terdapat di negeri ini, Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Warisan Johor (YWJ) mengambil inisiatif mewujudkan sebuah sistem dan tempat khas bagi merekod dan menyimpan segala kekayaan budaya bangsa.
Ini termasuk dokumen dan peninggalan bertulis khazanah warisan, agar ia dapat disimpan dan dipelihara dengan cara yang baik.
Perkara tersebut direalisasikan dengan perasmian tiga peristiwa bersejarah di Kompleks YWJ iaitu Pusat Dokumentasi Johor, Laman Seni Warisan dan laman portal YWJ yang baharu oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri YWJ, di Kompleks YWJ, di sini, malam tadi.
Mohamed Khaled dalam ucapannya berkata, inisiatif itu juga dilakukan dalam usaha memastikan budaya dan warisan Bangsa Johor kekal, seiring dan terus berkembang.
“Kita tidak mahu bangsa kita membesar dan berkembang sekadar menjadi bangsa yang berjaya secara fizikal dan pencapaiannya. Tetapi jauh dan hilang keintiman dengan identiti bangsanya. Lupa pada perkara yang mendefinisikan keturunannya.
“Maka, sebagai sebuah bangsa yang berkemajuan, kita harus mencari ikhtiar untuk mewujudkan keseimbangan ini. Keseimbangan dalam mengejar pencapaian pada masa sekarang dan masa hadapan tanpa membiarkan kekayaan khazanah masa lalu terkubur dan dilupakan,” jelasnya.
Menurutnya lagi, Kompleks YWJ adalah lokasi pusat dokumentasi yang terbaik selain berperanan sebagai mercu tanda baharu kepada bandaraya Johor Bahru dan Negeri Johor.
Ini sekaligus menjadikan bandaraya Johor Bahru sebagai sebuah bandar kosmopolitan yang berperwatakan, berbudaya dan beridentiti.
“Kompleks ini akan menjadi pusat yang menawarkan segala maklumat dan simpanan rekod yang mampu menarik kedatangan para pengkaji dan ahli akademik serta pencinta budaya dari rantau ini dan seluruh dunia.
“Di sinilah nanti pelancong, para pengkaji dan pencinta budaya serta ahli akademik dari dalam negara dan serata dunia akan dihidangkan dengan pelbagai persembahan budaya Negeri Johor.
“Di sinilah akan dipamerkan segala hasil budaya bangsa kita yang rencam dan unik. Malah, di sinilah kita akan menonjol dan mempromosikan pelbagai aneka pilihan makanan Johor,” katanya.
Majlis Rumah Terbuka YWJ turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 2,000 jemputan termasuk anak-anak yatim dari Asrama Kebajikan Ar Rayyan Taman Sutera, Asrama Kebajikan Ar Rayyan Taman Sri Amar dan Pusat Jagaan Kasih Setanggi.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Tan Sri Mohamad Aziz, dan Pengarah YWJ, Mohd Shahrin Rahmat.